
PROTON TAMBAH ALIRAN PENDAPATAN MELALUI PELBAGAI OPERASI PERNIAGAAN
Proton kini dalam usaha memperluaskan aliran pendapatannya melalui pelbagai operasi perniagaan dan salah satu entiti berperanan penting dalam usaha ini adalah Proton Global Services (PGS).
Sejak ditubuhkan pada 2021, PGS, anak syarikat milik Proton Edar telah merekodkan pertumbuhan hasil yang kukuh dalam beberapa tahun terakhir.
PGS meluaskan skop operasinya dari satu outlet makanan dan minuman serta barangan cenderahati, kepada enam bidang utama yang meliputi Gaya Hidup, Kejuruteraan, Latihan, Tenaga Baharu, Logistik, dan R3 Motorsports.

Dibawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Yeet Chuan, pendapatan PGS meningkat secara eksponen dari kurang RM1 juta pada tahun 2021 kepada peningkatan 19 kali ganda pada akhir tahun 2023.
Bagi pembeli dan peminat PROTON, dua bidang perniagaan paling menarik adalah Gaya Hidup dan R3 Motorsports.
Di bawah bahagian Gaya Hidup, Proton Café telah menjadi destinasi popular yang menawarkan kopi premium dan makanan dalam suasana santai.

Hingga kini, 16 cawangan Proton Café beroperasi di pengedar PROTON dengan rancangan untuk mengembangkan perniagaan kepada 25 cawangan menjelang tahun 2025.
Selain itu, barangan cenderahati berjenama PROTON juga telah diperkenalkan dan boleh didapati melalui 20 rakan kongsi serta kedai maya di protonmerchandise.com.
Sementara itu, R3 Motorsports, bahagian yang paling dikenali, meraikan ulang tahun ke-20 pada tahun 2023 dengan pelancaran Proton X50 R3 edisi Ulang Tahun Ke-20.

Pada tahun ini, ia bakal membangunkan kereta lumba Proton S70 R3 dengan matlamat untuk menyertai perlumbaan S1K, sambil meningkatkan jualan minyak pelincir R3 berprestasi tinggi.
Selain menjalankan operasi perniagaan komersil, PGS juga terlibat dalam projek dalam ekosistem PROTON yang memberi manfaat kepada syarikat induk melalui hasil tambahan dan keuntungan.
Dengan usaha gigih PGS dalam memperluaskan pelbagai operasi perniagaannya, Proton kini mempunyai potensi lebih besar untuk menambah aliran pendapatannya melalui pelbagai inisiatif yang berterusan.
Menurutnya, ini tidak hanya memberi manfaat kepada Proton sebagai sebuah entiti perniagaan, tetapi juga kepada ekosistem automotif Malaysia secara keseluruhan.
- BACA: PERODUA AXIA, KERETA RAKYAT TERBAIK? KE BAIK BELI TESLA?
- BACA: HYUNDAI i20 N LINE BAHARU – HATCHBACK KELUARGA YANG SEDAP DENGAN DNA RALI
- BACA: KOS SERVIS PROTON S70, PALING MURAH RM 244, PALING MAHAL RM 1157. MACAM HAILAK
- BACA: PESAING HONDA CR-V DAN MAZDA CX-5, FORD TERRITORY BAKAL TIBA DI PASARAN INDONESIA