
LAMBORGHINI HURACAN PUTIH BERTUKAR KUNING, PENGEDAR DISAMAN
Pada umumnya, kereta akan jatuh nilainya secara serta-merta apabila telah menjadi hak milik individu. Tetapi, lain pula yang terjadi kepada sebuah Lamborgini Huracan ini.
Menurut CTV News, seorang warga Montreal, Kanada, Calogera Caruso telah membeli sebuah Huracan Spyder dari Lamborghini Montreal pada Julai 2017 untuk dihadiahkan kepada anaknya.
Selepas beberapa hari, Caruso mendapati kereta tersebut mula bertukar warna menjadi kuning. Dia kemudian memfailkan tuntutan mahkamah terhadap pengedar kereta tersebut.

Pada awalnya, Caruso telah meminta penjelasan mengenai perkara yang berlaku. Dia diberitahu oleh pengurus bahawa cat putih akan kelihatan kekuningan jika diletakkan di bawah cahaya matahari.
Walaupun telah meletakkan keretanya di dalam garaj, Caruso mendapati warna kereta tersebut tetap bertukar menjadi kuning.
Bagi sebuah kereta baharu, menjadi satu perkara yang luar biasa apabila cat luaran berubah warna terutamanya Lamborghini. Sama seperti syarikat kereta mewah yang lain, Lamborghini menganggap setiap keluarannya sebagai satu karya seni. Oleh itu, menjadi agak sukar untuk melihat hasil kerja cat yang tidak berkualiti berlaku.

Demi mencapai impian anaknya untuk memiliki sebuah kereta mewah, Caruso sanggup menggadaikan rumahnya untuk membeli supercar tersebut. Malangnya, pengalaman itu bertukar menjadi mimpi ngeri buatnya.
Walaupun telah ditawarkan untuk dicat semula, Caruso enggan kerana khuatir akan menjatuhkan nilai baki kereta tersebut. Jadi, dia membuat keputusan untuk mengembalikan kereta tersebut pada Ogos 2018 dan terus melakukan bayaran bulanan termasuk insurans dan pendaftaran. Ini membuatkan harga keseluruhan kereta menjadi CAD$350,000 (RM1.08juta)
Coruso turut menuntut kos tambahan sebanyak CAD$50,000 (RM200,000) kerana ‘tekanan, kesulitan dan hilang hari bekerja.’