Buletin

PERJALANAN RENTAS NEGERI 1-3 MEI SAHAJA. PERMOHONAN MELALUI APPS GERAK MALAYSIA ATAU DI BALAI POLIS

Orang ramai yang hendak melakukan pergerakan rentas negeri untuk tujuan yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu membuat permohonan melalui aplikasi ‘Gerak Malaysia’ bermula esok (26 April).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata mereka yang layak boleh membuat permohonan secara dalam talian susulan kebenaran pergerakan itu selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei ini.

“Bagi yang membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia pada 26 April (esok), mereka perlu mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan.

“Semakan status permohonan itu boleh dibuat pada 1 Mei juga melalui dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka yang tidak mempunyai aplikasi Gerak Malaysia pula perlu membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan di balai polis berdekatan. Bagaimanapun, katanya keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia.

Sepanjang tempoh berkenaan, pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

“Bagi mereka yang mengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat berjemaah di R&R tidak dibenarkan termasuklah di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kenderaan dan lain-lain,” katanya.

Menurut Huzir, hanya fasiliti tandas awam sahaja yang dibenarkan beroperasi. Manakala kawasan meletak kenderaan hanya dibenarkan untuk tujuan rehat. Pengguna lebuh raya tidak dibenar keluar daripada kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali untuk menggunakan tandas awam.

“Stesen minyak hanya akan beroperasi antara 6.00 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya dan dilarang melakukan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam tempoh perjalanan.

“Satu kenyataan media berhubung tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia akan dikeluarkan pada hari ini. Diikuti oleh sidang media pada 29 April mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka lancar dan teratur,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum tempoh PKP dan kini ingin kembali ke rumah masing-masing boleh membuat permohonan bagi tujuan itu.

Setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan kepada pihak polis secara dalam talian bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button