Buletin

SAH GP F1 AZERBAIJAN, SINGAPURA DAN JEPUN BATAL

Perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) 2020 yang dijadualkan di Azerbaijan, Singapura dan Jepun dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Pada awal bulan ini, jadual lapan perlumbaan disemak semula bagi musim 2020 telah diumumkan bermula di litar Austria.

“Berikutan cabaran penularan wabak COVID-19, kami serta penganjur di Azerbaijan, Singapura dan Jepun telah membuat keputusan untuk membatalkan perlumbaan bagi musim 2020 ini.

“Keputusan ini diambil berikutan cabaran berlainan yang terpaksa diharungi para penganjur di negara terbabit. Di Singapura dan Azerbaijan, agak mustahil bagi penganjur untuk melaksanakan pembinaan litar di jalan raya berikutan keadaan yang tidak menentu pada masa ini.

“Bagi Jepun pula, sekatan perjalanan masih berlangsung sekali gus keputusan untuk tidak meneruskan perlumbaan dilakukan bagi kepentingan semua pihak,” kata kenyataan F1.

Dalam pada itu, pihak F1 telah melakukan kemajuan memberansangkan bersama penganjur baharu dan sedia ada berhubung kalendar yang disemak semula bagi musim ini.

“Banyak juga pihak yang berminat untuk menganjurkan perlumbaan F1 di venue baharu.

“Kami sangat menghargai sokongan yang diberikan apatah lagi dalam masa tidak menentu dan kesukaran dihadapi seluruh dunia. Bagaimanapun, pihak F1 akan memastikan musim 2020 diteruskan tetapi dengan langkah berjaga-jaga.

“Bahkan, perincian pelan keselamatan yang berkesan telah dilakukan untuk memastikan kepentingan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya. –F1

Google ads
Back to top button