Pandu Uji

PEUGEOT 208 GTI

Selepas sukses dengan pelancaran model 208 baharu di pasaran global pada Jun 2012, Peugeot dilihat mahu terus mengujakan segmen Supermini menerusi model 208 yang lebih berkuasa. 

Dikenali sebagai 208 GTi, ia merupakan pencabar utama kepada Supermini lain seperti Volkswagen Polo GTi dan Ford Fiesta ST. Peminat model itu kini boleh memilikinya kerana pengedar kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) telah melancarkan 208 GTi pada minggu lalu.

Peugeot 208 GTi_1208_01

Bakal merevolusikan segmen hatchback berprestasi tinggi di Malaysia, 208 GTi dibina menggunakan material dan warna yang sofistikated. Jentera itu dapat dibezakan dengan mudah melalui penampilannya yang sporty. Misalnya gril hadapan, lampu utama, LED Daytime Running Lights (DRL), selain lencana GTi pada tiang C dan perumah cermin sisi berwarna krom.

Sedia maklum bahawa nama GTi sememangnya berkait rapat dengan rangkaian model Peugeot yang terlibat secara aktif dalam sukan pemotoran. Bermula dengan 205 GTi, legasi itu kemudian diteruskan oleh 206 GTi, 207 GTi dan 208 GTi. Kesemua jentera tersebut menyerlahkan keupayaan Peugeot dalam menghasilkan hatchback kompak berprestasi tinggi.

208GTi_1203TC001

208 GTi dibina khas untuk mereka yang mahukan prestasi dan pecutan. Bagi meningkatkan dinamik pemanduannya, jentera ini dilebarkan sebanyak 10mm di hadapan dan 20mm di bahagin belakang.  Model tiga pintu ini juga dipasang dengan rim aloi bersaiz 17 inci dengan dua tona.

208 GTi dikuasakan oleh unit enjin PSA turbo bertekanan tinggi (THP) bersesaran 1.6 liter bersama sistem pancitan terus. Enjin sama yang dipasang pada varian Peugeot RCZ THP 200 itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 200hp dan tork puncak 275Nm.

71794-a-peu_lead_image1304_049_Peugeot_208_GTi

Enjin itu baru sahaja diiktiraf menerusi anugerah International Engine of the Year 2013 untuk tujuh tahun berturut-turut oleh majalah Engine Technology International. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan oleh kotak gear manual enam kelajuan. Padanan tersebut membolehkan 208 GTi memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh cuma 6.8 saat dengan pecutan maksimum 230km/j.

Biarpun begitu berkuasa, 208 GTi masih mampu menawarkan penjimatan bahan api. Peugeot mendakwa jentera itu hanya memerlukan 5.9 liter petrol untuk setiap 100km. Kadar emisinya pula sekadar 139g bagi setiap kilometer. Pendek kata, penjimatan dan emisi adalah 10 peratus lebih baik berbanding model sebelumnya.

Peugeot 208 GTi_1208_02

Kualiti pengendalian 208 GTi disumbang oleh aplikasi sistem suspensi topang MacPerson dan bar anti oleng untuk roda hadapan. Sementara suspensi roda belakang pula terdiri daripada trailing arm dengan gandar cross-member yang dinamik.

Tugas memberhentikan kereta itu diserahkan kepada brek cakera ventilasi bersaiz 302mm di hadapan dan 249mm pada roda belakang.  Senarai sistem keselamatannya juga mengujakan. 208 GTi dilengkapi sistem Stability Control, Traction Control, ABS, EBA, EBFD dan Electronic Stability Program (ESP) generasi terbaharu.

PEUGEOT_208_2013_218_FR

“Setakat ini, 208 GTi sudah menerima 30 tempahan. Sasaran jualan kami tidak tinggi, hanya sekitar 20 hingga 30 unit sebulan, memandangkan ia berada dalam pasaran yang niche,” kata Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George.

208 GTi boleh anda miliki pada harga RM139,888 seunit termasuk insurans. Hanya dua warna ditawarkan iaitu merah dan putih. Ia hadir dengan jaminan selama lima tahun dan jarak perbatuan tanpa had. Di samping servis bantuan Peugeot 24 jam, akses percuma ke Peugeot Lounge dan keahlian Peugeot Privilege.

Peugeot 208 GTi Launch

Selari dengan pengenalan 208 GTi, Nasim turut melancarkan pusat jualan Peugeot Old Klang Road. Premis berkeluasan 4,000 kaki persegi itu melibatkan pelaburan mencecah RM500,000.

Ia akan memberi perkhidmatan kepada para pelanggan Peugeot di Taman Seputih, Sri Petaling, Desa Petaling,Taman Desa, Taman OUG, Pantai Dalam, Jalan Kuchai dan kawasan sekitarnya. Ini merupakan outlet yang ke-27 dalam usaha Nasim meningkatkan rangkaian pusat jualan Peugeot kepada 30 unit menjelang akhir tahun ini.

[hr] Galeri 

208GTi_1203TC002208GTi_1208PC018Peugeot 208 GTi_1208_06Peugeot 208 GTi_1208_08PEUGEOT_208_2013_140_FRPeugeot_208_2013_053_UK

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button