Buletin

PEPIJAT BUSUK PUNCA WARGA AUSTRALIA DAPAT KENDERAAN BAHARU LAMBAT

Warga Australia yang menanti selama berbulan-bulan untuk memiliki kenderaan baharu berikutan kekurangan bekalan cip global berdepan masalah baharu apabila kapal kargo ‘diserang’ pepijat busuk.

Menurut laporan ABC News, kontena kapal kargo yang membawa kenderaan-kenderaan baharu terpaksa  menjalani proses mewasapi terlebih dahulu untuk membunuh pepijat terbabit.

Pepijat busuk terbabit dikenali sebagai brown marmorated stink bug aktif antara bulan September sehingga April.

Ia sekali gus memaksa kawalan keselamatan bio perlu diperketatkan bagi memastikan setiap produk bebas daripada serangan pepijat itu.

Ketua unit biosekuriti Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar, Andrew Tounge menjelaskan, serangan pepijat itu mampu mengundang kesan buruk kepada sistem pertanian Australia.

“Selain daripada memakan tanaman, ia juga berupaya untuk menumpang terbang dan menyerang pelbagai jenis tanaman, dan mudah pula untuk membiak dengan cepat sekiranya diperkenalkan ke kawasan baharu,” katanya.

Pepijat itu juga dikatakan mampu bersembunyi dalam bilangan yang besar di dalam bangunan dan peralatan selama berbulan-bulan dalam keadaan dorman, sebelum terdedah kepada suhu lebih panas untuk kembali aktif dan menyebabkan kerosakan.

Bagaimanapun, kelewatan tersebut tidak menghalang warga Australia membeli kenderaan baharu apabila terdapat peningkatan sebanyak 21 peratus dalam jualan berbanding bulan September tahun lalu. – ABCNews/carscoops

Google ads
Back to top button