Buletin

PROTON TERIMA MESIN STAMPING BAHARU, UMUM PRODUKSI SUV X90

Pengeluar kereta nasional PROTON melancarkan penambahan terbaharu di kilangnya di Tanjung Malim semasa lawatan rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dihoskan oleh Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Mesin baharu ini mampu menghasilkan 50 komponen unik menggunakan kuasa sehingga 2,500 tan. Rangkaian stamping baharu bernilai RM140 juta itu adalah terbesar di Malaysia serta berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada komponen import.

Terdapat lima mesin stamping dengan satu mesin yang mampu menggunakan daya 2,500 tan, sementara dua mesin lagi mempunyai daya tekanan masing-masing 1,200 tan dan 1,000 tan.

Rangkaian stamping baharu tersebut menggunakan enam robot untuk memindahkan bahagian antara stesen kerja, selain menggunakan teknologi IR 4.0 data masa nyata.

MODEL BAHARU PROTON

PROTON turut mendedahkan penampilan pertama model SUV baharu pada upacara line-off selepas pelancaran rangkaian stamping berkenaan.

Model baharu itu akan menjadi model pertama yang menawarkan teknologi hibrid, menandakan kemunculan Proton dalam ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Komited terhadap NEV, sebelum ini Proton telah menandatangani perjanjian untuk mengedarkan EV smart di Malaysia dan Thailand, selain menghantar 16 jurutera ke China bagi menjalani latihan selama enam bulan.

PROTON X90

Meskipun nama rasmi belum didedahkan lagi, model berkenaan yang berkemungkinan besar dikenali sebagai Proton X90 itu akan dihasilkan di kilang pengeluaran PROTON.

Menurut Syed Faisal, pengeluaran SUV ketiga Proton selepas X70 dan X50 sepatutnya diperkenalkan tahun lalu, tetapi tertangguh disebabkan cabaran COVID-19 serta isu rantaian bekalan.

Menerusi imej yang dikongsikan, model itu tampil dengan gril diamond berbanding elemen reka bentuk ‘Infinite Weave’ yang digunakan pada model PROTON lain.

Syed Faisal juga mengesahkan model itu akan menggunakan sistem janaan mild hybrid untuk pasaran tempatan.

Justeru, ia akan dipacu oleh enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter turbocas serta sistem 48-volt mild hybrid yang mampu menghamburkan kuasa 190hp dan tork 300Nm. Trenkuasa itu akan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

Setakat ini, perincian mengenai varian dan spesifikasi lain masih belum didedahkan. Jadi, kita hanya perlu menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh PROTON, harapnya dalam waktu terdekat.

Google ads
Back to top button