Artikel Pilihan

SEJARAH HONDA PRELUDE – MODEL UNDERDOG YANG ELEGAN DAN SPORTY

Sempena menyambut subscriber Youtube Mekanika yang mencecah 300,000 kita nak cerita pasal sejarah sebuah model Honda yang boleh dikira sebagai underdog. Kenapa underdog? Sebab ia sebuah kereta yang menarik, ada rupa, elegan dan sporty tetapi bagaikan tercicir dari senarai kereta-kereta sports hebat keluaran Jepun era 80-90an.

Kalau nak dikirakan, Prelude merupakan respon Honda terhadap model Celica keluaran Toyota sekitar tahun 70an. Ia dikeluarkan selama dua dekad sebagai sebuah sports coupe berteknologi tinggi dengan pemanduan dinamik selain rupa paras yang menawan dan tak lapuk dek hujan. Dengan kata lain ia bagaikan sebuah NSX tetapi untuk pasaran tahun 80-90an. Tapi susah benar nak jumpa kereta ni sekarang kan?

Prelude Generasi Pertama

Ia dilancarkan pada tahun 1978 dan kelihatan agak bersegi dengan sistem suspensi, brek dan enjin yang diambil dari model Honda Accord. Ia kemudiannya digabungkan dengan casis lebih kecil yang mempunyai jarak tapak roda 2.4 inci lebih pendek daripada casis sedan biasa.

Asalnya ia cuma mempunyai 72 hp kuasa dengan enjin 1.7L SOHC yang juga diambil daripada Honda Accord. Ia kemudiannya digabungkan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan ataupun automatic 2-kelajuan (ia kemudiannya digantikan dengan 3-kelajuan). Pecutan 0-100 km/j berjaya dicapai dalam masa….err 19 saat. Okeylah tu, tahun 1978 kan.

Sayangnya ia kurang laku di pasaran akibatnya harganya yang boleh dikatakan agak tinggi selain ciri pemanduan yang tidaklah sehebat digembar-gemburkan sebelumnya.

Generasi Kedua (1983-1987)

Inilah model yang membuatkan PokYa jatuh cinta dengan Honda Prelude ini sejak sekolah rendah. Ia mula diikenali sebagai sebuah coupe berteknologi tinggi dengan rupa paras yang sangat menawan dan pemanduan yang dinamik.

Masih mengekalkan rekaan badan yang sama tetapi kali ni kelihatan lebih tipis dengan sudut-sudut tajam. Jangan lupa lampu pop-up yang memang sudah sangat sinonim dengan model ini.

Sistem suspensinya dirombak kembali dengan rekaan double wishbone digunakan di bahagian depan dan rekaan independent MacPherson strut di belakang. Ia membantu kawalan yang lebih baik berbanding model terdahulu.

Pada awalnya ia dikuasakan enjin 1.8L 4-selinder yang mampu menghasilkan 100 hp kuasa tapi menjelang tahun 1986, Prelude Si diperkenalkan dengan enjin 2.0L yang lebih berkuasa (110hp). Berbanding generasi pertama, Prelude ini mampu membuat pecutan 0-100 km/j jauh lebih pantas (9 saat sahaja).

Generasi Ketiga (1988-1991)

Generasi ketiga menyaksikan ia semakin sarat dengan teknologi dan ia mula diperkenalkan dengan sistem four wheel steer (4WS). Sistem 4WS turut digunakan oleh beberapa model Mitsubishi dan Mazda tetapi sistem yang dibangunkan oleh Honda ini adalah lebih boleh diharapkan dan menggunakan kos yang lebih rendah.

Pada masa ini Honda mula memperkenalkan enjin siri B20A untuk Preluda dan model asas menggunakan enjin B20A 2.0L SOHC yang mampu menghasilkan 109 hp kuasa maksima. Model Si pula menggunakan enjin 2.0L DOHC dengan 135hp kuasa manakala bermula tahun 1990 pula enjin 2.1L diperkenalkan dengan kuasa maksima yang ditingkatkan kepada 140hp.

Generasi Keempat (1992-1996)

Generasi keempat merupakan penghijrahan rekaan Prelude daripada sebuah couper sports bersegi kepada sebuah rekaan sports coupe sebenar. Kini ia juga diberikan pilihan enjin VTEC yang berkuasa dan sarat dengan segala jenis peralatan berteknologi tinggi. Dengan kata lain ia memang merupakan sebuah NSX satu ketika dahulu.

Bentangan meter yang canggih pada papan pemuka memang kelihatan sangat futuristic dan bergaya. Tapi ia memang bukannya sebuah kereta untuk golongan marhaen satu ketika dahulu.

Ia dibekalkan dengan enjin yang berbeza untuk pasaran yang berbeza tapi yang paling terkenal semestinya ialah enjin H22A 2.2L yang mampu menghasilkan 187hp kuasa dengan pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 7 saat.

Generasi Kelima (1997-2001)

Generasi kelima dan juga terakhir Prelude ini bagi kami kelihatan sedikit hambar dan kurang sporty berbanding sebelumnya. Pilihan enjin juga dikurangkan dan ia hanya boleh didapati dengan enjin H22A 4-selinder dengan 195 hp kuasa. Pembeli boleh memilih antara transmisi automatik 4-kelajuan ataupun manual 5-kelajuan.

Tiada lagi sistem 4WS pada model tetapi Honda menggantikannya dengan Type SH (Super Handling). Sistem ini menggabungkan teknologi Active Torque Transfer System (ATTS) Honda yang boleh dikatakan menjadi perintis kepada sistem SH-AWD yang digunakan oleh model Acura. Kos yang agak tinggi membuatkan ATTS kurang popular dan penggunaannya berakhir bersama dengan Prelude generasi kelima ini.

Sejak pengenalannya, Honda Prelude telah mengisi keperluan pembeli yang sudah meningkat dewasa dan berkarier tetapi masih mahukan sebuah model sport yang elegan, sporty dan boleh digunakan setiap hari. Alah bayangkan keselesaan sebuah Honda Accord tetapi dengan dua pintu.

Ia juga boleh membezakan anda daripada budak-budak baru nak main kereta yang baru nak mengena erti kelajuan. Lampu pop-up pada generasi kedua dan ketiga Prelude memberikan impak yang sangat kuat pada generasi itu yang sememangnya cukup teruja dengan teknologi baharu.

Dah kira macam Ferrari weh kalau ada lampu pop-up pada tahun 80-90 an. Cuma kalau nak beli tu, macam biasalah kena periksa betul-betul sebab generasi ketiga ke bawah dan kira kategori warga emas. Harganya pun nampak macam dan meningkat balik. Generasi kedua pun dalam keadaan baik mampu mencecah RM15-18k. Fuh, boleh tahan jugak.

Google ads
Back to top button