
Sejak dilancarkan di Vietnam dan Indonesia, peminat di Malaysia masih ternanti-nantikan bilakah masanya versi V2 akan masuk ke pasaran tempatan.
Beberapa hari lepas, Hong Leong Yamaha telah memuat naik foto teaser “model baru” yang diberitakan akan dilancarkan di Jasin Melaka, bersempena dengan perlumbaan pembukaan Petronas Sprinta cubprix 2019.
Ketika ramai masih berspekulasi tentang model apa yang akan dilancarkan, hari ini, HLYM menerusi laman facebook mereka sekali lagi memuatnaik status tetapi dengan latar foto yang berbeza.
Dan jika anda perhatikan foto latarbelakang tersebut, ia adalah bahagian “dada” Y15ZR dan tanpa berselindung lagi, mereka memberitahu ia adalah model Y15ZR V2.
Bagi mereka yang kurang arif dengan model ini, perubahan versi V2 ini agak banyak. Walaupun spesifikasi teknikal tidak berubah, namun “muka” Y15ZR V2 sudah berubah sepenuhnya dan didatangkan dengan lampu LED.
Berikut ialah perubahan yang didatangkan pada model V2 2019.
1. LAMPU HADAPAN LED

Ia rekaan yang baru sepenuhnya. “Kepala” Exciter 2019 ini telah direka baru bagi menampatkan lampu yang lebih tipis dengan tiga kolum berbeza. Ia juga sudah dilengkapi dengan mentol lampu LED menggantikan mentol halogen. Selain lebih terang, LED juga menjimatkan tenaga.
Lampu isyarat membelok juga sudah datang dengan LED yang merupakan peneraju dalam kelasnya.
2. METER DENGAN SKRIN LCD

Perubahan besar yang kedua ialah paparan meter yang didatangkan dengan LCD sepenuhnya. Ia juga hadir dengan latarbelakang biru seperti Yamaha NVX, tetapi dengan saiz lebih kecil.
Paparan informasi meter ini cukup lengkap seperti kelajuan, jarak perjalanan, penggunaan bahanapi dan tolok bahanapi.
3. “KUNCI PANGGILAN” (ANSWER LOCK KEY)

Maaf. kami tak berapa jelas untuk menterjemahkannya dalam Bahasa Melayu. Ini adalah fungsi yang membolehkan motosikal dikesan seperti sistem penggera. Khasnya ketika motosikal diparkir di kawasan motosikal yang banyak.
4- LAMPU “PASS LIGHT”

Sama seperti kebanyakan motosikal berkuasa tinggi, ia adalah suis lampu tinggi dengan pembalik untuk memudahkan penunggang memberi amaran kepada pemandu di hadapan.
Ia berguna untuk memberi perhatian kepada pemandu di hadapan atau trafik dari arah bertentangan.
5. SUIS PEMATI (KILL SWITCH)

Ini juga adalah fungsi yang biasa didapati pada motosikal berkuasa tinggi. Dalam segmen ini, Exciter 2019 bakal menjadi yang pertama menggunakannya.
Ia berfungsi sebagai suis pemati utama tanpa perlu memutarkan kunci.
6. TAYAR HADAPAN LEBIH BESAR

Umum mengetahui bahawa saiz tayar hadapan Y15ZR adalah yang paling kecil dalam kelasnya. Model 2019 akan menggunakan tayar bersaiz 90/80-17 bagi menggantikan saiz semasa 70/90-17.
Walau bagaimanapun, saiz roda belakang masih sama dengan 120/70-17.