Motosikal

DUCATI MULTISTRADA V4 2021. 170HP, KAWALAN JELAJAH ADAPTIF, BERMULA RM135.9K

Ducati Malaysia baru-baru ini melancarkan Multistrada V4 secara rasmi ke pasaran tempatan.

Jentara adventure touring itu menerima beberapa bentuk penambahbaikan yang menarik berbanding model terdahulu. Antara perubahan paling signifikan ialah penggunaan enjin V4 Granturismo bersesaran 1,158cc yang lebih ringan dan kompak.

Mampu menjana kuasa sehingga 170hp dan tork 125Nm, enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Ia juga telah ditala bagi membolehkannya lebih menjimatkan bahan api dan mudah dikendalikan ketika berada di laluan sesak di bandar.

Berita baik untuk pemiliknya, enjin baharu itu lebih jimat kerana penukaran minyak pelincir hanya perlu dilakukan pada setiap 15,000km, manakala servis major pula selepas perbatuan mencecah 60,000km.

Bagi menjadikannya lebih kompak, model berkenaan kini memiliki dimensi lebih pendek dan rendah. Ketinggian pelana boleh dilaras bermula serendah 810mm hingga 838 mm, sementara jarak roda ialah 1,567mm.

Pengendalian mantap Multistrada V4 disumbangkan oleh penggunaan chasis aluminium monocoque.

Sebagai sebuah jentera adventure touring yang selesa, ia dipasang dengan suspensi fork hadapan jenis terbalik Marzocchi 50 mm bersama jarak travel 170mm. Roda belakang pula menggunakan khidmat penyerap hentak tunggal dengan jarak travel 180mm.

Tayar hadapan dipasang pada rim bersaiz 19 inci dan 17 di belakang. Pelanggan kini boleh menukar rim aloi standard kepada jenis wire-spoke untuk model V4 S. Varian yang lebih premium itu kini didatangkan dengan sistem suspensi elektronik Marzocchi Ducati Skyhook.

Navigasi dimudahkan lagi dengan ciri turn-by-turn yang diintegrasikan ke dalam sistem media Ducati dan aplikasi Ducati Connect. Ia membolehkan penunggang menyambungkan peranti pintar mereka dengan Multistrada V4.

Tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan, jentera itu dilengkapi ciri pengesan titik buta yang pertama seumpamanya untuk motosikal di dunia.

Tidak cukup dengan itu, Multistrada V4 juga dilengkapi sistem radar pada bahagian hadapan dan belakang. Sekali gus menawarkan sistem kawalan jelajah adaptif yang pertama pada sebuah motosikal.

Sistem brek pula menggunakan brek Brembo dengan angkup empat omboh hadapan dengan bantuan rotor brek berkembar 320mm. Manakala brek belakang bersaiz 265 mm dengan sistem Bosch-Brembo 10.3ME Cornering ABS.

Multistrada V4 hadir bersama pelbagai ciri standard seperti skrin paparan TFT berwarna 5 inci, pilihan mode tunggangan Sport, Touring, Urban dan Enduro, Ducati Wheelie Control serta Ducati Traction Control.

Multistrada V4 S pula ditawarkan dengan skrin yang lebih besar (6.5 inci) serta tambahan ciri Cruise Control, Vehicle Hold Control, sambungan peranti pintar, slot USB dengan ruang simpanan peranti pintar, bantuan mula jarak jauh, lampu membelok dan quickshifter.

Jika berminat, Multistrada V4 boleh anda miliki pada harga bermula RM135,900 seunit.   

GALERI

Google ads
Back to top button