Modifikasi

MITSUBISHI LANCER “SIDIA” WAGON JADI EVOLUTION!

Jangan keliru! Ini bukan kereta Acik Kosmetik yang keluar bulan lepas, tapi sebuah wagon lain yang jauh lebih rare. Apasal gitu? Sebab belum ada lagi model seumpamanya, telah menjalani proses transformasi selengkap ini. Itu pun kalau dukun Diana Dahlan tak menipulah.

Kereta ini dibeli Azam dalam keadaan standard sejak beberapa tahun lalu. Jumpa kat used car mana tah. Disebabkan dia memang hantu dengan kereta jenis wagon, ia segera disambar pulang walaupun terpaksa men-trade-in dua bijik kereta yang ada di garaj rumah. Fuh, kental sungguh cuping telinga kau tahan ceramah…

Apa yang diperolehi sebenarnya bukanlah Lancer Evolution IX Wagon (CT9W), tapi sebuah Lancer Cedia Wagon (CS5W). Jadilah, janji akan-akan bunyinya. Ikut rupa asal dah tentu bukan macam ni. Namun lepas kaji dan selidik, ia sebenarnya boleh menerima komponen CT9A dan CT9W dalam jumlah yang agak banyak.

Keseluruhan ruang depan telah dipadankan dengan komponen milik Evo CT9W, meliputi bahagian fender, bumper dan lampu utama. Ni memang senang sebab rangka dalamnya masih lagi sama. Yang jadi payah bila melibatkan bahagian sisi belakang, yang jauh lebih kembang berbanding Cedia. Nak bikin pakai fiber takut cepat melepuh. Maka diusahakan juga, mencari panel sisi belakang Evo CT9W yang sebenar.

Pemasangan panel ini memerlukan kesemua pintunya ditukar kepada model yang sama. Baru boleh agak tebal mana. Lain-lain komponen Evo CT9W yang diperlukan termasuklah skirt sisi, tailgate, lampu dan bumper belakang, selain tambahan hood gentian karbon dan cermin sisi kemetot dari ARP.

Satu kegemaran Azam yang gua perasan ialah, minatnya dalam urusan jual-beli rim. Pohpaleh aok, kejap gitu kejap gini. Terbaru rim SSR Type C bersaiz 18-inci, yang cukup kena dengan penampilan barunya.

Ia kemudian dipadankan dengan tayar Achilles ATR Sport berukuran 235/40R-18 setiap satu. Sistem suspensi pulak menggunakan set boleh laras Ohlins untuk depan dan Tein HA di bahagian belakang. Manakala kuasa hentian datang dari kit brek Brembo Evo CT9W bersama pad brek gigit Bendix Metal King.

Alang-alang nak bikin, enjin jimat minyak 4G93T GDI yang asal telah dipinggirkan dan diganti dengan enjin 4G63T dari Evo CT9W GT-A. Memandangkan ia sering digunakan untuk perjalanan jauh, salinan enjin ini belum menerima sebarang pengubahsuaian yang berat.

Azam cuma menyediakan sisipan gasket keluli 1.5mm, wastegate Tial 38mm, injap pelepas HKS SSQV, serta pam Walbro 255 untuk bekalan petrol. Bagi menghilangkan sekatan yang wujud, unit ECU telah diprogram semula selaras dengan nisbah kuasanya.

Menariknya, kereta ini juga datang standard dengan sistem pacuan AWD. Memang senyum jelah kalau lalu Puspakom. Cuma yang dibimbangkan faktor ketahanan, memandangkan kuasa barunya yang jauh lebih tinggi. Tengah elok merembat highway, tau-tau bersepai. Tak ke naya jadinya.

Sangkaan ia boleh menerima salinan lengkap sistem pacuan Evo CT9W nampaknya jauh meleset. Ini disebabkan kedua-duanya, dibina atas platform berbeza. Kalau niat nak pakai jugak, bahagian lantai belakang perlu ditebuk dan dikopek keluar.

Kira macam bikin Lancer CK jugaklah. Tapi jangan risau, masih ada helah yang boleh diguna pakai. Caranya naikkan aje transfer case, differential dan subframe belakang model Airtrek, tanpa perlu diubahsuai. Boleh masuk rupanya. Bijak sungguh kepala lutut diorang ni mikir…

Keperluan bahagian dalam diserikan dengan segala macam komponen milik Evo CT9W. Dashboard, stereng, konsul gear, panel pintu, tempat duduk depan dan karpet, kesemuanya disalin dari model berkenaan.

Lain-lain komponen yang digunakan termasuklah tempat duduk penumpang Evo IX, tempat duduk belakang Cedia Wagon RalliArt, meter utama RalliArt, rangkaian meter Defi, serta paparan Defi ZD untuk tujuan pemantauan.

Keunikan kereta ini bukan saja menarik minat peminat Evo tempatan, tapi juga rakan-rakan dari Thailand. Kagum sungguh dibuatnya.

Maklumlah benda tak biasa jumpa. Lebih maneh apabila ia diketahui sebagai satu-satunya Cedia Evo versi wagon yang paling lengkap pernah dihasilkan di sini…

Spesifikasi

Pemilik                        Muhammad Azam Othman

Pengeluar                    Mitsubishi

Model                          Lancer Cedia Wagon (CS5W)

Tahun                          2000 / 2005

Enjin asal                    4G93T GDI

Modifikasi Enjin         4G63T Evo CT9W GT-A, gasket keluli 1.5mm, wastegate Tial 38mm, injap pelepas HKS SSQV, pam petrol Walbro 255, ECU talaan kustom

Transmisi                    Kotak gear automatik Evo CT9W GT-A, transfer case, differential & subframe belakang Airtrek

Ekzos                          Paip kustom 3-inci, muffler HKS Super Silent

Luaran                         Salinan kit badan Evo CT9W, hood gentian karbon, cermin sisi ARP

Suspensi                      Ohlins (depan), Tein HA (belakang)

Brek                            Brembo Evo CT9W, pad brek Bendix Metal King

Rim & Tayar               SSR Type C 18-inci & Achilles ATR Sport 235/40R-18

Dalaman                      Dashboard, stereng, konsul gear, panel pintu, tempat duduk depan & karpet Evo CT9W, tempat duduk penumpang Evo IX, tempat duduk belakang Cedia Wagon RalliArt, meter utama RalliArt, meter Defi, Defi ZD

Bengkel                       Pishang Garage, Kampung Pandan / 3A Garage, elantan / Double R Workshop, Raub Pahang

-PAK MAUN-

KREDIT: KAKIKERETA.COM

GALERI

Google ads
Back to top button