Buletin

PERODUA TAK CADANG NAIK HARGA KENDERAAN. ALAT GANTI PUN NAK KEKAL MURAH

PERODUA tidak bercadang menaikkan harga kenderaan walaupun berdepan cabaran kenaikan harga bahan mentah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA memilih untuk menyerap kos tambahan akibat kenaikan itu untuk terus memberi produk mampu milik kepada rakyat negara ini.

Katanya, ia sekali gus mengekalkan penanda aras sebagai pengeluar kereta nasional mampu milik.

“Harga bahan mentah meningkat di mana besi telah meningkat lebih 20 peratus sejak suku ketiga tahun lalu, selain dijangka meningkat lagi 10 peratus suku pertama tahun ini.

“Bagi PERODUA tiada cadangan untuk memindahkan beban kos tambahan ini kepada pelanggan.

“Berdasarkan kajian berdaya saing yang dilaksanakan, kami masih mampu menyerap kos tambahan ini,” katanya.

Selain kos bahan mentah yang meningkat, industri automotif turut berdepan kenaikan harga alat ganti.

Bagaimanapun, PERODUA akan berusaha mengekalkan harga alat ganti malah mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan harga alat ganti kepada para pelanggan.

“Pada tahun ini, kita ingin mengekalkan atau mengurangkan lagi harga alat ganti kepada para pelanggan.

“PERODUA ingin memberi peluang kepada pemilik-pemilik kenderaan untuk menyelenggara kenderaan mereka selepas dua tahun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Google ads
Back to top button