
PETRONAS CATAT UNTUNG BERSIH RM55.1 BILION, MEROSOT 32 PERATUS
PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, merosot 32 peratus berbanding RM80.7 bilion sejajar dengan harga minyak yang rendah.
Pendapatannya dalam tempoh itu berjumlah RM320.0 bilion, susut tujuh peratus daripada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh dikaji, PETRONAS mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah sebanyak RM114.1 bilion, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata prestasi kewangan PETRONAS pada 2024 kekal berdaya tahan di tengah-tengah turun naik tidak menentu yang berterusan dalam pasaran dan tekanan kawal selia yang semakin meningkat berikutan perubahan geopolitik global.

Beliau berkata, komitmen kumpulan terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kepelbagaian portfolio menyokong syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keputusan kewangan yang utuh meskipun berdepan persekitaran mencabar.
Katanya, PETRONAS telah menggerakkan strategi transformasi untuk mengukuhkan keupayaannya bagi menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan pemegang kepentingannya serta menyampaikan tenaga kepada pelanggan dan memberi impak positif kepada komuniti.
“Melalui disiplin yang teguh dalam peruntukan modal dan rasionalisasi kos, kerjasama kukuh dan model perkongsian baharu, serta operasi dan kecemerlangan komersial, PETRONAS akan menjadi lebih berpaksikan nilai, berdaya saing di peringkat global, dan tangkas dalam bertindak balas terhadap perubahan pasaran.
“PETRONAS akan terus komited dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan jaminan tenaga Malaysia. Dijangkakan transformasi ini akan menjadikan kedudukan institusi ini lebih baik untuk terus menjunjung mandat yang diamanahkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 di sini, hari ini.
Pada 2024, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) PETRONAS berjumlah RM102.5 bilion, terutama dipacu oleh EBITDA.
Pelaburan modal (CAPEX) berjumlah RM54.2 bilion, terutamanya berpunca daripada aktiviti di Malaysia, sementara asetnya berjumlah RM766.7 bilion.
Mengenai tinjauan bagi 2025, PETRONAS berada di kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil memastikan jaminan bekalan.
Kumpulan bersedia untuk mengharungi cabaran dengan memaksimumkan potensi asetnya, pengurusan kewangan yang berhemat serta produktiviti dan kecekapan penambahbaikan dalam usaha kumpulan untuk kekal sebagai organisasi berprestasi tinggi.
Pada 2024, PETRONAS memberi dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion, pembayaran cukai (termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dan duti RM26.8 bilion, pembayaran tunai petroleum RM13.1 bilion dan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM500 juta.
Bagi 2025, PETRONAS dijangka memberi dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion. – Berita Harian
- BACA: KUCHING MENUJU PENGANGKUTAN BERASASKAN HIDROGEN SEPENUHNYA TAHUN HADAPAN
- BACA: MERCEDES W16 2025 JADI SENJATA BAHARU, TARUH HARAPAN PADA ANTONELLI DAN RUSSELL
- BACA: ISUZU D-MAX LOW RIDE 4X2 BAHARU DIPERKENALKAN – JANA 150PS, HARGA BERMULA RM91K
- BACA: KOLEKSI HELMET GRACSHAW X DEMON SLAYER DILANCARKAN – HANYA 3,000 UNIT, RM490