Buletin

PROTON TAMAT SUKU KETIGA DENGAN JUALAN MELEBIHI 100,000 UNIT

Pengeluar kereta nasional PROTON mengakhiri suku ketiga tahun 2022 dengan jumlah jualan terkumpul (YTD) sebanyak 102,353 unit. Ia menyaksikan penambahan jualan sebanyak 40.2 peratus berbanding sembilan bulan lalu pada tahun 2021.

Ia merupakan tahun keempat berturut-turut sasaran 100,000 unit telah dicapai dan pada tahun ini, ia berlaku dua bulan lebih awal berbanding tahun 2021. PROTON kekal di tempat kedua berbanding pesaingnya dalam jadual jualan dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8% untuk bulan September.

Secara Keseluruhan, Jumlah Volum Industri (TIV) bagi September dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, jumlah keempat terbaik tahun ini dimana pasaran automotif Malaysia dijangkakan akan mencatat tahun jualan terbaiknya.

Pengeluaran yang stabil untuk Saga dan X50 meningkatkan lagi jualan meskipun pada awal tahun terdapat pelbagai isu, ketersediaan alat ganti akibat kesan berlarutan daripada banjir pada bulan Disember, Covid-19, dan kekurangan cip mikro global.

Dengan 4,517 unit Proton X50 diserahkan pada bulan September serta lebih 4,000 unit telah diserahkan selama empat bulan berturut-turut, menyumbang kepada jumlah terkumpul YTD sebanyak 29,591, satu peningkatan sebanyak 78.2 peratus berbanding tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021.

Proton Saga juga mencatatkan nombor yang mengagumkan. Terjejas teruk akibat banjir tahun lepas yang menyebabkan penyerahan berkurang kepada hanya 76 unit pada bulan Januari, model popular itu menetapkan paras tertinggi baharu untuk tahun 2022 dengan 6,442 unit, mencapai jumlah yang tidak dicapai sejak bulan Oktober 2013.

Jumlah YTD sebanyak 40,603 unit juga jauh di hadapan berbanding tahun 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 49.3 peratus dan buktikan ia kekal sebagai pilihan relevan untuk semua pelanggan PROTON.

Model lain juga menunjukkan prestasi yang baik pada bulan September. Proton X70 terus menerajui pasaran SUV segmen C dan dengan 1,730 unit diserahkan, YTD kini berjumlah 14,145 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 32.1 peratus. Manakala, Proton Exora juga terus menunjukkan popularitinya walaupun terdapat pelancaran MPV baharu dari pesaing. Dengan 418 unit diserahkan bulan lepas, volum YTD telah meningkat sebanyak 15.6 peratus dengan 3,108 unit diserahkan pada tahun 2022.

Proton Persona mencatatkan 1,159 unit, manakala Proton Iriz mencatatkan 606 unit pada bulan September. Kedua-duanya merosot pada 2.3 peratus dan 13.2 peratus tetapi dijangka akan stabil setelah masalah bekalan cip dan pengeluaran kembali reda pada suku terakhir tahun.

Pada bulan September, anak syarikat PROTON, Proton Commerce Sdn Bhd mengeluarkan 2,872 pinjaman, melepasi pencapaian tertinggi sebelumnya pada bulan Mac. Ini meningkatkan jumlah pinjaman yang dijamin pada tahun 2022 kepada 15,504, melebihi 14,550 pinjaman yang dikeluarkan pada keseluruhan tahun 2021.

Google ads
Back to top button