
Bertempat di Holiday Inn Glenmarie sebentar tadi, Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) telah melancarkan motosikal moped kecil Kriss MR2. Ia adalah pelancaran pertama syarikat motosikal nasional tersebut untuk tahun ini, lima bulan selepas mereka memperkenalkan barisan skuter Elegan 250, Kymco 250 dan Karisma 125.
Dalam tempoh seminggu yang lalu, banyak foto intipan dilihat dan juga menerusi laman rasmi facebook Modenas telah menyiarkan teaser awal. Kami menerima set foto MR2 yang sedang diuji pada 29 Mac dan 31 Mac lepas dengan pelekat penyamaran.
Modenas Kriss MR2 ini dikuasakan oleh enjin empat lejang 110cc karburetor dan sejukan udara yang mampu menghasilkan 6.2Kw pada 7,500rpm. Antara ciri menarik ialah tangki bahanapi berkapasiti 4.5 liter yang mampu membawa kapcai ini sejauh 200 kilometer dengan sekali isian. Enjin ini juga menepati piawaian Euro 3.
Di bawah pelananya ialah ruang simpanan barang 6.6 liter berserta satu komparmasi kecil untuk kit selenggara (toolkits)
Dari segi rekabentuk, MR2 memang kelihatan sporty, malah ketika kali pertama melihat fotonya kami setuju bahawa Modenas sudah memahami kehendak pasaran semasa. Bahagian sisinya dipisahkan dengan dua bahagian berbeza. Bahagian belakangnya lebih sporty, lampu belakangnya kelihatan sedikit tersorok dan menguncup.
Ia didatangkan dengan meter analog moden, sistem kunci 3 dalam satu, lampu “dada” berkembar, dan roda berjejari kembar 17 inci.
MR2 didatangkan dengan pilihan tiga warna iaitu Celebration Red, Strike Blue dan Canary Yellow. Harga jualannya ialah RM3,890.00
BACA: DILANCARKAN DUA HARI LAGI, MODENAS MR2
BACA: ELEGAN 250, MAXI SKUTER PALING BERBAOI DIMILIKI