Buletin

PERODUA HAMPIRI SASARAN JUALAN TAHUNAN 209,000 UNIT PADA NOVEMBER.

Awal tahun ini, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengumumkan bahawa mereka mensasarkan jualan sebanyak 209,000 unit kenderaan pada tahun ini.

Ia meningkat dua peratus daripada jualan sebanyak 204,900 unit yang dicatatkan tahun lalu.

Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran serta masalah pengeluaran Myvi dua bulan lepas, nampaknya Perodua sudah boleh menarik nafas lega bilamana sasaran tersebut hampir dicapai pada bulan November.

Setakat November lalu, Perodua sudah menjual 208,841 unit dan hanya kurang 159 unit lagi untuk mencapai angka 209,000. Berbaki sebulan sahaja lagi, sudah tentu, tiada masalah langsung bagi syarikat ini.

Bulan November juga menyaksikan Perodua mencatat rekod jualan tertinggi dengan sejumlah 21,110 unit.

Prestasi jualan tahun ini banyak disumbangkan oleh model Myvi, disamping momentum jualan daripada Bezza. Menjelang pelancaran SUV D38L yang dijangka pada tahun hadapan, Perodua akan terus menguasai pasaran kenderaan penumpang sekitar 35 peratus.

Google ads
Back to top button