Motosikal

MV AGUSTA DRAGSTER 800RR CKD – RM116,000 SEUNIT! 

Sedia maklum bahawa hak pengedaran jenama motosikal premium dari Itali, MV Agusta kini sudah beralih kepada Moto Varese Asiatic Holdings Sdn Bhd (MVAH). 

Selaku pengedar rasmi jenama MV Agusta di Malaysia, MVAH dilihat agresif untuk mencetuskan momentum jualan apabila memperkenalkan enam model baharu bulan lalu. Optimis dengan pasaran motosikal berkuasa besar tempatan, MVAH merancang untuk memasarkan enam lagi model tambahan menjelang hujung tahun 2017. Ini bagi mempelbagaikan pilihan motosikal kepada pengguna.

Pengarah Urusan MVAH, Mohamad Zamry Abu Samah memberitahu semua model tersebut merupakan pemasangan tempatan (CKD).

Semalam, MVAH sempat memperkenalkan Dragster 800RR versi 2017 sempena pelancaran MV Agusta Malaysia Life Style Center di Batu Caves, Selangor.

Prestasi

Versi RR menawarkan kuasa lebih tinggi. Sebelum ini, ia hanya digunakan pada jentera 4 silinder MV Agusta. Namun kini, lencana tersebut turut diaplikasikan ke atas model berenjin tiga silinder.

Apa yang dilakukan oleh MV Agusta pada barisan enjin 3 silinder sebaris itu? Antaranya, enjin bersesaran 798cc itu hanya seberat 52kg dan dibangunkan sekompak mungkin. Ia mengoptimumkan agihan berat , manakala aplikasi aci engkol lawan putaran meningkatkan prestasi dinamik Dragster RR .

Kuasa 140hp pada 13,100rpm dicapai hasil rekaan semula kotak udara dan sistem ekzos yang lebih efisien. Hantaran kuasa lebih linear pada  rev rendah dan meledak pada rev tinggi. Tork juga meningkat daripada 81Nm menjadi 86Nm.

Penggunaan komponen-komponen baru seperti peredam harmonik, peregang mekanikal cam-rantai, aci sesondol dan injap nyata menyumbang kepada pengurangan tekanan sertagetaran.

MV Agusta mengekalkan transmisi enam kelajuan dengan bentuk gear dikemas kini bagi mendapatkan penukaran gear yang lancar.

Sistem keselamatan 

Dragster 800RR dipasang dengan sistem kawalan cengkaman lapan peringkat yang mampu meningkatkan prestasinya ketika mengambil selekoh. Motor & vehicles integrated control system (MVICS) generasi kedua, Ride By Wire dengan tiga mod tunggangan iaitu: Normal, Sport, Rain boleh diakses melalui butang pada hendal.

Penunggang juga boleh mengubah suai aspek maklum balas enjin, pengehad rev, respons tork enjin, sensiviti pendikit dan enjin brek mengikut kecenderungan mereka. Dragster 800RR turut dilengkapi ciri Quickshifter EAS 2.0 yang membolehkan gear ditukar tanpa perlu menarik klac tangan.

Chasis

Chasis jentera ini terdiri daripada kerangka tiub keluli trellis ALS bersama aluminium ringan pada bahagian belakangnya. Kualiti tunggangan dipertingkatkan lagi menerusi peredam stereng CRC yang boleh dilaras mengikut kesesuaian prestasi tunggangan di trek dan jalan raya.

Bukan itu sahaja, ia juga menggunakan suspensi terbalik Marzocchi yang diperbuat daripada DLC (Diamond Like Carbon) berdiameter 43 mm. Manakala roda belakang menggunakan single arm daripada aluminium aloi monoshock.

Berat jentera (hanya 168kg) banyak disumbangkan oleh penggunaan material karbon dan aluminium.  Dragster 800RR turut dipasang dengan rim aloi aluminium bersaiz 17 inci.

Anda boleh memiliki jentera yang mematuhi piawaian emisi Euro4 pada harga RM116,000 seunit. Dengan pilihan warna putih/merah, merah/hitam dan kuning/hitam, Dragster 800RR didatangkan bersama jaminan selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Google ads
Back to top button