Pandu Uji

PANDU UJI: ENJIN ECOBOOST FORD, TERBUKTI JIMAT DAN BERKUASA

Setiap pengeluar kenderaan pasti mempunyai teknologi yang mereka banggakan. Jika Honda ada VTEC, Subaru ada Boxer dan MAzda ada SKYACTIV, Ford pula mengerakkan kenderaannya dengan teknologi EcoBoost.

EcoBoost menawarkan prestasi tanpa berkompromi dengan aspek penjimatan bahan api dan emisi. Secara ringkasnya, EcoBoost terdiri daripada tiga komponen utama iaitu pancitan bahan api, pengecas turbo dan Ti-VCT.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-3

Sifir mudah EcoBoost ialah enjin bersesaran kecil dan ringan itu berupaya menghasilkan kuasa dan tork yang setanding atau lebih baik berbanding enjin lebih besar. Jadi, tidak hairanlah jika EcoBoost mampu menawarkan jarak perbatuan yang pemandu perlukan serta kuasa yang mereka mahukan.

Bagi membuktikan dakwaan tersebut, pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) menjemput sekumpulan wartawan untuk menguji kenderaan Ford yang dilengkapi enjin EcoBoost.

Aktiviti ‘Ford EcoBoost Track Day Experience’ melibatkan hampir sepuluh buah kenderaan yang terdiri daripada model Fiesta, Fiesta ST, Focus, Kuga, Mondeo dan S-Max.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-4

Acara bermula dengan cabaran ‘RM20 Dare’ di mana para peserta dicabar untuk bergerak sejauh 100km dari D’Pulze, Cyberjaya ke Port Dickson dengan hanya menggunakan bahan api berjumlah RM20.

Ketika makan tengah hari di Port Dickson, kami diberitahu tentang keputusan tahap penggunaan bahan api setiap kenderaan. Saya memandu Ford Mondeo yang dilengkapi enjin EcoBoost bersesaran 2.0 liter. Jumlah minyak yang digunakan cuma RM18 sedangkan bukan pandu perlahan pun.

Semua ini dapat dicapai menerusi teknologi pancitan terus di mana sejumlah bahan api bertekanan tinggi disuntik ke dalam kebuk pembakaran, dengan memastikan hanya bahan api yang minimum diperlukan.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-12

Kemudian, dari Port Dickson, kami memandu ke Putrajaya Recreational Airstrip. Di sana, para peserta berpeluang menguji kualiti pengendalian dan prestasi rangkaian kenderaan Ford.

Bagi menunjukkan prestasi enjin EcoBoost, selain menyerlahkan ciri-ciri keselamatan yang ada pada kenderaan keluarga Ford, model S-MAX, Kuga dan Mondeo diuji pada laluan sepanjang 300m.

Para peserta perlu memecut sehingga kelajuan 60km/j sebelum membrek keras dan menukar haluan sebagaimana yang diarahkan oleh marshal. Ujian diteruskan dengan sesi pecutan yang melihat kenderaan dapat mencapai kelajuan 100km/j dalam tempoh dan jarak yang singkat.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-13

Kedua-dua ujian tersebut bukan sahaja menyerlahkan kuasa pecutan enjin EcoBoost, malah keupayaan jentera Ford untuk membrek dan mengelak halangan dengan penuh yakin.

Sebagaimana yang kita tahu, model Fiesta, Mondeo, S-MAX, Kuga dan Mustang dilengkapi Electronic Stability Control (ESC). ESC menggunakan satu sistem alat pengesan untuk memberi kestabilan apabila kenderaan mula tergelincir dari laluannya. Ia akan membrek setiap roda dan mengurangkan kuasa tork enjin secara sewajarnya.

Dalam ujian seterusnya iaitu slalom, peserta memandu Fiesta 1.0 EcoBoost dan Focus di atas litar yang disusun dengan kon untuk merasai sendiri aspek pengendalian serta kestabilan kereta tersebut.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-8

Selepas dua pusingan, saya boleh katakan bahawa kualiti pengendalian cukup baik (terutama Focus). Biarpun mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, masalah oversteer adalah minimum.

Pada sesi yang sama, Ford turut berkongsi teknik pemanduan selamat dan menjimatkan dengan para peserta. Ini termasuklah tip-tip pecutan, jarak membrek dan posisi stereng yang betul.

Keterujaan sebenar adalah pada aktiviti terakhir pada hari itu. ‘EcoBoost Unboxing’ membolehkan kami semua melihat apakah yang ada di dalam sebuah kotak besar bersaiz 18×6 kaki.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-15

Ya, ia sebuah Mustang yang dilengkapi enjin 2.3 liter EcoBoost. Para peserta kemudian menikmati pemanduan penuh mengujakan dengan Mustang di litar bersama seorang pemandu profesional.

Untuk makluman,Ford memperkenalkan enjin EcoBoost buat pertama kalinya pada tahun 2009. Sejak itu, lebih lima juta kenderaan yang dilengkapi enjin EcoBoost telah berjaya dijual di seluruh dunia.

ford-ecoboost-track-day-mekanika-1

Di Malaysia, Ford menawarkan enjin 1.0L EcoBoost pada model Fiesta, 1.5L EcoBoost pada Kuga dan Focus, 1.6L EcoBoost untuk Fiesta ST, 2.0L EcoBoost pada Mondeo, S-MAX dan Focus ST serta 2.3L pada Mustang.

Maklumat lanjut mengenai rangkaian penuh enjin EcoBoost Ford, sila layari laman web:  www.ford.com.my

Google ads
Back to top button