Buletin

NAIK TARAF LESEN B2 KE B SECARA AUTOMATIK BAGI KESAN BURUK, MUNDUR

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam berkata cadangan naik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.

Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.”

Cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti dengan sedalam-dalamnya kerana ia boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar, berkata langkah itu boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana ia membabitkan kompetensi seseorang penunggang.

“Saya mohon kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghormati kompetensi seseorang bagi melayakkan dia memandu sesuatu kelas kenderaan di Malaysia.

“Apabila bercakap mengenai kompetensi, ia bertentangan dengan pengalaman kerana pengalaman itu bersifat subjektif, mungkin dia ada lesen B2 tetapi dia tidak pernah menunggang (motosikal berkuasa tinggi), mungkin ada lesen B2 tetapi penunggang itu terdedah kepada kemalangan. Ini membabitkan soal nyawa,” katanya.

Mat Aris berkata, setakat ini belum ada mana-mana negara memberi kemudahan menaik taraf kelas lesen memandu secara automatik.

“Kerajaan harus menghormati dan memahami, kita bukan memandu di Malaysia sahaja, ada dalam kalangan pemandu serta penunggang tempatan yang pergi ke luar negara.

“Jadi dalam keadaan kita nak memartabatkan kurikulum (kelas memandu) dan kompetensi (pemandu serta penunggang) supaya lesen memandu Malaysia diiktiraf dan kalau cadangan ini dibuat secara terburu-buru, saya bimbang lesen memandu Malaysia mungkin tidak diiktiraf di negara luar,” tambahnya.

Sementara itu, pakar pengangkutan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, tidak bersetuju dengan cadangan terbabit kerana kemahiran membawa motosikal berkuasa rendah dan berkuasa tinggi adalah berbeza.

Katanya, menunggang motosikal berkuasa besar memerlukan kemahiran yang perlu dipelajari.

“Saya tidak sokong kerana mereka ingin menunggang motosikal berkuasa tinggi memerlukan pengalaman mencukupi, matang dan perlu mempelajari cara menunggang kenderaan terbabit dengan lebih cermat.

“Sepatutnya, mereka yang ingin mendapatkan lesen Kelas B ini harus mengikuti latihan dan lulus ujian dipraktikkan ketika ini.

“Jadi saya tidak melihat apa faedah jika lesen memandu Kelas B2 ini dinaik taraf kepada Kelas B secara automatik.” – Berita Harian

Google ads
Back to top button