Motosikal

DIDI LANCAR MOTO GUZZI V7 STONE CENTENARIO EDITION, RM72,900 SEUNIT

Didi Resources hari ini melancarkan Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition ke pasaran tempatan.

Pelancaran tersebut dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-100 jenama motosikal dari Itali itu. Hadir dalam jumlah terhad, jentera itu hadir dengan Centennial Livery istimewa dan hanya ditawarkan pada tahun 2021 sahaja.

“Sejak tahun 2017, kami komited untuk membangunkan jenama Moto Guzzi di Malaysia dengan menganjurkan pelbagai aktviri gaya hidup buat para pemilik. Selain menawarkan perkhidmatan menerusi rangkaian jualan dan selepas jualan yang lebih baik.

“Premis terkini ialah Motoplex Petaling Jaya, pertama di Malaysia daripada 300 kedai di seluruh dunia.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-100 ini, Moto Guzzi Clan menyertai Eagle Ride 2021 dari Putrajaya ke Genting. Konvoi ini bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan jenama ini,” kata Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo.

V7 Stone dikuasakan oleh enjin 850cc yang mampu menjana 65hp. Enjin yang dibangunkan di Mandello itu menawarkan kuasa lebih mantap dan efisien untuk tunggangan yang lebih mengujakan.

Enjin itu juga 25 peratus lebih berkuasa dengan kuasa tork dapat dirasai pada 3,000rpm. Berbanding enjin lama, ia juga kelihatan lebih menarik dengan padanan paipekzos yang besar.

Menggunakan suspensi Kayaba, jentera berkenaan dipasang dengan mudguard belakang lebih pendek. Manakala pelana dua tingkat menjanjikan tunggangan yang selesa.

V7 Stone kini dilengkapi sistem lampu LED baharu dengan lampu utama turut dipasang bersama lampu nyalaan siang (DRL). Jentera itu menerima kluster instrumen baharu digital berbentuk bulat.

Versi V7 Stone Centennario diserlahkan dengan skema warna perak bersama kemasan satin pada tangki minyak. Di samping warna hijau pada panel sisi dan mudguard hadapan. Manakala paip ekzos dan enjin diwarnakan hitam yang kelihatan cukup garang.

Pelana pula dibalut kulit dengan jahitan benang berwarna coklat. Akhir sekali, logo helang itu tampil dengan kemasan warna emas dan emblem khas bagi meraikan ulang tahun ke-100 Moto Guzzi.

Berminat? Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition boleh anda miliki pada harga RM72,900 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button