
HUSQVARNA SVARTPILEN/VITPILEN 901 LANCAR 5 MAC INI?
Jenama motosikal Sweden, Husqvarna telah memuat naik ‘teaser’ terbaru di media sosial yang mempamarkan kemunculan model baharu.
Walaupun ‘teaser’ pendek itu tidak mendedahkan model apa yang akan diperkenalkan namun tinjauan di beberapa media antarabangsa merujuk kepada Svartpilen atau Vitpilen 901.
Dakwaan itu sememangnya berasas kerana beberapa bulan lalu sebuah model prototaip telah pun kelihatan menjalani ujian di Eropah.
Pada masa sama, dengan kewujudan KTM 890 Duke, hampir pasti Husqvarna akan memperkenalkan model yang dikuasakan enjin parallel-twin LC8 yang sama.

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ sebelum ini, jentera yang menjalani ujian itu merupakan Vitpilen 901. Model itu boleh dikenal pasti berdasarkan penggunaan ‘handlebar’ yang rendah dan tayar untuk jalan raya.
Bagaimanapun, video ‘teaser’ dimainkan Husqvarna itu menunjukkan sebuah motosikal beraksi di permukaan tanah sekaligus merujuk kepada Svartpilen 901 yang sememangnya dilengkapi rim jenis ‘spoke’ dan tayar ‘knobby’ selain penggunaan ‘handlebar’ yang lebih tinggi.
Apa pun, jawapan sebenar akan diketahui pada 5 Mac ini.