
NISSAN UMUM PELAN PERNIAGAAN THE ARC – SASAR TINGKAT JUALAN GLOBAL, LANCAR 30 MODEL BAHARU
Nissan Motor baru-baru ini telah mengumumkan pelan perniagaan tiga tahun terbaru mereka yang dikenali sebagai The Arc, bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya saing di peringkat global.
Pelan baharu ini dirancang bagi menyokong visi jangka panjang syarikat yang dikenali sebagai Nissan Ambition 2030.
Nissan bercadang untuk meningkatkan jualan kenderaan global sebanyak 1 juta unit menjelang TK2026 berbanding dengan TK2023, sambil meningkatkan margin operasi kepada 6 peratus pada masa tersebut.
Selain itu, syarikat juga bertujuan untuk meningkatkan pulangan pemegang saham sebanyak 30 peratus melalui dividen dan pembelian semula saham.

Untuk mencapai matlamat ini, Nissan melancarkan produk yang luas dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk peningkatan dalam elektrifikasi rangkaian kuasa, penggunaan teknologi baharu, serta pendekatan baharu dalam kejuruteraan dan pembuatan bagi meningkatkan kecekapan.
Menurutnya, sebanyak tiga puluh model baharu akan dilancarkan, dengan enam belas daripadanya menjadi model elektrik dan empat belas lagi sebagai model enjin pembakaran dalaman (ICE).
Menjelang tahun 2030, Nissan merancang untuk melancarkan 34 model elektrik baharu, yang dijangka akan menyumbang 40 peratus daripada campuran model global menjelang tahun fiskal 2026 dan meningkat kepada 60 peratus menjelang akhir dekad tersebut.
Bukan itu sahaja, syarikat juga menetapkan sasaran untuk mengurangkan kos kenderaan elektrik masa depan sebanyak 30% dan mencapai pariti kos dengan ICE menjelang TK2030.

Tambahnya lagi, bagi meningkatkan jualan serta keuntungan global, Nissan sedia memperluas kerjasama bersama pembuat kereta global lain, termasuk rakan kongsi dalam Alliance Renault dan Mitsubishi Motors.
Di Amerika, Nissan merancang untuk meningkatkan jualan sebanyak 330,000 unit menjelang TK2026 dan melabur AS$200 juta (RM946 juta) dalam pengalaman pelanggan bersepadu yang baru di AS.
Di China, Nissan menyasarkan melancarkan lapan kenderaan tenaga baharu (NEV) menjelang TK2026, sementara di Jepun, mereka berhasrat untuk menyegarkan 80 peratus model penumpang dan meningkatkan jualan tahunan hingga 600,000 unit menjelang TK2026.
Di Eropah, India, Timur Tengah, Afrika, dan Oceania, Nissan mahu meningkatkan jualan sebanyak 300,000 unit menjelang TK2026 serta merancang pelancaran model-model baharu yang sesuai dengan keperluan pasaran tempatan.
Dengan pelan perniagaan ini, Nissan Motor bertekad untuk terus berkembang dan bersaing di pasaran global, sambil memperluas kehadiran mereka dalam era kenderaan elektrik dan teknologi automotif.
- BACA: NISSAN HYPER TOURER MUNCUL DI BIMS 2024 – DAH SERUPA KERETA KERTAS LIPAT…
- BACA: NISSAN KICKS 2025 TAMPIL DENGAN CIRI BAHARU – TIGA VARIAN, JANA 141HP, HARGA BERMULA RM98K
- BACA: NISSAN SKYLINE GT-R R34 CURI BERJAYA DISELAMATKAN – NYARIS KENA HANTAR SEBERANG LAUT
- BACA: HONDA & NISSAN AKAN KERJASAMA HASILKAN EV. HON-SAN? NISS-DA?