Modifikasi

NISSAN CEFIRO ENJIN RB25DET

Agak-agaknya, kalau ditanya orang ramai bagaimana Nissan Cefiro, saya rasa 80 peratus akan menggambarkan model pertamanya iaitu model A31. Pada hal, Cefiro sudah sampai ke generasi keempat, walaupun namanya di Malaysia sudah ditukar kepada Teana.

SONY DSC

Model pertama Cefiro sebenarnya merupakan satu kejutan besar daripada Nissan yang pada ketika itu lebih terkenal dengan model kereta keluarga bersaiz sederhana seperti Sentra.

Nissan tidak mensasarkan Cefiro untuk bersaing dengan kereta eksekutif keluaran pengeluar Jepun yang lain, seperti Honda Accord atau Toyota Corona. Sebaliknya, ia dibina untuk bersaing dengan model eksekutif Eropah macam BMW 5-Series atau Mercedes W124!

SONY DSC

Sebab itulah Nissan menggunakan sistem pacuan roda belakang dan enjin enam  silinder dengan aksesori yang cukup mengagumkan. Dengan reka bentuk yang cukup menawan, Nissan serius untuk bersaing dengan model terbaik daripada Eropah pada harga yang lebih murah.

Bagaimanapun, penerimaan rakyat Malaysia terhadap model ini boleh dikatakan sebagai suam-suam kuku sahaja. Mungkin kerana rakyat Malaysia menganggap kereta ini terlalu mahal untuk sebuah kereta eksekutif buatan Jepun dan tidak cukup eksklusif seperti model eksekutif Eropah.

SONY DSC

Tetapi sekarang, model Cefiro ini semakin menjadi rebutan ramai, penangan drift agaknya. Satu lagi, memandangkan model ini dari kilang sudah pun disumbat dengan enjin daripada keluarga RB, jadi senang untuk diubah suai. Man, pemilik Cefiro ini buat apa yang majoriti pemilik Cefiro lakukan, sumbat enjin lain untuk lebih kuasa!

Walaupun majoriti pemilik lebih gemar menggunakan enjin RB20DET, tapi Man nak lagi kuasa, maka enjin RB25DET menjadi pilihan. Dengan kapasiti 2,500cc dan pengecas turbo tunggal jenis seramik, enjin RB25DET boleh menghasilkan kuasa kuda lebih tinggi. Paling penting, menghasilkan daya tork lebih baik kerana sesaran enjin yang lebih besar.

SONY DSC

Untuk meningkatkan kuasa enjin bukanlah satu masalah besar kerana enjin ini memang lasak dan mudah diubah suai. Man menggantikan turbo seramik asal yang memang tak tahan boost tinggi itu dengan turbo Garret AR60 yang diletak secara top mount di atas manifold ekzos buatan custom.

Turbo itu kemudian ditemani oleh sebuah wastegate 40mm jenama HKS yang dilaraskan untuk menghadkan tahap boost pada 1bar. Gas-gas ekzos disalur keluar melalui paip tengah 3 inci custom yang bersambung dengan peredam bunyi HKS Super Drager.

SONY DSC

Intercooler yang menyalurkan udara sejuk kepada turbo ialah intercooler jenis front mount custom yang jauh lagi besar berbanding intercooler kotak tisu asal yang datang bersama half-cut. Paip intercooler daripada keluli tahan karat buatan custom bersimpang-siur di dalam ruang enjin untuk menyambung turbo dan intercooler enjin. Di atas paip, bertenggek sebuah injap blow-off GReddy.

Plenum kemasukan enjin diganti dengan plenum GReddy bersama fuel rail yang dipertingkatkan menerusi sebuah pelaras bahan api SARD. Pam petrol pun pula guna pam berkuasa tinggi Walbro bersama alat pancitan bahan api tambahan yang diubah suai daripada enjin Evo III. Sistem ECU boleh program daripada MicroTech LT12S yang dikhususkan untuk enjin enam silinder dipasang bagi menyelaras kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin ini.

SONY DSC

Kotak gear manual lima kelajuan yang datang sekali dengan half-cut dikekalkan dan ditambah dengan klac Exedy tiga kaki jenis perlumbaan. Gandar belakang pula disalin dengan gandar lengkap LSD.

Man memilih satu set penyerap hentak boleh laras Cusco yang lengkap dengan pillowball boleh laras di bahagian depan. Brek daripada Skyline R33 dengan angkup 4 pot di depan dan 2 pot dibelakang pun berjaya disalin dengan jayanya. Rim JDM Pansport Racing 17 inci dengan tayar Goodyear 225/40/17 menjadi pilihan Man untuk Cefiro miliknya.

SONY DSC

Walaupun trend terkini ubah suai Cefiro klasik ialah dengan mengenakan bodykit gaya drift D1 Grand Prix, Man lebih gemar gaya low profile. Man memilih bodykit JDM seperti bampar depan dan lampu model Cefiro SE. Cermin belakang Cefiro ini pun dah guna cermin Cefiro JDM yang lengkap dengan penggilap cermin.

SONY DSC

Di bahagian dalam, Man mengekalkan kebanyakan peralatan asal, kecuali tempat duduk depan yang diganti dengan tempat duduk bucket Recaro. Aksesori lain yang Man layan ialah meter RSM A’PEXi dan meter boost A’PEXi EL generasi pertama, serta pengawal boost Blitz SBC. Oh ya! Tak lupa, stereng Skyline R32 disalin untuk dipadankan dengan papan pemuka standard Cefiro.

SONY DSC

Walaupun era Cefiro pacuan roda belakang telah lama berakhir, namun peminatnya semakin ramai. Bukan saja di sini, tetapi di seluruh dunia. Lebih kurang macam Metallica, lagi tua lagi power.
[hr]GALERI

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button