Buletin

PUSAT PEMASANGAN CERMIN GELAP PROTON RASMI DIBUKA DI TANJUNG MALIM

Pengeluar kereta nasional, PROTON, baru-baru ini mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Pemasangan Cermin Gelap PROTON di fasiliti pengeluarannya yang terletak di Tanjung Malim.

Langkah ini merupakan usaha PROTON dalam mengembangkan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, sekaligus memberikan pelanggan lebih banyak pilihan dan kualiti lebih baik.

Menurutnya, kemudahan baharu ini mampu memasang cermin gelap keselamatan sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.

Ini adalah langkah yang signifikan dalam memastikan pelanggan PROTON mendapat perkhidmatan berkualiti tinggi serta memenuhi permintaan untuk cermin gelap keselamatan.

Terdahulu, pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 sejak dilancarkan pada 7 Mei 2023.

Ini juga diulangi untuk Proton S70 ketika dilancarkan pada November tahun lepas, di mana kedua-dua varian Flagship dan Flagship X dilengkapi dengan cermin gelap keselamatan sebagai sebahagian daripada pakej aksesori standard.

Bukan hanya itu, pilihan untuk pemasangan cermin gelap akan ditawarkan kepada model lain dalam masa terdekat, menunjukkan komitmen PROTON dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

Kelebihan pemasangan cermin gelap oleh OEM berbanding dengan pemasangan selepas pembelian kenderaan sangat ketara, termasuk cetakan pra-potong, ketepatan dan kemasan lebih baik.

Selain itu, ia juga dapat mematuhi piawaian JPJ dan pencegahan kerosakan sekunder yang biasanya berlaku dengan pemasangan selepas pasaran.

Tambahan, pelanggan akan menikmati waranti ‘mileage’ tanpa had selama 5 tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap, menegaskan komitmen PROTON terhadap kepuasan pelanggan dan ketahanan produk.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu di Tanjung Malim adalah satu langkah penting ke arah komitmen PROTON untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambahan kepada pelanggan.

“Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 unit kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan volum dalam jangka masa pendek kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard,” jelasnya.

Google ads
"
"
Back to top button