
HONDA STEP WGN & FREED DI THAILAND
Pengedar kenderaan Honda di Thailand, Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd. (Honda Automobile) baru-baru ini memperkenalkan dua model kenderaan multi utiliti (MUV) yang menarik iaitu Honda STEPWGN SPADA dan Honda Freed 2013.
Kedua-dua model itu dikatakan sesuai dengan generasi moden di Thailand. Pengenalan itu dibuat bagi mengukuhkan lagi penguasaan Honda dalam segmen tersebut.
Naib Presiden Eksekutif Honda Automobile, Pitak Pruittisarikorn memberitahu pasaran MUV semakin berkembang di Thailand.
“MUV sudah lama popular di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat. Ia dilihat sebagai kenderaan ideal untuk pelbagai kegunaan sama ada perniagaan atau menjalankan aktiviti riadah bersama rakan-rakan dan keluarga,” kata Pruittisarikorn.
Honda STEPWGN SPADA ialah MUV premium berkapasiti tujuh tempat duduk. Ia dikuasakan oleh enjin i-VTEC 2.0 liter yang menawarkan kuasa sehingga 150hp dan dipadankan dengan kotak gear CVT bersama paddle shifter.
Bagi penjimatan bahan api, MUV ini dilengkapi Idling Stop, ECON Mode dan sistem paparan pemanduan ECO, selain boleh menggunakan bahan api alternatif E20. Ciri keselamatan yang ada padanya termasuklah Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist, dua beg udara SRS dan struktur kerangka G-Force Control (G-CON).
Honda STEPWGN SPADA ditawarkan dalam dua varian iaitu EL dan E dengan warna hitam dan putih. Varian EL dipasang dengan tempat duduk kulit dan ditawarkan pada harga 1,959,000 Baht (RM202,584) seunit. Sementara varian E pula menggunakan tempat duduk fabrik dan berharga 1,899,000 Baht (RM195,804). Tak murah juga rupa-rupanya.
Untuk harga lebih murah, pengguna boleh memilih Honda Freed. MUV berkapasiti tujuh tempat duduk yang diimport dari Indonesia juga dipasarkan di Malaysia. Tetapi, ia kurang mendapat sambutan di sini.
Freed yang dibina di atas platform Honda Jazz menggunakan khidmat enjin i-VTEC 1.5 liter. Mampu menjana kuasa mencecah 118hp, ia dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan.
Bagi varian EL harganya ialah 959,000 Baht (RM99,534) dan varian E pula 834,000 Baht (RM86,570) seunit.
[hr] Galeri


















