Pandu Uji

HR-V HIBRID – SUV SPORTI TAPI JIMAT PETROL

Apa yang anda dapat jika anda mempunyai wang atau bajet sekitar RM 120,000? Mungkin sebuah apartment yang dilelong, atau sebidang tanah dengan 100 batang pokok durian “Musang King” atau sebuah kenderaan yang amat selesa untuk kegunaan semua ahli keluarga. Sekitar tahun 2013 dengan harga RM 115,000 anda boleh membawa pulang sebuah kereta hibrid sporti yang kompak iaitu Honda CR-Z versi manual yang amat mengujakan kaki kiri, kaki kanan dan tangan kiri anda apabila menukar gear.

Ia datang dengan enjin LEA yang ditala khas untuk kegunaan hibrid dengan bantuan motor elektrik yang menyalurkan kuasa sekitar 130PS pada roda depan dan disalurkan dengan kotak gear manual. Hanya Honda yang cukup berani pada ketika itu menawarkan kereta hibrid manual di Malaysia sedangkan pengeluar lain menggunakan transmisi CVT untuk varian hibrid.

Apabila Honda melancarkan HRV hibrid pada harga RM 120,000 ia sebenarnya menawarkan sebuah SUV kompak yang lebih luas daripada CRZ, mampu memuatkan 5 penumpang dewasa, 404 liter ruang kargo, enjin 1500cc L15B1 dengan transmisi 7 kelajuan klac berkembar.

Spesifikasi

VarianHRV 1.5 Hibrid
Enjin1500cc pancitan bahan api terus & iVTEC
130 kuasa kuda  dan 156Nm tork. Enjin kitaran Atkinson
Motor Elektrik& Bateri29 kuasa kuda dan 160Nm tork. Gabungan kuasa 150 kuasa kuda dan 190Nm tork.5 Ampere & 3.6 Volt. Maksimum 300 Ampere. Kapasiti Bateri 0.86kWh
Transmisi7 kelajuan klac berkembar
Suspensi DepanTopang McPherson
Suspensi BelakangTorsion Beam
Berat1257kg
Panjang4334mm
Lebar1772mm
Tinggi1605mm
Saiz Tayar215/55 R17 Continental UC6
Ciri KeselamatanBrek ABS, Brake Assist & Electronic Brake Distribution
Kawalan Kestabilan Elektronik
6 Beg udara SRS
Bantuan Mula Mendaki
Isyarat Berhenti Kecemasan
Brek Parkir Elektrik
Sistem Brek Automatik

Rekabentuk

Rekabentuk luaran HRV diilhamkan oleh Masaki Kobayashi yang menegaskan rekaannya bukanlah sebuah CRV berskala kecil. Jika CRV merupakan gabungan alternatif kepada sedan konvensional dan SUV, HRV pula merupakan gabungan elegan sebuah coupe dengan ciri ciri lasak sebuah SUV. Dari segi pendekatan kejuruteraan, coupe merujuk kepada sebuah kereta sedan dengan 2 pintu dengan keupayaan memuatkan 2 atau lebih penumpang. Maka tidak hairanlah jika pembuka pintu belakang HRV disembunyikan dengan bijak pada bahagian belakang seolah-olah ia SUV dengan 2 pintu sahaja.

Kobayashi juga memberi penekanan pada ciri-ciri SUV iaitu kedudukan mata pemandu yang lebih tinggi daripada sedan dan sebuah kenderaan versatil yang untuk pengguna yang mempunyai gaya hidup yang aktif. Malah HRV itu sendiri membawa maksud High-rider Revolutionary Vehicle ataupun Hip and smart Roundabout Vehice. Dari segi chassis, ia sebenarnya sebuah platform yang berkongsi dengan Honda Jazz dan juga Honda City dengan penyerap hentakan yang dipasang lebih tinggi.

Jarak antara rodanya ialah 2610mm iaitu 10 mm lebih panjang daripada City dan 80 mm lebih panjang daripada Jazz. Honda perlu memanjangkan platform asal Jazz agar rekabentuk HRV yang dihasilkan lebih sekata dengan rekaan “top hat” HRV yang lebih besar. Jika Honda mengekalkan jarak antara roda sama seperti Jazz, maka HRV akan menjadi gemuk gedempol dan pelik seperti sesetengah model lain. Rekaan bampar depan mengekalkan identiti Honda dengan kemasan krom yang berada di antara lampu hadapan, kemasan grill kemasukan udara minimalis 2 lapisan, dan penutup bawah bampar depan yang memberikan imej SUV pada HRV.

Profail bahagian sisi dibuat dengan rangka bumbung kelihatan rendah pada bahagian belakang yang condong pada bahagian belakang, tapi pada hakikatnya ruang bumbung belakang HRV masih lagi luas dan selesa. Gaya rekaan bumbung dan cara Honda menyembunyikan penutup pintu belakang memberikan HRV imej coupe sporti pada bahagian atas namun beberapa garisan yang wujud terutama pada bahagian perumah tayar depan dan juga lekukan bawah pintu dan kehadiran pelekap plastik pada bibir perumah tayar depan dan belakang menegaskan lagi rekaan SUV ini.

Namun pada pendapat peribadi penulis, rekaan HRV pada bahagian belakang adalah terlalu ringkas walaupun ia lengkap dengan spoiler dan kemasan bampar belakang yang legkap dengan sepasang lampu reflektor. Namun rekaan konvensional ini lebih baik berbanding dengan rekaan Kammback yang biasa digunakan oleh model hibrid terdahulu seperti Honda Insight dan juga Toyota Prius.

Unit Sport Hibrid iDCD – intelligent Dual Clutch Drive

Berbeza dengan sistem hibrid Integrated Motor Assist yang dipakai oleh model terdahulu unit i-DCD ini lebih cekap dan juga lebih berkuasa daripada gabungan unit IMA dan CVT. Secara asasnya ia merupakan satu unit kotak gear 7 kelajuan dengan klac berkembar dan motor elektrik dipasang pada kotak gear.

Namun sebagaimana asas kotak gear klac berkembar yang lain, susunannya masih sama iaitu satu set gear ganjil (1, 3, 5 dan 7) berada pada satu klac dan satu gear genap (2, 4, dan 6) berada pada satu set klac. Oleh yang demikian hanya satu klac sahaja yang disambung pada motor elektrik untuk tujuan pengecasan dan juga menyalurkan kuasa dari bateri kepada sistem i-DCD. Dalam sistem ini gear ganjil telah disambungkan dengan motor elektrik bagi tujuan tersebut.

Unit gear klac berkembar telah dipilih kerana unit ini 10% lebih cekap dan menawarkan kuasa pecutan 15% berbanding dengan CVT. Unit ini telah dibangunkan oleh Schaeffler Japan yang merupakan sebuah syarikat pembangunan komponen kenderaan yang berasal daripada Jerman. Ia menggunakan minyak transmisi ATF sebanyak 2 liter dan perlu ditukar setiap 160,000km atau setiap 96 bulan berbanding dengan dengan transmisi CVT G Design dari Honda yang memerlukan ia ditukar pada setiap 40,000km.

Keselesaan Ruang Dalaman

1. Warna hitam diletakkan sebagai tema warna bahagian dalaman HRV bermula dari panel intrumen, konsol tengah dan juga balutan kulit kusyen separa fabrik. Kawalan kerusi depan adalah dengan menggunakan mekanikal dan manual.

2.Berdasarkan rekaan coupe kedudukan pemandu adalah rendah sedikit berbanding dengan konsol tengah dan juga papan pemuka menghasilkan karekter sporti pada HRV. Jika anda suka dengan pemanduan tinggi, kedudukan kusyen boleh ditinggikan dengan senang.

3. Papan pemuka adalah seperti salinan daripada Jazz dan juga City terutama pada unit kawalan udara dengan teknologi sentuhan manakala corong penyaman udara 3 lubang pada bahagian penumpang hadapan pula mengingatkan penulis pada Honda CRZ. 3 corong penyaman udara ini sangat bagus untuk menyejukkan isteri anda jika anda gagal memujuknya menerima madu baru.

4. Ruang konsol tengah menempatkan tombol kawalan gear yang comel, unit butang Sport,  unit kawalan parkir brek elektrik dan unit kawalan brek automatik yang disusun kemas dan elegan. Ruang konsol ini memiliki 2 tempat meletakkan botol minuman manakala di bahagian depan mempunyai ruang untuk meletakkan peranti telefon pintar untuk tujuan pengecasan.

5. HRV masih memiliki ciri perehat tangan namun ruang simpananya juga terhad. Ia tidak memiliki corong penyaman udara belakang seperti Honda City.

6. Disebabkan HRV ini diasaskan dari Honda Jazz, maka ciri-ciri versatil yang lain seperti kerusi belakang boleh dilipat ke atas untuk memuatkan barang yang tinggi (pasu bunga, tong gas dan rak kasut) dan juga boleh dilipat ke bawah untuk memuatkan barang barang besar yang lain (mesin basuh, basikal ataupun perabot IKEA).

7. Ruang kargo HRV adalah sekitar 404 liter, jauh lebih kecil berbanding dengan City 536 liter ruang kargo. Disebabkan ruang belakang digunakan untuk menyimpan komponen dan bateri Lithium Ion, maka ruang belakang tidak dapat menyimpan tayar gantian dan ia digantikan dengan kit pembaikian tayar.

8. Roda steering menawarkan pengubahsuaian ketinggian dan juga teleskopik menawarkan penyesuaian minima pada pemandu. Butang kawalan pelayaran kelajuan dan kawalan audio disediakan untuk memudahkan akses kepada pemandu. Selesa untuk perjalanan dekat dan jauh.

9. Rekaan kusyen yang disediakan tidak dapat memenuhi postur belakang penulis dan menyebabkan lenguh pada bahagian tengah belakang jika memandu melebihi 3 jam dan sedikit lebih pada bahagian bahu.

10. Paparan meter akan didominasi oleh meter laju pada setiap masa, meter RPM hanay akan ditunjukkan jika perlu, kedudukan gear, penggunaan petrol semasa, jarak perjalanan yang boleh dilalui dengan baki petrol semasa, keadaan pecutan dan brek optimum, malah anda boleh menukar warna paparan meter kepada 7 pilihan warna.

11. Tombol gear adalah menggunakan teknologi “Drive by Wire” dan tiada fil mekanikal serta terasa seperti kayu ria yang biasa digunakan untuk permainan video. Ia senang digunakan dan pemandu boleh menggunakan “paddle shift” jika ingin mengawal proses penukaran gear 7 kelajuan.

12. Paparan unit paparan dan kawalan audio adalah kurang menarik dan seperti diperolehi dari pembekal “aftermarket” luar. Ia seperti kurang jelas bila dibawah pancaran terik cahaya matahari namun kualiti audio yang dihasilkan adalah memuaskan.

Pengalaman Pemanduan

13. Sebaik sahaja anda duduk di bahagian kerusi pemandu, terdapat dua identiti kenderaan pada HRV. Jika anda inginkan sebuah coupe, maka rendahkan kerusi anda dan nikmati postur pemanduan yang sporti sinonim dengan jenama Honda. Namun jika anda mahukan sebuah SUV, tinggikan kerusi anda dan ia bagaikan berada dalam sebuah SUV konvensional. Senang dan genius kan.

14. Kuasa enjin dibekalkan oleh unit L15B1 iaitu enjin 1500cc DOHC Earth Dream Technology lengkap dengan sistem pancitan bahan api terus. Enjin ini berjaya mengekstrak 130 kuasa kuda pada 6600 RPM dan 156Nm pada 4600 RPM. Enjin ini menggunakan kitaran Atkinson yang jauh lebih jimat berbanding kitaran Otto.

15. Motor yang dibekalkan boleh menghasilkan kuasa sehingga 29 kuasa kuda di antara 1300-2000 RPM dan 160Nm antara 0-1300RPM. Gabungan enjin dan motor ini menghasilkan 150 kuasa kuda pada dan 190Nm tork. Disebabbkan kuasa enjin dan motor dihasilkan pada RPM yang berbeza, maka gabungan kuasa kedua dua sistem diambil secara purata. Secara purata gabungan kuasa ini menyamai kuasa yang dihasilkan oleh enjin 2000cc konvensional.

16. Kuasa bateri dibekalkan apabila HRV membrek dan menukarkan tenaga kinetik menjadi tenaga elektrik berbanding tenaga haba seperti kenderaan konvensional. Kuasa elektrik akan disimpan di dalam cell EHW5 yang lebih berkuasa, 17% lebih ringan dan 7% lebih kecil berbanding dengan bateri hibrid model lama.

17. Gabungan kuasa yang dibkelakan oleh enjin dan motor elektrik ini cukup untuk membawa HRV ini pada halaju 180km/j tanpa ragu-ragu. HRV mampu mengekalkan halaju dengan selesa tanpa sebarang masalah dan stabil. Namun begitu HRV bukanlah sebuah SUV yang direka untuk dipandu dengan laju sepanjang masa.

18. Terdapat 3 mode pemanduan yang disediakan untuk HRV iaitu ECON mode, Normal mode dan juga Sporty Mode. Dalam ECON mode enjin ditala agar beroperasi dalam parameter yang lebih lembut termasuk penghantaran kuasa pada enjin pada kotak gear DCT dan kuasa pemampat penyaman udara dikurangkan secara drastik. Namun prestasi enjin dalam perjalanan di kawasan bandar agak mengecewakan dan pecutannya lemah.

19. Untuk pemanduan di dalam bandar saya cadangkan menggunakan mode Normal di mana penghantaran kuasa yang dibuat lebih lancar. Mode ECON hanya boleh diaktifkan jika anda terperangkap di dalam kesesakan jalan raya ataupun semasa memandu secara santai di lebuh raya.

20. Untuk mengelakkan anda bosan memandu secara santai, HRV menawarkan mode pemanduan Sporti yang boleh diaktifkan dengan satu butang yang berada di konsol tengah. Sebaik sahaja ditekan, kuasa dihantar secara agresif pada kotak gear DCT dan gear akan ditukar pada RPM yang lebih tinggi.

21. Untuk memudahkan pemandu mengawal proses penukaran gear unit DCT, HRV datang dengan unit kawalan “paddle shift”. Anda boleh menukar gear terutama jika mahu melakukan “engine braking” ataupun memecut ketika mendaki bukit. Jika ia dibiarkan seketika, unit ini akan kembali pada mode automatik. Tapi janganlah mengharapkan kualiti penukaran gear sama seperti unit DSG yang dipakai oleh VW. Unit DCT pada HRV lebih lembut dan linear.

22. Sebaik sahaja sistem dihidupkan, HRV akan sentiasa berada dalam mode elektrik dan berfungsi sebagai kenderaan elektrik. Berdasarkan ujian penulis, HRV mampu bergerak sejauh 3km dalam keadaan elektrik sepenuhnya di bawah halaju 20km/j. Mode pemanduan ini langsung tidak menggunakan petrol dan dipanggil EV Mode dan menggunakan elektrik sepenuhnya. Namun jika kuasa bateri jatuh di bawah paras yang dibenarkan, enjin akan dipaksa untuk hidup bagi tujuan pengecasan bateri.

23. HRV tiada butang khusus untuk memaksa ia bekerja dalam mode EV sepanjang masa, namun ia bergantung pada unit IPU Intergrated Power Unit dan juga kandungan tenaga elektrik yang masih tersimpan di dalam bateri Lithium Ion. Untuk terus beroperasi unit i-DCD hanya akan menggunakan gear 1, 3, 5 dan 7. EV mode akan diaktifkan semasa pemanduan santai di antara halaju 40-80km/j bergantung pada cara pemanduan dan penulis hanya menyedari HRV dipandu dalam keadaan EV apabila lampu “EV Mode” menyala pada paparan instrumen.

25. Jika HRV memerlukan lebih kuasa untuk memecut, unit IPU akan menghidupkan enjin dan menghantar kuasa enjin pada klac kedua dan sistem akan menerima suapan kuasa daripada enjin dan juga bateri. Jika IPU mengesan pemandu menekan brek, ia akan memutuskan klac daripada enjin dan menghantar semua tenaga kinetik pada motor untuk ditukar kepada tenaga elektrik.

26. Kuasa membrek dibekalkan oleh Sistem Brek Servo Elektrik bagi meningkatkan kecekapan sistem menukar tenaga kinetik kepada elektrik. Walaupun kuasa membrek adalah mencukupi namun rasa membrek terasa sedikit “palsu” seperti taburan janji pilihan raya. Brek konvensional terasa lebih seronok digunakan.

27. Istimewa untuk unit HRV hibrid ini juga ialah penggunaan pemampat penyaman udara yang dikuasakan elektrik sepenuhnya membolehkan ia terus berfungsi dan menyejukkan ruang kabin walaupun enjin berhenti berfungsi semasa sistem “Auto Start Stop” berfungsi atau semasa proses brek regeneratif digunakan.

28. Berbeza dengan persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa varian hibrid adalah lembik, HRV hibrid sebenarnya lebih berkuasa daripada varian 1.8 RS, lebih tinggi tork yang dihasilkan dengan perbezaan berat hanya 10kg. Dengan kuasa tambahan dan kotak gear DCT ternyata HRV hibrid sport memang seronok dipandu dan menjimatkan. Secara purata, setangki petrol membolehkan HRV dipandu sejauh 800km atau secara purata 17.7km per liter petrol.

Perkara yang Perlu Ditambahbaik pada HRV

29. HRV hanya memiliki ciri-ciri keselamatan yang minima seperti 6 beg udara SRS dan Kawalan Kestabilan Elektronik sahaja. Tiada ciri seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Sistem Amaran Titik Buta, dan Sistem Amaran Lintasan Belakang (RCTA) disediakan.

30. Malah HRV juga tidak memiliki ciri keselamatan Honda Sensing Suite yang ada pada Honda CRV. Sebagai perbandingan Proton X70 memiliki ciri amaran perlanggaran dan juga sistem pelayaran auto adaptif yang telah diuji oleh penulis.

31. HRV hibrid juga dibina berasaskan dengan varian E dan ia tidak memiliki kemewahan yang dimiliki oleh varian lain (V dan RS) seperti lampu depan teknologi LED, kerusi pemandu berkuasa elektrik, dan Honda Lane Watch Camera. Penulis berpadangan lebih bagus jika HRV ini datang dengan teknologi Honda Sensing walaupun harganya akan bertambah beberapa ribu ringgit.

Adakah HRV Hibrid berbaloi untuk dibeli?

SUV secara umumnya menggunakan bahan api lebih banyak berbanding dengan kereta sedan kerana ia lebih berat, lebih besar, menggunakan tayar yang lebih besar (rintangan golek yang lebih tinggi) dan satu kelebihan yang nyata bagi SUV ialah ia berada lebih tinggi berbanding dengan kenderaan lain. Honda melawan stigma tersebut dengan menawarkan sistem pacuan intelligent – Dual Clutch Drive memberikan penjimatan bahan api dan juga sporti dalam satu masa.

Teknologi kereta elektrik mungkin memerlukan lebih masa untuk menjadi sempurna dan jarak perjalanan perlu ditambah untuk setiap kali pengecasan. Harga sebuah kereta elektrik buat masa sekarang adalah mahal. Sebagai alternatif, kenderaan berkuasa hibrid menawarkan penyelesaian untuk sebuah kenderaan yang menjimatkan, kadar pencemaran yang rendah dan harga mampu milik.

Google ads
Back to top button