TOYOTA SUPRA DENGAN 950 KUASA KUDA, LAGI LAJU DARI BUGGATI CHIRON
Ketika mula-mula dilancarkan 2 tahun yang lepas, salah satu impian Presiden Toyota dan pasukan pembangunan Toyota ialah untuk menghidupkan kembali budaya modifikasi yang pernah menjadi kegilaan satu ketika dulu. Disebalik pembangunan model yang menjimatkan petrol, hibrid dan teknologi EV, budaya modifikasi yang sinonim dengan budaya automotif Jepun kelihatan agak malap.
Selepas Toyota Supra A90 dilancarkan, ia menerima kritikan pedas kerana menggunakan enjin 3000cc 6 silinder B58 milik BMW. Enjin manja, tak kuat, susah nak modifikasi dan pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan pada Toyota Supra sehinggalah tuner Papadakis berjaya menghasilkan 1000 kuasa kuda dari enjin tersebut.
Baru-baru ini sebuah Toyota Supra telah ditala oleh Mikey Tuned LLC telah menerima beberapa pembaharuan pada enjin bagi mengekstrak lebih banyak kuasa kuda. Antara perubahan yang diterima pada sistem mekanikal enjin B58 ini ialah piston, rod penyambung, stud skru di kepala silinder, serta gasket dari jenis heavy duty untuk ketahanan.
Semua modifikasi ini perlu dilakukan kerana sistem turbocaj yang asal telah digantikan dengan sistem turbo Extreme Turbo System Kit yang lebih besar. Turbo ini datang dengan saiz 6870 (68mm turbin, 70mm compressor). Antara perkakasan lain yang turut menerima perubahan ialah sistem suntikan EFI lengkap dengan sistem NOS (nitrous oxide) 2 peringkat.
Udara tambahan disedut menerusi perongga udara khas carbon fibre Eventuri yang dipasang pada bahagian lampu kanan. Sistem transmisi juga telah diperkuatkan namun kami tidak pasti bagaimana Mikey Tuned melakukannya. Enjin ini menghasilkan 950 kuasa kuda dan 1288Nm tork iaitu 3 kali ganda berbanding dengan nilai asal. Tayar belakang telah digantikan dengan tayar drag yang lebih besar dan melekit.
Dalam ujian perlumbaan suku batu yang popular di Amerika, Supra ini berjaya mencatatkan masa dalam 8.7 saat dengan halaju tertinggi 246km/h. Dalam ujian kedua pula yang dilakukan tanpa mengaktifkan sistem NOS, ia mencatatkan masa 8.8 saat dan halaju tertinggi ialah 251km/j. Semua ujian ini dijalankan di litarPalm Beach International Raceway.
Sebagai perbandingan, Toyota Supra dalam keadaan asal boleh menyudahkan perlumbaan suku batu ini dalam masa 12.5 saat dan Buggati Chiron mengambil masa 9.9 saat untuk jarak yang sama.