
SEGAK BERGAYA DI HARI RAYA DENGAN YARIS
Sebut saja nama Toyota pada umum pasti akan wujud dua golongan samaada penyokong setia Toyota ataupun golongan yang mencemuh. Peminat kipas susah mati (die hard fan) Toyota akan memberi fakta bagaimana Toyota membina sebuah kenderaan lasak, senang diselenggara dan tak banyak ragam. Malah bagi penulis yang menggunakan pacuan empat roda Toyota ia amat senang diselenggara dan tak banyak karenah. Manakala bagi golongan pembangkang Toyota merupakan sebuah syarikat yang kedekut dengan teknologi keselamatan (untuk pasaran Malaysia), pengendalian ibarat sampan, dan kelengkapan yang paling sedikit.
Kedua-dua penyataan di atas ada benarnya tapi itu untuk model lama Toyota. Menyedari jenama ini makin tenggelam dalam persaingan yang kompetitif, maka pengurusan Toyota Malaysia bertindak pantas dengan memperkenalkan beberapa model baru seperti Vios dan juga kembar kontotnya iaitu Yaris. Kedua-duanya disasarkan pada golongan lelaki dan juga wanita muda sama ada bujang ataupun yang sudah berkeluarga.
Spesifikasi
Varian | 1.5 G |
Enjin | 2NR-FE1500cc Dual VVTi, 105 kuasa kuda & 140NM |
Transmisi | CVT dengan 7 kelajuan maya Shiftmatic |
Suspensi Depan | Topang McPherson dan bar penstabil |
Suspensi Belakang | Torsion beam dan bar penstabil |
Berat | 1145kg |
Saiz Tayar | 195/50 R16 TOYO PROXES R50 |
Ciri Keselamatan | Brek ABS, Brake Assist & Electronic Brake Distribution Kawalan Kestabilan Kenderaan Electronic Stability Control Kawalan Cengkaman Traction Control Bantuan Mula Mendaki – Hill Start Assist Pengunci Pintu dengan Pengesan Kemalangan 7 beg udara SRS termasuk beg udara lutut Sistem Amaran Titik Buta Amaran Trafik Lintasan Belakang (RTCA) bersama dengan radar |
Rekabentuk
Toyota Yaris mempunyai bebrapa persamaan dengan kembarnya yang lebih panjang iaitu Vios. Dari segi dimensi, Yaris mempunyai lebar 1730mm, tinggi 1475mm, dan jarak antara roda 2550. Namun Yaris mempunyai panjang 4145mm berbanding dengan Vios 4425mm. Jadi dengan bahagian belakang yang telah dikerat untuk menampilkan bahagian belakang yang lebih seksi ruang kargo Yaris hanyalah sekitar 286 liter berbanding dengan 506 liter yang dimiliki oleh Vios.
Lampu utama Yaris turut bekongsi dengan Vios iaitu unit projektor dengan teknologi halogen, ditemani dengan sepasang lampu tinggi. Lampu kabus pula diposisikan pada bahagian bampar bersama-sama dengan lampu Daytime Running Light. Lampu DRL itu akan nampak lebih mahal jika ia dipasang di dalam lampu utama. Jika anda merasakan rekabentuk bampar depan itu sedikit berserabut maka anda boleh membandingkan dengan rekaan bampar versi dari Singapura yang lebih kosong dan membosankan.
Lampu posisi belakang pula datang dengan teknologi LED dengan rekaannya mirip dengan lampu yang dipasang pada Toyota Caldina. Lambu kabus belakang berkembar dipasang pada bahagian bampar dan rekabentuknya kemas apabila diintegrasikan dengan skirting. Kehadiran spoiler belakang dengan rekaan sporti menampilkan nilai sporti yang lebih menarik bagi hatchback ini.
Yaris ini menampilkan tema “floating roof” ataupun bumbung terapung apabila tampil dengan tiang C belakang yang digelapkan. Tema ini diperkuatkan lagi dengan rekaan rangka bumbung yang mengunjur ke bawah seolah olah bumbung bahagian belakang kelihatan rendah namun hakikatnya bumbung Yaris kekal rata dan menberikan ruang kepala untuk penumpang belakang. Bahagian sisi pintu pula hadir dengan 2 garisan yangbermula dari perumah tayar depan menganjur terus ke tiang C dan perunah tayar belakang.
Secara asasnya, Toyota memilih rekaan yang konvensional dan selamat agar Yaris boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat samaada muda ataupun tua tapi dengan sedikit elemen sporti disuntik. Jika anda ingin tampil berani maka boleh buat pilihan dengan warna kuning “Cirus Mica Metallic” yang menjadi pilihan warna Janna Nick.
Rekabentuk Dalaman
Secara asasnya rekabentuk dalaman Yaris hampir 99% menyamai rekabentuk Vios bermula dari papan pemuka sehinggalah pada kusyen pemandu dan juga penumpang. Apabila kita berbicara berkenaan dengan produk keluaran Toyota maka perkara pertama yang harus dipuji ialah keselesaan kusyen pemandu dan penumpang yang dihasilkan. Walaupun nampak biasa namun sokongan yang dihasilkan oleh kusyen sangat selesa pada semua bahagian bermula dari bahu, belakang, pinggang dan juga peha. Perkara yang sama juga boleh diperkatakan berkenaan kusyen tempat duduk belakang.
Rekaan papan pemuka juga ringkas namun senang dicapai oleh tangan penulis untuk kesemua butang-butang kecuali butang yang berada di sebelah tangan kanan penulis. Unit kawalan penyaman udara pula adalah kombinasi paparan LCD dan juga butang mekanikal yang diaktifkan secara ditekan dan cara pelaksanaannya jauh lebih selesa berbanding dengan jenama kereta yang lebih mahal. Namun dengan harga yag ditawarkan janganlah pembaca mengharapkan paparan pemuka tersebut menggunakan plastik lembut atau balutan kulit.
Roda stering dibalut dengan kemasan kulit lengkap dengan jahutan benang putih yang sebenar dan sangat sedap bila digenggam dan besentuhan dengan kulit. Ia hadir dengan butang kawalan audio pada bahagian kiri dan juga butang kawalan dan akses sistem Multi Info Display yang dipasang pada meter kombinasi digital analog. Pemandu boleh memilih untuk mengawal aksi kawalan gear CVT melalui tombol gear Sport Sequential Shift Mode.
Jika anda duduk di kerusi pemandu maka anda dapat rasakan keselesaan kusyen yang disediakan lengkap dengan kehadiran bolster tepi bagi mewujudkan sedikit rasa sporti dan memegang tubuh agar melekap pada kusyen. Pergerakan tangan dari stering ke suis kawalan penyaman udara adalah senang dicapai dan kedudukan tombol gear memudahkan penulis menggunakan “gated shift gear” dengan mudah.
Paparan meter Optitron yang berwarna biru walaupun kelihatan sporti dan mudah dibaca ia mengingatkan penulis kepada Myvi yang dikeluarkan pada tahun 2009. Meter ini memaparkan bacaan RPM, halaju, penggunaan bahan api semasa, halaju paparan digital dan pelbagai maklumat lain yang relevan. Kemasan pintu pula boleh dipuji dengan penggunaan material kulit untuk kawasan perehat tangan agar ia selesa apabila kita meletakkan tangan di situ.
Malah Toyota bertindak jauh dengan memasang lampu malap pada ruang kaki dengan limpahan warna biru lembut yang akan menyala setiap kali pintu dibuka. Ia akan menerangi ruang kaki dan memduahkan pergerakan keluar masuk. Sebaik sahaja pintu ditutup lamou tersebut akan dipadamkan. Semua varian akan turut dipasang dengan “door scuff plate” lengkap dengan lampu LED memberikan Yaris kelainan berbanding dengan pesaingnya yang lain.
Pengalaman Pemanduan
Enjin yang dibekalkan oleh Toyota menghasilkan kuasa sekitar 105 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 140Nm tork pada 4200 RPM adalah mencukupi untuk pemanduan harian. Namun jika dibandingkan dengan Jazz, maka akan wujud perbezaan sebanyak 13 kuasa kuda yang memberikan kelebihan untuk pemanduan bersemangat pada halaju tinggi. Namun jangan pandang Jazz sebelah mata kerana ia masih mampu mencapai kelajuan maksima 180km/j tanpa sebarang masalah walaupun enjin dual VVTi terasa sedikit meneran. Cukup untuk meninggalkan sebuah Proton Saga FLX yang ingin menduga kekuatan di lebuh raya kesipuan malu.
Pada halaju 180km/j ia masih stabil untuk dipandu mengingatkan saya pada Mazda CX3 yang diuji bulan lepas. Tetapan suspensi topang McPherson di depan dan torsion beam di belakang walaupun bunyinya kurang menarik, namun prestasi jalanan yang dipamerkan ia boleh dipuji. Ia sedikit lembut, selesa dan boleh mengambil selekoh dengan meyakinkan. Toyota mendengar sindiran warganet berkenaan suspensinya mula memperkemaskan talaan suspensi mereka dengan memasang bar anti oleng pada bahagian depan dan juga belakang
Hasilnya dinamik pengendalian Yaris boleh dipuji kerana ia menggabungkan keselesaan dan prestasi pemanduan pada satu masa. Ditambah pula dengan talaan transmisi CVT yang lancar dinamik pengendalian Yaris memang sangat meriangkan. Hilang sudah stigma “seperti memandu sampan” dan ia boleh ditukar pada keseronokan mendayung kayak di jeram. Yaris juga mempunyai sistem gantungan yang sedikit lembut pada bahagian belakang membantu ia memberikan keyakinan dan kestabilan apabila dipandu pada halaju yang tinggi pada bahagian belakang.
Yaris menggunakan tayar Toyo Proxes R50 dengan saiz 195/50 yang dipadankan dengan rim berjejari 16 inci. Sistem suspensi yang lembut bagaikan dineutralkan oleh tayar profail nipis dan lebar lantas menawarkan cengkaman yang bagus. Sebagai bonus tayar ini juga senyap dan selesa pada kelajuan lebuh raya.
Halakan muncung depan Yaris pada sudut selekoh dengan menggunakan stering dan Yaris akan menurut perintah dengan tenang. Olengan badan dikawal dengan kemas dan bahagian belakang kereta mengikuti arahan dengan kemas. Namun kelemahan suspensi torsion beam ialah jika terdapat bonggol atau jalan tidak rata pada pertengahan selekoh maka kestabilan kenderaan akan terganggu malah ia mungkin terasa sedikit terlompat.
Kelemahan lain apabila menggunakan suspensi lembut ialah kereta akan sedikit membuai jika ia dipandu dengan deras pada permukaan jalan tidak rata dimana ia bagus menyerap segala lopak dan bonggol pada permukaan jalan, namun ia akan menghasilkan pergerakan “pitch” yang membuatkan kereta terasa sedikit membuai.
Gabungan enjin dual VVTi dan juga transmisi CVT yang dikahwinkan oleh Toyota menghasilkan satu unit trenkuasa yang berkerja secara harmonik antara satu sama lain. Malah enjin ini senyap dan tidak bergegar menghasilkan ruang pemanduan yang amat selesa sebagai penanda aras baru bagi NVH kereta segmen B. Namun ia akan menderam sedikit jika dipaksa bekerja dalam mode pemanduan Sporti sambil pedal minyak ditekan rapat ke lantai. Secara purata Yaris menggunakan bahan api 14.4km bagi setiap liter petrol dengan halaju sekitar 110km/j, 120km/j, 140km/j dan juga 180km/j.
Sistem Keselamatan
Buat pertama kali Toyota melengkapkan Yaris dengan pelbagai sistem keselamatan aktif melebihi pesaingnya seperti:
1. Rear Cross Traffic Alert yang dipadankan dengan pengesan di bahagian belakang untuk mengesan kenderaan yang menghampiri Yaris ketika ia diundurkan. Amaran ini akan dipaparkan pada cermin sisi kiri jika kereta datang dari arah kiri dan sebaliknya
2. Sistem Amaran Titik Buta yang akan memberi amaran pada pemandu sekiranya terdapat kenderaan lain yang berada di zon titik buta. Amaran ini akan dipamerkan ada cermin sisi kiri dan kanan.
3. 7 beg udara SRS termasuk 1 untuk perlindungan lutut bagi pemandu
Terdapat beberapa ciri “Unique Selling Point” yang dipasang oleh Toyota seperti:
1. Terdapat 4 pencangkuk dengan kapasiti 2kg dipasang pada ruang kargo belakang. ia memudahkan pengguna menyangkut beg plastik seperti kuih muih yang dibeli di pasar Ramadhan.
2. Ruang kaki di bahagian belakang pemandu dan penumpang depan cukup luas dan selesa untuk perjalan jarak jauh. Tambahan pula penyandar belakang dicondongkan sedikit bagi keselesaan penumpang.
3. Walapun ruang kargonya hanya separuh daripada ruang kargo Vios, namun ia cukup untuk penulis dengan ahli keluarga seramai 3 orang untuk perjalanan jarak dekat. Namun jika anda pulang ke kampung untuk balik beraya, lupakan hasrat untuk membawa periuk belangan dan juga kuali untuk anak anda bermain gasing.
4. Yaris datang dengan tayar gantian bersaiz penuh yang disimpan di bawah ruang kargo. Ia bukan menggunakan rim besi kompang, namun datang dengan rim sport standard.
5. Terdapat fungsi “follow me home” yang akan menyala dalam satu sela masa cukup menerangi ketika anda membuka pintu rumah.
6. Bagi mengelakkan anda dibuli oleh pengguna jalan raya yang lain, perakam video digital dipasang sebagai peralatan standard pada bahagian depan dan opsyenal untuk bahagian belakang.
7. Panaromic View Monitor yang biasa digunakan oleh kereta yang lebih mahal menjadi peralatan standard bagi varian E dan juga J. Dengan hanya menekan satu butang pemandu boleh dari depan, belakang, kiri dan juga kanan. Sangat memudahkan kaum hawa memarkir kenderaan ini di tempat sempit.
8. Cermin pandang belakang datang dengan teknologi anti silau yang akan mengurangkan keamatan cahaya yang datang dari kereta belakang secara automatik.
8. Terdapat 2 punca kuasa dalam bentuk USB di bahagian belakang perehat tangan dan punca kuasa 12volt pada bahagian depan.
Tipulah jika saya katakan Yaris ini langsung tiada kelemahan. Terdeapat beberapa aspek rekaan yang perlu dipertingkatkan lagi bagi menjadikan ia sebuah kereta yang lebih kompetitif seperti:
1. Kedudukan tempat brek tangan perlu diubah dan ditinggikan sedikit kerana ruang ini kelihatan seperti tenggelam di antara 2 kerusi
2. Kedudukan suis mode pemanduan ECO dan juga SPORT kelihatan seperti tersembunyi dari pandangan pemandu dan agak sukar digunakan. Pemandu kene menjenguk untuk mencari kedudukan suis tersebut. Penulis cadangkan agar kedudukan suis diubah ke belakang tombol gear.
3. Kedudukan perehat tangan agak terkebelakang sedikit dan tidak ideal untuk pemandu. Tambahan pula ruang yang disediakan adalah terhad. Agak mengecewakan kerana ruang lantai belakang sudah menjadi luas.
4. Kedudukan roda steering tidak boleh diubah secara teleskopik seperti Jazz/City. Bagi mendapat kedudkan yang ideal, penulis terpaksa menggerakkan kerusi ke depan dan kaki terpaksa memijak pedal minyak pada sudut yang lebih tinggi sedikit
5. Bahagian belakang tidak memilik perehat tangan pada bahagian tengah, namun ia menawarkan bahagian penyandar yang lebih selesa untuk ruang tengah.
6. Penulis tidak menggemari dekorasi jahitan pada papan pemuka kerana ia kelihatan sangat palsu seperti “scammer” yang memakai jam tangan gred AA
Aspek Bunyi, Gegaran dan Kekasaran bagi model ini adalah alah satu lagi aspek yang boleh dipuji dalam segmen kelas B. Ia amat senyap, selesa dan bunyi dari luar seperti bunyi enjin dan juga tayar gagal menerobos ke ruang kabin. Kecuali jika anda melenjan enjin Yaris ini dengan kasar dan memandu kereta ini secara laju di atas permukaan jalan yang tidak rata.
Halaju | Kekuatan Bunyi dB |
80 | 58.9 |
90 | 61.6 |
100 | 62.3 |
110 | 64.1 |
120 | 66.9 |
Kesimpulan
Bagi penulis Toyota Yaris merupakan penawaran terbaru daripada Toyota dalam kategori kompak segmen B sebagai alternatif kepada Jazz dan juga sepupunya sendiri iaitu Perodua Myvi. Pada mulanya penulis beranggapan Yaris hanyalah sebuah kereta “Myvi” versi mahal namun setelah memandu kereta ini selama 4 hari tanggapan tersebut pudar. Kualiti pemanduan yang ditawarkan oleh Yaris jauh lebih berkualiti dari segi pengendalian, kualiti pemanduan dan juga unit trenkuasa yang lebih moden.
Keselesaan dan penghalusan yang diketengahkan oleh Yaris adalah kekuatan sebenar Yaris yang memisahkan ia dengan Myvi dan juga Jazz yang lebih berkuasa namun sedikit bising dan kasar bila dipandu. Disebabkan itu Jazz lebih sesuai untuk abang-abang yang mahukan sebuah kompak berkuasa untuk aktiviti kanjo manakala Yaris lebih manis dipandu oleh adik dan kakak yang lebih ayu dan manis.
Ia juga lebih sesuai untuk dijadikan kereta kedua untuk keluarga besar di mana Yaris mampu membuatkan encik suami tersenyum jika memandunya. Ia comel, kelihatan sporti bila dikenakan set Aerokit, selesa dan juga tangkas di selekoh. Mungkin pembaca ada idea bagaimana untuk menyolek Yaris agar ia kelihatan seperti AE86.