PERODUA AXIA, KERETA RAKYAT TERBAIK? KE BAIK BELI TESLA?
Setahun yang lepas penulis ada membeli sebuah Perodua Axia SE untuk kegunaan peribadi, dan pada kebanyakan masa Axia ini digunakan oleh isteri penulis. Bayangkan kebanyakan orang perempuan memang suka kereta kompak dalam saiz Axia, sebab bagi mereka senang nak parkir walaupun tiada kamera undur.
Jadi selepas setahun memandu Perodua Axia SE, berikut ialah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengamatan, pemerhatian dan pengalaman penulis.
1. Harga – sebenarnya Perodua Axia ini adalah lebih mahal berbanding dengan model lama dan menghampiri harga Perodua Myvi Lagi Best yang dilancarkan pada tahun 2011 dulu. Tapi peningkatan harga ini datang dengan enjin dan trenkuasa yang lebih baik, cesi yang lebih kemas dan sistem keselamatan yang bagus.
Dari segi harga, RM 44,000 ini terpaksa ditelan disebabkan beberapa faktor seperti penggunaan bahan api, kos servis, lokasi pusat servis, saiz kompak dan kualiti pemanduan yang lebih baik berbanding dengan Axia sebelum ini
2. Kos servis – disebabkan tempoh menunggu, Perodua memberikan satu servis voucher yang digunakan pada 10,000km. Jadi kos servis pertama adalah percuma sepenuhnya tak payah bayar melainkan kos penjajaran dan imbangan RM 80 yang dipilih sendiri oleh penulis. Serba salah pulak semua dapat free. Selepas setahun dipandu, jarak perbatuan cuma mencecah 17,000km sahaja
3. Penggunaan petrol – untuk perjalanan jarak jauh, setangki bahan api membolehkan Axia dipandu sejauh 500km pada halaju 120km/jam. Masih lagi boleh pandu laju, cuma kalau masuk 140km/jam RPM akan naik ke 4000RPM. Jadi halaju yang selesa di lebuh raya ialah 120km/jam dan masih memberikan 20km/liter petrol
Bagi pemanduan bandar penulis jarang mengukur jarak pemanduan bagi setangki petrol. Dengan anggaran pemanduan 25-30km sehari, Axia akan menghabiskan setangki petrol dalam masa 8 hari secara purata dengan pengisian penuh memerlukan sekitar RM 50 ke RM 55 sahaja.
Sekiranya subsidi bahan api telah ditarik oleh pihak kerajaan, penulis sudah bersedia dengan sebuah kereta kompak yang menjimatkan. Berbeza dengan pendapat kontemporari, penulis memang sentiasa menghidupkan ciri Start/Stop sewaktu memandu, mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dalam keadaan melahu.
4. Cukai jalan dan takaful – selain Autolife yang perlu dibayar sekali bagi setiap 9 tahun (RM 700++), kos pembaharuan takaful Axia mencecah RM 1150 termasuk bencana alam dan juga penggantian cermin depan. Kos cukai jalan hanyalah RM 20 sahaja setahun
5. Ergonomik – jauh lebih selesa daripada Axia model lama dan juga Bezza. Kedudukan gear lebih dekat dengan stering, postur pemanduan lebih selesa, kusyen lebih menyokong badan dan stering boleh laras membantu kita untuk memandu 2 hingga 3 jam tanpa berhenti
Penulis sengaja memilih varian SE bagi memudahkan pemasangan kerusi bayi di bahagian belakang kerana perehat kepala boleh dicabut atau dilaraskan bagi memasang kerusi bayi dengan lebih senang. Bagi varian G dan X, kewujudan bonggol kepala pada kusyen belakang memang menyukarkan pemasangan kerusi bayi
6. Aksesori yang ditambah – radio asal yang menggunakan butang fizikal digantikan dengan radio original dari Axia AV (dibeli daripada Abang Gan Pandulaju), LED Scuff Plate berwarna merah, penebat bunyi di penutup enjin dan juga pada semua pintu serta satu set door visor
Selepas gagal mendapatkan “warranty claim” untuk penapis filem cermin belakang, penulis memutuskan untuk memasang penapis filem yang lebih gelap dan tahan haba memandangkan tinted original cerah seperti cermin akuarium.
7. Apa yang disukai berkenaan dengan Axia baru? – lampu depan LED lengkap dengan ciri follow me home, ride & handling yang lebih baik dengan cesi DNGA, meter analog siap dengan lampu latar belakang yang lebih cerah, suis penyaman udara yang moden, dan rekaan ruang dalaman yang lebih moden
Dari segi pemanduan, Axia baru menawarkan pecutan yang lebih baik dengan ciri Dual Mode CVT, brek yang lebih mencengkam, Ride & handling yang lebih berkualiti berbanding dengan model lama serta leboh senyap selepas dipasang dengan vibratile
8. Apa yang tidak disukai dengan Axia baru? – lampu belakang halogen, bukannya LED dan nampak agak kecil, radio asal menggunakan butang bukannya skrin walaupun varian SE, dan kusyen belakang tidak boleh dilipat secara 60:40.
Rekaan sport rim juga terlalu biasa, ibarat dihasilkan oleh anak penulis yang bersekolah tadika. Rim 15 inci pada Axia Style nampak lebih bergaya. Nak tukar pun rasa malas disebabkan kereta ini adalah untuk kegunaan harian, bukannya masuk pertandingan.
Oh ya, tiada poin USB untuk mengecaj telefon melainkan pada radio yang boleh digunakan untuk mengecaj walaupun agak perlahan sedangkan ciri ini ditawarkan pada Perodua Bezza dan Perodua Myvi. Varian SE juga patut ditawarkan dengan 4 beg udara, bukannya 2 seperti varian yang lain.
9. Masalah dalam setahun – masalah pertama yang dijumpai ialah pintu belakang sukar ditutup dan perlu dihempas kuat sedikt disebabkan masalah vacum dan kedapan udara, bunyi pendawaian yang bergetar pada pintu belakang, dan bunyi yang dihasilkan daripada motor elektrik stering.
Buat masa ini kadang kala terdapat bunyi “guk” yang agak kuat apabila stering dipulas untuk membelok ke kiri atau kanan semasa kelajuan perlahan. Masalah seterusnya ialah penapis filem mengalami “bubble” di 2 tempat tetapi hanya 1 tempat sahaja yang digantikan.
Masalah terakhir ialah bunyi berdengung yang dihasilkan oleh tayar asal pada halaju 80km/h (tyre noise / tyre roar). Tapi kalau nak tukar sayang la pulak disebabkan bunga tayar masih tebal. Namun tiada masalah yang menyebabkan Axia ini tersadai di pusat servis tanpa penyelesaian
Penutup- jika anda perlukan sebuah kereta bandar yang menjimatkan bahan api dan senang mencilok di laluan sesak maka Axia adalah pilihan yang tepat. Tapi bagi penulis, sekiranya anda masih bujang maka pendapat penulis anda boleh memilih Perodua Axia X dengan harga RM 40,000
Ia masih diberikan lampu depan LED tetapi suis penyaman udara mekanikal, tiada meter RPM, tiada ciri Start/Stop, LED DRL, side skirt, rear spoiler, power mode dan lain lain ciri tambahan. Tetapi dengan bayaran muka 20%, mungkin anda hanya membayar kurang daripada RM 400 sebulan.
Kalau anda dah nak berkeluarga, Perodua Bezza adalah pilihan tepat sekiranya kampung pasangan anda bukan berada di negeri yang sama. 265 liter ini cukup untuk anda seorang yang bujang atau baru kahwin sahaja. Kalau berempat mungkin tak cukup.
Kalau anda ada banyak duit, varian AV pada harga RM 49,500 rasanya terlalu mahal dan penulis akan terus membeli Perodua MyVi 1.3G atau Perodua MyVi 1.5X
Anda boleh baca laporan pandu uji Perodua Axia SE di SINI