Artikel Pilihan

RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH FREED YO!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua pembaca Mekanika yang budiman sekalian. Harapnya semua berada dalam keadaan sihat adanya. Maklumlah, musim panas – panas begini boleh tahan ramai juga yang kurang sihat. Nama aku adalah Honda Freed. Dan ini adalah kisah aku.

Sebagai sebuah jenama Jepun, barangkali akan ada yang menyangka aku ini dilahirkan di sana. Salah ya. Sebetulnya aku ini dilahirkan di Kerawang Indonesia. Dan tujuan aku ini dilahirkan sudah tentulah untuk memenuhi keperluan segmen MPV yang semakin mendesak di kala itu terutamanya di rantau Asean.

Aku mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2010 dengan tanda harga yang cukup mahal bagi sebuah MPV kompak dengan tujuh tempat duduk. Dengan menawarkan Kerusi Kapten di barisan kedua, ianya menampilkan ciri – ciri premium sebuah logo H buatan Indonesia. Eh Jepun. Eh mana – manalah.

Aspek keselamatan aku di kala itu boleh dikatakan agak bagus juga, setanding dengan model yang jauh lebih mahal. Dua beg udara serta sistem ABS dengan EBD kira ngam habis dah di kala itu. Pintu gelungsur auto itu pun biasanya MPV mahal aja guna pun aku ada. Bayar RM112,980 bolehlah dapat aku dah. Siap dapat pemain utama 2-Din Alpine lagi.

Dan seseungguhnya aku bertuah apabila seorang jejaka yang kacak bergaya Ridhuan namanya telah sudi untuk melamari aku di awal kemunculan Freed ini di tanahair. Menurut beliau aku ini sesuai untuk untuk dijadikan sebagai perantaraan antara titik A ke titik B untuk mengangkut beliau serta ahli keluarganya yang lain. Cukup selesa katanya.

Menariknya, selain daripada mengangkut penumpang, aku juga telah diarahkan oleh Tuan aku untuk mengangkut juga barangan seperti kotak besar dengan agak kerap juga memandangkan Tuan aku yang bertugas di syarikat logistik. Mujur juga penggunaan enjin 1.5 i-VTEC yang turut sama dipadankan pada saudara ku si Honda City tidak menghadapi masalah langsung untuk menggerakkan tubuh ku walaupun diisi penuh dengan barangan. Minyak pun boleh tahan jimat juga sebenarnya.

Selain itu, faktor lantai yang rendah serta bumbung yang tinggi menjadi bonus untuk beliau memuat naik dan memuat turun barangan dengan mudah. Kacang orang kata. Entah apa benda kacang pun tak tahulah.

Tapi sayang, kini setelah beberapa tahun berlalu aku terpaksa mengundur diri bagi memberi ruang dan peluang kepada Tuan aku untuk memiliki sesuatu yang jauh lebih besar dan selesa. Ahli keluarga pun dah bertambah. Katanya nak bas persiaran pula selepas ini.

Aku gembira kerana telah berkhidmat dengan cemerlang. Sikit lagi nak naik pentas dapat APC. Jadinya, inilah masa yang terbaik buat pembeli baharu yang inginkan sebuah versatil sebuah Freed dengan harga yang lebih jauh mampu milik. Nak cari alat ganti pun kacang juga. Bersepah kedai potong ada jual.

Tapi jika ada yang bertanya tentang generasi kedua, jawapannya sudah tentulah ianya tidak akan di bawa masuk ke sini. Alangkan di Indonesia pun tak ada jual. Nak CBU dari Jepun berapa pula harga nak letak nanti? RM130k? Baik beli C27 kan?

Lagi pula, Honda sudah punya BR-V sebagai pengganti segmen tujuh tempat duduk di rantau sini. Kira ok lah kan. Yang penting Honda. The Power Dream orang kata. Eceh!

BACA : hHONDA FREED MODULO X CONCEPT DI TAS 2017

BACA : HONDA FREED FACELIFT

Google ads
Back to top button