Pandu Uji

OMODA C9 – SAIZ SEGMEN D, HARGA SEGMEN C

Pada harga permulaan RM 169,000 bagi varian pacuan 2 roda depan, Omoda C9 atau nama penuhnya Jaecoo Omoda C9 merupakan satu lagi penawaran SUV dalam segmen D. Ia membuatkan banyak pengeluar SUV berpeluh dan sukar untuk tidur pada waktu malam

Sebab harga yang ditawarkan oleh Omoda C9 adalah luar biasa murah berbanding dengan pesaingnya yang konvensional. Malah jika anda memilih varian AWD sekalipun, Omoda C9 dijual dengan harga sekitar RM 189,000 sahaja membuatkan anda sebagai pengguna rasa ia adalah pilihan yang lebih berbaloi dengan wang yang dibelanjakan

Ini kerana rekaan dalam dan rekaan luarnya menggambarkan Omoda C9 menghargai setiap sen yang anda belanjakan. Malah dari segi saiz luaran pun, Omoda C9 ini adalah bersaiz gergasi dan dikategorikan sebagai SUV segmen D dengan panjang mencecah 4775mm dan lebar 1920mm

Malah jarak antara roda juga iaitu 2800mm hanya kurang 50mm sahaja daripada model MPV popular seperti Toyota Innova Zenix. Sama seperti mana-mana SUV bagi golongan yang berduit, rekaan luar Omoda C9 dibuat bagi menonjolkan ciri-ciri mahal dan mewah

Misi utama rekaan Omoda C9 ini adalah gagah perkasa, nampak sombong dan juga memberikan imej berkuasa pada pemilik. Rekaan jeriji depan menampilkan unsur berlian yang menggunakan rekaan sama seperti bampar dan diintegrasikan dengan baik sekali persis rekaan yang sama digunakan oleh Lexus melalui tema Spindle Grille

Rekaan sisi pula mengambil inspirasi daripada Range Rover dengan garisan shoulder line dan juga roof line yang rendah sedikit dibahagian belakang. Malah mekanisma pembuka pintu dan hiasan sisi disemat pada fender kiri dan kanan juga mengambil inspirasi daripada Range Rover

Namun untuk di bahagian belakang penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu brek ke 3 yang dirasakan tidak selari dengan semua rekaan luar Omoda C9. Malah penggunaan komponen brek palsu pada bahagian bawah bampar juga tidak memberikan manafaat yang nyata termasuklah dari segi visual

Chery yang merupakan pemilik jenama Omoda bukanlah entiti yang asing dalam dunia automotif. Chery merupakan rakan kerjasama jenama Land Rover dengan penubuhan satu syarikat kerjasama dinamakan Chery Jaguar Land Rover Automotive Company Ltd pada tahun 2012.

Kerjasama ini menjadi semakin erat apabila Chery sanggup “meminjamkan” platform Omoda C9 iaitu M3X ini kepada Land Rover. Suspensi di depan menggunakan topang McPherson di roda depan dan Multi-Link di roda belakang dengan bantuan sistem suspensi adaptif Continuous Damping Control

Malah platform ini berupaya menawarkan ruang kargo yang besar pada Omoda C9 dengan kapasiti penyimpanan mencecah 660 liter atau boleh dibesarkan menjadi 1783 liter apabila kusyen belakang direbah. Cuma pintu belakang mesti dibuka dengan menggunakan suis tekan, bukan dengan sensor kaki

Rekaan sombong dan mewah ini diteruskan di bahagian kabin terutama di bahagian depan dengan penggunaan konsol tengah yang tinggi tetapi dibalut dengan bahan seakan kulit yang lembut lengkap dengan jahitan benang putih. Omoda C9 berjaya mengetengahkan elemen sporti dan elegen pada rekaan ini dengan baik

Buat pertama kali, penulis berjaya menemui SUV buatan China yang datang dengan suis fizikal penyaman udara. Suis ini turut digunakan untuk mengubah 7 mod pemanduan yang ditawarkan. Melengkapi ciri moden SUV ini termasuklah pengecas tanpa wayar, skrin melengkung 24.6 inci, Head Up Display dan sambungan peranti telefon Android Auto / Apple Car Play tanpa wayar

Kusyen pula direka dengan lebar bebanding dengan penulis dan dibalut dengan kulit dalam rekaan bermotifkan berlian. Suis bantuan kuasa elektrik direka sama seperti rekaan Mercedes yang diletak pada panel pintu. Omoda C9 juga menawarkan ciri pengudaraan serta ciri pemanas pada kusyen depan

Cuma penulis mendapati terdapat beberapa ciri pelik pada Omoda C9 seperti cara sebutan ECO yang luar biasa, suhu penyaman udara tidak ditunjukkan ketika menggunakan Android Auto selain sambungan ini lambat dibuat. Namun ciri paling menjengkelkan ialah sensor retina yang terlalu sensitif dan tidak boleh dipadam

Ruang belakang meneruskan tema mewah dengan menawarkan ruang kaki dan ruang bahu yang luas selain sudut menyandar boleh laras bantuan kuasa elektrik yang cukup selesa. Corong penyaman udara disediakan pada tiang B dan di bahagian tengah manakala poin USB boleh disembunyikan jika tidak digunakan. Seperti biasa ciri panaromic sunglass adalah ciri wajib bagi SUV dari China

Beberapa ciri mewah lain yang hanya dijumpai pada SUV yang jauh lebih mahal turut disediakan pada Omoda C9. Antaranya ialah pewangi terbina dalam, sunshade 2 lapis, corong penyaman udara pada tiang B, kusyen belakang bantuan kuasa elektrik dan juga pelarasan stering bantuan kuasa elektrik

Hanya enjin petrol turbo sahaja yang digunakan oleh Omoda C9, namun dengan sistem turbo enjin 2000cc 4 silinder ini menjana 257 kuasa kuda dan 400Nm tork. Bagi varian tertinggi, sistem transmisi 8 kelajuan automatik akan dipadankan dengan sistem AWD

Namun jika anda mengharapkan 400Nm tork ini menjadikan Omoda C9 sebagai SUV berprestasi tinggi, mungkin anda akan berasa kecewa sedikit. Biarpun angka 400Nm ini setara dengan Mercedes-AMG GLA, namun pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 8.4 saat sebelum dihadkan kepada 190km/jam

Salah satu aspek yang gagal dikekang oleh Jaecoo ialah berat keseluruhan Omoda C9 yang mencecah 1876kg yang pada hemat penulis dah masuk dalam kategori berat kereta elektrik. Berat ini sebenarnya merompak kelebihan kuasa enjin dan menjadikan pecutan terasa sedikit tumpul dan malas

Malah jika dibandingkan dengan Mazda CX9 yang berat lebih kurang sama (250hp & 420Nm tork), Mazda CX9 terasa lebih “hidup” jika anda memandu dengan agresif. Namun selain dari berat, penulis rasakan talaan transmisi automatik 8 kelajuan yang dihasilkan oleh Aisin ini ditala khusus untuk keselesaan dan penukaran gear yang lancar

Sumpah memang terasa cukup lancar penukaran gear 8 kelajuan automatik ini walaupun menggunakan mode pemanduan Sport. Langsung tak terasa ketika gear ditukar walaupun menggunakan unit paddleshifter. Penulis membuat konklusi, Omoda C9 memang direka dan ditala untuk keselesaan

Jadi memang wajarlah ia dipandu dengan halaju antara 110km/jam ke 140km/jam dengan suasana yang cukup harmoni. Jika anda menghadkan kelajuan pada 120km/jam, penggunaan petrol adalah sekitar 12.6km/liter.

Angka ini akan meningkat dengan ketara jika anda memandu dengan laju atau Omoda C9 dipandu di laluan bandar. Keadaan pemanduan yang melalui jalan yang sesak dan berat Omoda C9 ini sendiri akan menyebabkan penggunaan bahan api meningkat

Penggunaan tayar Michelin Primacy juga menawarkan bunyi tayar yang sangat minima pada ruang kabin. Malah keadaan permukaan jalan yang berlopak-lopak juga gagal menggugat keharmonian hubungan tayar Michelin dengan sistem suspensi Omoda C9 yang juga direka untuk keselesaan

Pada halaju 110km/jam, kadar bunyi kebisingan dalam kabin adalah sekitar 53dB sahaja. Mungkin ketika anda menekan pedal dengan agresif dan memandu dalam mode Sport, barulah terasa sedikit ngauman enjin yang minima

Namun pada masa sama penulis tidak dapat merasai perbezaan suspensi apabila mode pemanduan ditukar kepada Sport atau ditukar balik kepada Normal / ECO. Malah rasa stering kekal ringan dan pada hemat penulis tidak begitu mengujakan untuk dipandu pada halaju tinggi

Seperti biasa stering memberikan rasa ringan pada halaju rendah, tetapi apabila ia halaju Omoda C9 meningkat rasa ringan itu cuba diubah namun kualitinya agak mengecewakan. Ibarat memandu Myvi Lagi Best 2013 sahaja dengan bantuan kuasa elektrik pada stering tidak begitu lancar

Jika anda memandu terlalu laju di selekoh, fenomena understeer akan berlaku melainkan anda paut stering dengan lebih kuat ke arah laluan yang dikehendaki. Namun ia akan menyebabkan cesi belakang beroleng dan menyebabkan penumpang belakang menjadi kurang selesa.

Ia seperti membunuh kemahuan penulis untuk memandu laju. Apatah lagi respon brek pada Omoda C9 juga tidak memberi keyakinan pada penulis untuk memandu secara agresif. Walaupun pedal brek ditekan kuat, Omoda C9 terasa seperti tetap mahu meluncur ke depan menyebabkan anda menambah kekuatan kaki bagi menekan pedal brek

Salahkan berat 1876kg tadi atas masalah ini.!

Suis brek parkir elektrik diletakkan di papan pemuka sama seperti yang dibuat oleh Mercedes. Jadi penulis beranggapan Omoda C9 menawarkan ciri Auto Hold dengan mekanisme yang sama, tekan pedal brek dengan kuat semasa kereta dalam keadaan statik dan ciri Auto Hold akan diaktifkan

Tapi untuk Omoda C9, ciri Auto Hold ini tidak berjaya digunakan atau memang sebenarnya ia tidak ditawarkan langsung. Namun dalam aspek keselamatan aktif, Omoda C9 cukup lengkap dengan semua ciri seperti kamera parkir 540 darjah yang terang dan jelas, sistem ACC, brek AEB, ciri collision avoidance, Hill Decent Control, Tyre Pressure Monitoring System dan sebagainya

Namun bagi sistem ACC, setiap kali ciri ini diaktifkan ia akan turut mengaktifkan ciri Lane Keep Assist dan merampas kawalan stering dari penulis. Ia tidak menjadi isu sekiranya pelaksanaan sistem ini berjalan lancar, namun disebabkan kawalan stering menjadi “gagap” maka penulis akhirnya tidak menggunakan ciri ACC

Berbalik pada soalan utama, adakah Omoda C9 adalah kereta yang bagus atau tidak bagus atau wajar diabaikan? Ia berbalik kepada cara pemanduan anda, tujuan pembelian, kegunaan dan kadar kedalaman poket anda untuk berbelanja

Jika anda boleh menerima kelemahan Omoda C9, ia adalah sebuah produk yang menawarkan nilai pembelian yang terbaik, iaitu SUV dengan saiz segmen D pada harga segmen C.

Google ads
Back to top button