
SUBARU LEVORG 2020 CUN MELECUN, DIJUAL TAHUN INI
Di antara identiti utama Subaru pada satu ketika dahulu ialah Impreza Wagon. Ini bukan model biasa kerana turut digunakan dalam perlumbaan rali.
Selepas beberapa ketika, Subaru mengubah strategi produk dan seperti yang dikenali sekarang, model popular ialah crossover XV manakala sedan berprestasi dipisahkan kepada WRX.
Model wagon pula kekal hebat yang digantikan dengan Exiga dan Levorg. Sebuah lagi model popular iaitu Forester kini menjadi SUV saiz sederhana dan dijual sehingga kini.
Exiga sebenarnya lama berada di pasaran iaitu dari 2008 dan hanya dihentikan pada 2018. Levorg pula dikeluarkan pada 2014 dan masih dijual sehingga kini.
Memandangkan usia Levorg sudah memasuki tahun keenam, Subaru sudah bersedia dengan model pengganti dan khabarnya bakal dilancarkan di Jepun pada setengah tahun kedua 2020.
Subaru Levorg Protoype yang dipertontonkan di Pameran Tokyo 2019 tampil menarik dengan reka bentuk yang sleek.
Reka bentuk ini dinamakan Subaru sebagai Dynamic x Solid.
Bahagian depan nampak agresif dengan bampar yang beralun dan bertingkat. Tidak dilupakan skup udara pada bonet enjin yang merupakan identiti utama Subaru.
Bahagian belakang meneruskan tema depan dengan bampar maskular dan lampu berbentuk C.
Meskipun dinamakan sebagai prototaip, Levorg ini seperti sudah sedia dikeluarkan dari kilang Subaru.
Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah enjin boxer 1.8 liter turbo baharu dengan suntikan terus (direct injection).
Subaru tidak mendedahkan butiran mengenai enjin ini kecuali ia menggunakan teknologi kebuk yang lean dalam memperolehi prestasi pecutan tinggi dan alam sekitar.
Untuk teknologi keselamatan, Levorg 2020 dilengkapi brek pra pelanggaran yang mempunyai kamera stereo dengan sudut lebih luas dan pengesanan 360 darjah oleh empat sensor radar di depan dan belakang.
Satu lagi berita menarik ialah Subaru juga sudah menyiapkan Levorg Prototype STI Sport dan ia bakal dipertontonkan di Tokyo Auto Salon pada minggu ini.