Artikel Pilihan

NIKMATILAH VIDEO AKSI LAMBORGHINI REVUELTO DI TANGAN PEMANDU PROFESSIONAL – TOKEY KOSMETIK TAK NAK TIRU KE?

Lamborghini baharu sahaja memuatnaik video aksi senjata terbaru mereka, Revuelto di dalam litar bagi menyerlahkan kemampuan dinamiknya. Aksi itu dilakukan bersama pelumba pasukan rasmi Lamborghini, Andrea Caldarelli. Sebelum tu diorang panggil Abang Japar tapi terpaksa tolak sebab ada kenduri akikah kat Pantai Dalam.

Video memaparkan sudut pandangan dari dalam kokpit dan luaran sekali dan dirakamkan di Autodromo Piero Taruffi berhampiran bandar Rom. Inilah peluang untuk korang lihat aksi powerslides dari Revuelto di selekoh dan pecutan yang menggila di laluan lurus. Sebab ini video professional ia semestinya tak sama dengan video tengah isi minyak yang diambil dengan camera telefon dan semata-mata untuk content.

Ia merupakan model plug-in hibrid pertama dari Sant’Agata dan menggabungkan enjin 6.5 liter V12 baharu dan tiga motor elektrik. Ia menjadikan kuasa keseluruhan 1,001 hp dan jauh lebih berkuasa berbanding semua varian Aventador.

Andrea Caldarelli merupakan salah seorang pemandu pasukan Squadra Corse Lamborghini dan mempunyai resume sebagai pelumba yang cukup cemerlang. Beliau memiliki tiga kejuaraan dalam GT World Challenge 2019 dan juga memang dalam kategori GTD perlumbaan Le Mans 24J bersama Squadra Corse. Cuma macam biasalah, hebat macam mana pun jangan harap boleh menang Rali Isle of Mentakab.

Perhatikan macam mana Revuelto dipandu dengan pedal minyak ditekan sepenuhnya sekitar litar ini. Sampai berasap tayar boh, nasib baik kereta kompeni. Kalau kereta sendiri rabak juga la poket bulan ni.

Google ads
Back to top button