Artikel Pilihan

SEJARAH KERETA POLIS AMERIKA SYARIKAT

Kereta polis muncul buat pertama kali di AS pada penghujung abad ke-18 dan ia sebenarnya cumalah sebuah wagon yang dikuasakan motor elektrik dan digunakan di Akron, Ohio, sekitar 1899. Kini sekali lagi pihak polis sedang menguji kereta-kereta elektrik untuk kegunaan pasukan. Ironik bukan? Selepas lebih kurang 120 tahun, kereta elektrik sekali lagi menjadi pilihan.

Pada asalnya pihak polis cuma menggunakan motosikal. Penggunaan kereta polis diperlukan bila penjenayah mula menggunakan kereta. Dan evolusi kereta polis semakin berkembang bila penjenayah menggunakan kereta-kereta berkuasa tinggi dan pihak polis turut melihatnya sebagai keperluan untuk menyaingi penjenayah.

Kereta polis pada masa dahulu sebenarnya tidak berfungsi sebagai kenderaan untuk mengejar penjenayah. Pada asalnya ia digunakan untuk menjimatkan wang seperti pada permulaan abad ke-20. Dengan menggunakan sebuah kereta dan walkie talkie, seorang anggota polis boleh meronda kawasan yang sebelum ini memerlukan beberapa orang anggota untuk rondaan.

Kereta tersebut juga tidak mempunyai sebarang ‘tanda’ ataupun kemasan ‘pakej polis’ yang hanya mula diperkenalkan selepas Perang Dunia pertama. Ia bermula bila pihak pengeluar mula menyedari keperluan pihak berkuasa dan menghasilakannya dalam satu pakej.

Pakej khas untuk kereta polis dimulakan oleh Ford pada tahun 1950 diikuti Chevrolet 1955 dan Dodge 1956. Ford memonopoli pada peringkat awal dengan modelyang menggunakan enjin flathead V8 sebelum Chrysler memperkenalkan model V8 mereka yang jauh lebih baik.

Seorang pegawai polis Detroit (datuk kepada Robocop kot) bernama Kenneth Cox dan seorang pelajar kejuruteraan bernama Robert Batts kemudian cuba memasang radio dua hala ke sebuah Ford Model T pada tahun 1921 dan mengambil masa hampir 6 bulan untuk disiapkan.

Idea ini disambut hangat oleh jabatan polis New York dan segera mewujudkan rangkaian kereta peronda dengan radio dua hala. Ia mulanya digunakan khusus untuk kes-kes kecurian kereta dan mengesan orang hilang dan ramai mula menyedari keperluan radio seumpama ini untuk kereta polis.

Mari kita lihat beberapa kereta paling penting dalam sejarah perkhidmatan polis AS.

Chyrsler Enforcer

Sekitar tahun 1960-an, Chrysler Enforcer diperkenalkan lengkap dengan Chryrsler Police Pack yang antaranya termasuklah stereng berkuasa dan brek gelendong. Ia juga dilengkapi dengan enjin 5.9L V8 yang mampu menghasilkan 265 hp kuasa dan mampu mencatat kelajuan maksima 209 km/j. Cukup laju untuk sebuah model keluaran tahun 60-an.

Dodge Monaco

Menjelang tahun 1970, hampir 85 peratus kereta polis AS dihasilkan oleh Chrysler. Enjin 7.2L Magnum V8 buatan mereka merupakan sebuah enjin yang terbaik pada masa itu sehinggalah krisis minyak yang berlaku pada dekad tersebut memaksa enjin-enjin yang kuat makan minyak dihentikan produksi. Monaco merupakan versi terakhir dari era lama sebelum Dogde mula mengecilkan kapasiti enjin mereka.

Monaco juga cukup terkenal kerana beraksi bersama watak hero dalam filem The Blues Brother keluaran Hollywood.

Ford LTD Crown Victoria

Ini merupakan antara model kereta polis paling kurang berkuasa pernah digunakan dan kemudiannya digantikan dengan Crown Victoria Police Interceptor yang lebih hebat. Jadi kenapa ada dalam senarai? Sebabnya inilah model yang paling popular dan paling kerap disaksikan siri TV dan filem. Aksi paling menarik model ini tentunya ialah penutup rim yang sering tercabut dalam adegan kejar mengejar dan pelbagai kemalangan melibatkan model ini sebelum watak utamanya terlepas.

Chevrolet Nova

Bila pihak polis mahukan lebih prestasi dan penjimatan bahan api, Chevrolet Nova merupakan pilihan yang baik. Chevrolet membuat rekaan pakej polis 9C1 yang kemudian diuji oleh Jabatan Sheriff Los Angeles. Ia dilengkapi dengan enjin 4.3L L99 V8 yang mampu menghasilkan 200 bhp kuasa.

Ford Mustang SSP

SSP di atas bukan bermaksud sijil simpanan premium yang korang tak pernah menang tu tapi ia membawa maksud Special Service Package. Peronda Lebuh Raya California (CHP) perlukan model-model yang pantas dan kereta peronda biasa memang tidak mencukupi. Pada peringkat awal mereka menggunakan Chevrolet Camaro Z28 1979 tetapi ia masih kurang memuaskan.

Ia bagaimanapun membuka laluan kepada model baru Mustang SSP pada tahun 1982. Model baru ini dilengkapi dengan enjin 5.0L dan pilihan kotak gear auto ataupun manual. Bahagian suspensinya diberi peningkatan dengan penggunaan komponen seperti control arms dan bushing yang lebih kukuh.

Ford Crown Victoria

Model paling popular sehingga kini. Selain dari polis ia turut digunakan sebagai teksi di bandaraya New York. Crown Victoria menjadi standard baru kereta polis Amerika dan digunakan sejak dari tahun 1992. Ia diberi kod P71 dan masih digunakan dikebanyakan tempat di AS tetapi beransur-ansur ditamatkan perkhidmatan untuk memberi laluan kepada SUV.

Chevrolet Tahoe PPV

Chevrolet menghentikan model Caprice pada tahun 1996 dan Ford kekal sebagai syarikat tunggal yang memberkalkan kereta polis pacuan belakang. Namun Chevy kemudiannya menghasilkan model Tahoe khusus untuk polis dengan pacuan belakang. Polis bandar mungkin kurang berminat pada awalnya tetapi ia cukup popular di kawasan pedalaman walaupun tidak mempunyai versi all-wheel-drive. Chevrolet Tahoe yang digunakan polis ialah versi “Pursuit” yang lebih rendah seinci dari segi ketinggian tetapi lebih laju bila digandingkan dengan Tahoe standard.

Ford Police Interceptor Utility 2020

Model SUV dan crossover kini memang menjadi pilihan pihak polis bagi menggantikan kereta dan Ford Explorer sudah pun digunakan bermula awal tahun ini. Dan tahun depan mereka akan mula menggunakan unit hibrid yang menggunakan enjin 3.0L Ecoboost twin-turbo V6 yang mampu menghasilkan 400 hp kuasa! Kuasa hibrid bermaksud pihak jabatan akan membuat penjimatan pada penggunaan bahan api tetapi pada masa yang sama tidak akan kehabisan kuasa bateri dalam kejar mengejar seperti dialami model elektrik sepenuhnya sebelum ini.

F150 Police Responder

Ford mendakwa ia merupakan trak dengan keupayaan kejar-mengejar dengan menggunakan asas F-150. Trak memang pernah digunakan oleh polis AS sebelum ini tetapi kali ini ia siap dilengkapkan dengan pakej suspensi FX4 Off-Road, tayar Good Year Wrangler dan kemudian diperkuatkan dengan DuPont Kevlar. Ia juga menggunakan alternator 240-amp untuk kegunaan semua lampu dan aksesori yang ada padanya. Dengan kuasa 375 hp dari enjin 3.5L Ecoboost ia memang kelihatan ganas. Tapi mampukah ia mengganti kereta peronda yang berkuasa tinggi untuk fungsi kejar mengejar?      

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button