Buletin

PENGARAH UNIVERSITI DITAHAN SPRM. TERIMA HONDA ACCORD SEBAGAI SUAPAN PROJEK RM1.6 JUTA

Seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti sebuah universiti awam di Melaka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka semalam atas dakwaan menerima suapan.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad berkata lelaki berusia 50-an itu ditahan pada kira-kira 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

“Lelaki berkenaan ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500 daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350.

“Dia ditangkap bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” menurutnya dalam satu kenyataan di Melaka.

Beliau berkata permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – Bernama

Google ads
Back to top button