HUAWEI HILANG AKSES KE ATAS ANDROID – PENGGUNA SEKARANG TIDAK TERJEJAS
Google dilapor telah menggantung operasi perniagaan dengan Huawei berkuat kuasa serta-merta. Langkah drastik itu dijangka memberi impak dramatik kepada peranti Huawei di seluruh dunia.
Justeru, Huawei Technologies Co Ltd tidak lagi mempunyai akses ke atas sistem operasi Android.
Telefon pintar versi seterusnya di luar China juga tidak dapat mengakses aplikasi dan perkhidmatan popular seperti Google Play Store dan aplikasi Gmail.
Ini bermakna tiada lagi kemas kini keselamatan Android untuk peranti baru dan lama, termasuklah model P30, P30 Pro, Mate 20 Pro dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, pengguna telefon pintar Huawei juga tidak boleh menerima sokongan teknikal. Malah telefon baharu tidak lagi mempunyai aplikasi seperti YouTube dan Maps.
Google mengambil tindakan berkenaan selepas Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat pada Rabu lalu mengumumkan Huawei kini diletakkan dalam senarai hitam perdagangan. Ini berikutan arahan eksekutif yang telah ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Biarpun begitu, dalam satu maklum balas terkini, Google telah mengeluarkan satu kenyataan baharu yang menyatakan bahawa telefon pintar Huawei dan mungkin juga Honor akan terus mendapat akses ke atas Google Play dan keselamatan daripada Google Play Protect.
Ini kerana Google perlu mematuhi arahan kerajaan AS yang meletakkan Huawei di dalam Senarai Entiti. Senarai Entiti berfungsi mengharamkan sesebuah syarikat memperoleh teknologi daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan.
“Kami sudah bersedia dengan situasi ini dan sudah ada pelan B. Kami juga akan membangunkan alat ganti sendiri,” tegas Ketua Eksekutif Huawei, Ren Zengfei.
Huawei dilihat terus menerima tekanan daripada negara-negara Barat yang diketuai oleh AS kerana wujud kemungkinan ancaman berikutan penggunaan produknya di dalam rangkaian mudah alih 5G.
Beberapa buah negara menyatakan kebimbangan peranti Huawei boleh digunakan oleh China bagi tujuan risikan.
Huawei sejak awal lagi menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan ia bebas daripada pengaruh pentadbiran China.
Sehingga kini, masih belum jelas apakah kesan keputusan ini terhadap masa depan Huawei. Dari segi jangka pendek, ia pasti memberi impak yang sangat serius ke atas Huawei terutama di pasaran negara Barat.
Namun, jika dilihat dari segi jangka masa panjang pula, tindakan tersebut mungkin memberikan vendor-vendor telefon pintar satu alasan kukuh untuk mempunyai satu alternatif yang jelas selain daripada sistem operasi Google.
Terutama ketika Google cuba untuk menaikkan jenama Pixel keluarannya sendiri.