Buletin

PETRONAS AUTOEXPERT IPOH DILANCARKAN – MAHU TINGKAT IMEJ PUSAT SERVIS

Majlis Amanah Rakyat (MARA) secara rasmi melancarkan sebuah pusat servis kenderaan Is Tayar Maju Sdn. Bhd. di bawah program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP) di Ipoh, Perak.

Pembukaan outlet Is Tayar Maju yang dimiliki oleh Ismail bin Ahmad, 52, secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman, pembukaan pusat servis itu selari dengan objektif MARA membangunkan komuniti usahawan automotif yang dinamik dan kompeten.

PUMP turut menjalin kerjasama bersama PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) dalam penyediaan modul Latihan berstruktur bagi membolehkan usahawan melaksanakan proses pengubahsuaian premis untuk mewujudkan outlet di bawah jenama tersebut.

Selain latihan dan pengubahsuaian, usahawan terpilih juga bakal menerima khidmat nasihat serta dibantu dengan kemudahan pembiayaan perniagaan.

“MARA mensasarkan usahawan yang ingin meningkatkan imej pusat servis serta menaik taraf pusat servis.

“Kami juga mahu memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta untuk menceburi atau menjalankan perniagaan dalam bidang automotif,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 20 outlet PUMP telah dibangunkan melibatkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM10.3 juta. Usahawan di bawah program ini telah mencapai nilai jualan sebanyak RM15.85 juta.

Google ads
Back to top button