
SEJARAH PERLUMBAAN MENCABAR LE MANS
Tujuan perlumbaan di adakan ialah untuk mencari jentera yang dipandu oleh pelumba paling berani bagi mencatatkan masa terpantas. Tapi bagi sesetengah individu, mencatatkan masa terpantas bukanlah cara yang paling susah untuk dibuat kerana apa yang perlu ialah ketahanan mekanikal jentera dan juga ketahanan mental pemandu itu sendiri.

Daripada idea ini maka lahirlah perlumbaan ujian ketahanan Le Mans 24 jam yang menjadi perlumbaan yang paling lama yang pernah dianjurkan dalam sejarah bermula dari tahun 1923 yang diadakan di sebuah bandar Le Mans Perancis. Pada mulanya perlumbaan ini dianjurkan oleh Automobile Club de I’Ouest di litar de la Sarthe yang merupakan campuran jalan raya biasa dan juga litar perlumbaan khusus.

Dalam format perlumbaan ini, ia menekankan keupayaan jentera yang berlumba untuk dipandu secara laju di dalam litar sebanyak mungkin dalam tempoh 24 jam. Sesetengah pemandu dan jentera yang bertanding berupaya untuk mengharungi jarak pemanduan melebihi 5000km dalam tempoh 24 jam tersebut. Di sini wujud cabaran sebenar perlumbaan pada semua pasukan yang bertanding.
Fokus kepada perlumbaan ialah pasukan yang bertanding harus mereka kereta yang cukup laju dan boleh diharap untuk dilenjan selama tempoh 24 jam tanpa henti. Ini menggalakkan pengeluar kereta yang menyertai perlumbaan ini menhasilkan kereta yang pantas, boleh diharap, menggunakan bahan api yang efisyen kerana semakin kurang masa jentera di hentian pit, semakin banyak jarak yang ia boleh dipandu.

Litar ini juga memiliki laluan lurus yang paling panjang iaitu Mulsane Straight sejauh 6km membolehkan enjin diperah pada RPM yang maksima. Jadi bagi menghasilkan kereta yang boleh dipandu laju dan masih lagi kekal stabil, rekaan aerodinamik mestilah diambil kira. Disebabkan separuh laluan perlumbaan menggunakan jalan raya biasa yang tidak dijaga dengan baik, maka ia akan memberikan tekanan yang hebat pada komponen mekanikal yang lain seperti sistem suspensi dan brek.
Litar ini pula adalah sejauh 13.626km dan 85% laluan di trek ini akan menyebabkan jentera perlumbaan dipandu pada full throttle bagi menguji keupayaan enjin dan transmisi pada had maksima. Laluan jalan lurus Mulsane membolehkan jentera dipandu pada halaju maksima 405km/j sebelum ia membrek untuk memasuki selekoh pada halaju 110km/j benar-benar menyebabkan sistem brek dan suspensi mengalami kehausan melampau.

Format perlumbaan ini akan dimulakan pada hari Sabtu jam 2, 3 atau 4 petang bergantung kepada keperluan semasa di lokasi perlumbaan. Ia akan berakhir pada keesokan harinya iaitu pada hari Ahad pada waktu yang sama. Pemandu dan jentera yang berjaya mengelilingi litar paling banyak dalam tempoh 24 jam akan dikira sebagai pemenang
Namun disebalik ujian perlumbaan yang getir ini, semua peraturan yang dibuat telah menjadikan kereta sport atau GT yang dikeluarkan oleh pengeluar hasil kajian dan pembangunan menjadi semakin boleh diharap dan dipercayai serta dijual kepada pasaran pada harga yang munasabah. Malah pada sekitar tahun 70an di mana krisis bahan api melanda dunia, Le Mans memperkenalkan perlumbaan Kumpulan C dengan menghadkan jumlah bahan api yang boleh digunakan sepenjang tempoh 24 jam bagi menjadikan enjin perlumbaan semakin efisyen

Walaupun kategori ini sudah tidak dipertandingkan, namun ia mendorong kepada pembangunan kategori perlumbaan baru seperti LMP (Le Mans Prototype) dengan menggunakan segala teknologi terbaru yang difikirkan munasabah (sumbu pelita tidak terpakai di sini) termasuklah sistem hibrid untuk perlumbaan dan kapasitor untuk menyimpan cas elektrik
Pada awal perlumbaan, penganjur tidak meletakkan undang-undang yang menetapkan jumlah minima pemandu yang akan berlumba bagi setiap jentera. Namun beberapa pelumba yang cukup lasak berupaya untuk menamatkan dan memenangi perlumbaan ini secara solo seperti Eddie Hall. Memandangkan faktor kelesuan yang akan menyebabkan kemalangan, penganjur menetapkan seorang pemandu tidak boleh memandu melebihi 240 min dalam masa 6 jam. Pemandu juga tidak boleh berlumba melebihi masa 14 jam. Jadi bagi memudahkan pengurusan, setiap pasukan akan menggunakan 3 pemandu bagi satu jentera

Kategori Jentera yang dibenarkan bertanding untuk peraturan pada tahun 2019 terbahagi kepada 4 kategori. LMP1 (Le Mans Prototype) yang menggunakan teknologi Energy Recovery System (hibrid), LMP2 yang menggunakan enjin 4200cc V8 600 kuasa kuda, LMGTE Pro dengan pilihan enjin 4300cc Turbo atau 5500cc Natural Aspirated dan kategori terakhir LMGTE Am untuk pasukan amatur. Kesemua kategori mensyaratkan hanya enjin dengan piston sahaja dibenarkan
Namun ia tidak bermakna Mazda tidak pernah menyertai perlumbaan ini. Mazda pernah menyertai perlumbaan ini semenjak pengenalan enjin rotari mereka pada tahun 1970 dan memenangi perlumbaan ini pada tahun 1991 selepas bertungkus lumus menyelesaikan semua masalah berkaitan ketahanan enjin rotari mereka. Namun macam biasa la Mat Saleh kan, selepas kemenangan Mazda 787, enjin rotari diharamkan terus untuk digunakan di Le Mans.

Litar Le Mans juga telah diubahsuai beberapa kali bagi memenuhi syarat keselamtan yang ditetapkan oleh badan pemantau sukan permotoran. Tragedi terburuk berlaku pada tahun 1955 apabila sebuah kereta yang dipandu oleh Pierre Levegh yang terbang akibat kemalangan dan merempuh ke kawasan tempat duduk penonton. Levegh dan 80 penonton maut di tempat kejadian. Tragedi ini memaksa penganjur mengubahsuia tempat duduk penonton agar berada jauh dari kawasan perlumbaan
Selepas beberapa kemalangan ngeri pada tahun 1972 (kereta terbang dalam keadaan berpusing ) sehingga tahun 1987 yang mengorbankan pelumba dan marsyal yang bertugas, FIA telah mencadangkan agar laluan Mulsane Straight sepanjang 6km diubah dengan meletakkan 2 selekoh tambahan agar kelajuan maksima jentera perlumbaan dikurangkan untuk tujuan keselamatan

Kombinasi kelajuan yang terlampau tinggi untuk tempoh masa yang lama yang menyebabkan kegagalan tayar akibat tekanan melampau, kerosakan sistem suspensi dan masalah brek yang terlampau panas memaksa 2 selekoh chicane ditambah agar laluan lurus tidak melebihi 2km. Namun begitu laluan ini juga menjadi terkenal kerana menyebabkan kemalangan 2 unit Mercedes yang terbang akibat masalah aerodinamik
Untuk rekod, pasukan yang paling banyak memenangi perlumbaan Le Mans ialah Porsche sebanyak 17 kali, Audi sebanyak 13 kali, dan Ferrari sebanyak 9 kali. Pembuat kereta mewah Jaguar memenangi Le Mans sebanyak 7 kali. Ford, Bently dan Alfa Romeo berkongsi kedudukan dengan memenangi Le Mans sebanyak 4 kali.

Tom Kristensen iaitu pelumba yang berasal dari Denmark menjuarai Le Mans bagi kategori pemandu sebanyak 9 kali, diikuti oleh Jacky Ickx sebanyak 6 kali dan Derek Bell sebanyak 5 kali. Jacky telah dianugerahkan sebagai warga terhormat bandar Le Mans di atas pencapaiannya. Fernando Alonso, Kazuki Nakajima dan Sebastien Buemi memenangi Le Mans 2019 dengan 385 pusingan dalam masa 24 jam bersama pasukan Toyota Gazoo Racing

Rahsia kemenangan mereka ialah dengan menggunakan lampu kabus belakang yang menyilaukan mata pelumba lain, eh maaf penulis bergurau saja. Jentera yang digunakan ialah Toyota TS050 Hybrid yang dikuasakan oleh enjin 2400cc V6 dengan turbo berkembar dan menghasilkan kuasa 493 kuasa kuda. Jentera ini dibantu dengan sistem hibrid yang menghasilkan kuasa tambahan 493 kuasa kuda. Hebat juga jentera hibrid ini ya.