Buletin

PETRONAS PERKENAL SERVIS ISI MINYAK BERGERAK ROVR

Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini memperkenalkan perkhidmatan mengisi bahan api bergerak (ROVR). 

Perkhidmatan pertama seumpamanya yang ditawarkan oleh PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) itu membolehkan pelanggan mengisi minyak dengan mudah. 

Untuk makluman, ROVR sudahpun memberi khidmat kepada pelanggan komersial (B2B) sejak Oktober 2018  dengan lebih 1 juta liter bahan api sehingga kini. 

Pengguna akhir (B2C) dapat menikmati penyelesaian inovatif itu kerana ROVR akan menawarkan produk terkini iaitu PETRONAS Primax95 dengan Pro-Drive di kawasan trafik tinggi. Sekali gus memperluaskan liputan PDB, melangkaui rangkaian stesen PETRONAS yang ekstensif.  

“Kami menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan B2B. Kami mahu pelanggan bergerak lebih jauh kerana kami akan terus menawarkan pengalaman yang terbaik,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai PDB, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin. 

ROVR mempunyai jadual penghantaran PETRONAS Dynamic Diesel kepada pelanggan B2B. Ia membolehkan proses mengisi minyak dibuat di premis pelanggan. 

“Kami gembira dengan tawaran baharu daripada PDB. Bukan senang untuk trak besar bergerak di atas jalan, malah banyak stesen minyak meletakkan had ke atas kenderaan komersial yang besar. Dengan ROVR, kami hanya perlu menetapkan masa penghantaran bahan api. Kemudian trak dan ranger ROVR akan datang. 

“Inisiatif ini dapat memudahkan perancangan logistik, mengurangkan kos dan menambah baik pengurusan masa kami,” kata Ketua Pegawai Kewangan Landbridge Haulage (M) Sdn. Bhd., Sua Hee Yuan. 

Trak-trak bahan api ROVR dijamin selamat. Ia mematuhi piawaian penghantaran dan pengisian bahan api dari segi kesihatan, keselamatan serta alam sekitar sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

 Semua trak ROVR dilengkapi sensor untuk memantau maklumat penting dan mengekalkan keselamatan operasi setiap masa. 

Rangkaian trak ROVR kini terdiri daripada sebuah trak berkapasiti 4,000 liter dan tiga buah trak dengan keupayaan membawa 11,000 liter bahan api untuk pelanggan komersial.

Trak ROVR untuk pelanggan akhir kini berada dalam fasa ujian. Menjelang akhir tahun ini, PDB akan mengembangkan perkhidmatan ROVR ke seluruh negara. 

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.rovr2u.com.   

Google ads
Back to top button