
JENTERA HONDA RC213V DIBINA HANYA UNTUK MARQUEZ? INI JAWAPAN BOS REPSOL HONDA MOTOGP
Ketua pasukan Honda MotoGP, Alberto Puig menegaskan dakwaan bahawa jentera Honda hanya dibina untuk Marq Marquez hanya sekadar pandangan dan tidak berasaskan kepada fakta.
Marquez mengungguli kejuaraan MotoGP kali keenam pada tahun 2019 apabila mencatat 12 kemenangan dan 420 mata, jauh meninggalkan pesaingnya yang lain.
Apa yang menimbulkan persoalan, hanya Marquez yang menang dengan menunggang jentera RC213V. Sedangkan ia sentiasa dikritik oleh para pelumba kerana dikatakan sukar untuk dikendali berbanding model sebelumnya.

Dengan motosikal ini, hanya pelumba pasukan Honda LCR, Cal Crutchlow yang berjaya mencatat keputusan tiga kali podium. Manakala Jorge Lorenzo langsung gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba dalam semua perlumbaannya.
Perkembangan itu membuatkan pihak pengurusan Ducati membuat kenyataan HRC hanya membina motosikal untuk Marquez.
Apabila ditanya adakah Honda mempunyai sebarang perancangan untuk mengubah persepsi bahawa hanya Marquez mampu menunggang RC213V, Puig berkata:
“Pertamanya, saya fikir itu bukanlah fakta, cuma pandangan semata-mata. Faktanya, Honda sudah memenangi 10 gelaran dalam tempoh 18 tahun menerusi empat pelumba berbeza iaitu Valentino Rossi, Nicky Hayden, Casey Stoner dan Marquez.
“Yamaha juga berjaya catat dua gelaran dengan Rossi dan Ducati bersama Stoner. Jadi dengan fakta itu, kami boleh katakan jentera yang paling mudah ditunggang ialah Honda kerana ia telah menang banyak kejohanan dengan ramai penunggang.
“Saya tidak tahu apa yang pasukan lain katakan, kerana kami tidak peduli sangat. Lagipun, prestasi pasukan bukan bergantung kepada jentera sahaja, tetapi ia melibatkan keseluruhan strukturnya, “Jadi, setiap pasukan ada cara mereka sendiri dan perlu melakukan yang terbaik,” jelas Puig.