Modifikasi

TOYOTA KE70: KERETA KLASIK POPULAR

Alat ganti Toyota Corolla KE70 masih boleh dibeli dengan agak mudah. Enjin 4AGE daripada Toyota Levin juga tidak susah untuk disalin ke chasisnya.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (9)

KE70 ini menggunakan enjin 4AGE. Semuanya sudah disalut dengan krom atau digilap kilat macam cermin. Namun di sebalik gaya bling-bling itu, enjin kereta ini sebenarnya sudah banyak diubah suai.

Kepala silinder enjin dilakukan kerja-kerja port dan polish. Sementara aci sesondol enjin diganti dengan aci sesondol perlumbaan HKS. Spring injap dan cam pulley enjin pula diganti dengan komponen berjenama  Toda.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (12)

Sistem penyampaian bahan api dikawal oleh pam bahan api Bosch bersama pelaras Works. Sebuah ram pipe daripada keluli tahan karat dibina untuk menempatkan penapis udara jenis pod terbuka A’PEXi.

Keempat-empat kabel plug asal diganti dengan kabel jenis perlumbaan TRD. Sistem nyalaan enjin pun dinaik taraf kepada sistem nyalaan daripada MSD. ECU enjin dinaik taraf dengan cara reflash dengan cip perlumbaan.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (2)

Untuk menyejukkan enjin, radiator asal KE70 tidak lagi digunakan. Ia diganti dengan radiator aluminium yang asalnya dibuat untuk enjin Mitsubishi Lancer Evo VI. Enjin NA yang sudah diubahsuai itu kemudian disempurnakan lagi dengan sistem ekzos custom yang mampu menaikkan lagi kuasa kuda enjin.

Manifold asal enjin 4AGE dikekalkan,  tetapi disambung pada paip tengah custom bersaiz 2.5 inci. Pada hujung sistem ekzos ini, peredam Fujitsubo Giken digunakan.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (4)

Satu perkara yang best pasal Corolla KE70 ialah kotak gear AE86 boleh disalin sepenuhnya. Kotak gear AE86 diubah suai dengan klac perlumbaan dan flywheel ringan TRD. Gandar belakang kereta pun menggunakan gandar asal AE86 yang lengkap dengan sistem LSD jenis mekanikal. Kereta moden zaman sekarang pun tak ada LSD macam ni.

Untuk membantu pengendalian kereta yang berumur 30 tahun ini, set penyerap hentak boleh laras GAB digunakan. Set penyerap hentak asal AE86 perlu diubah suai sikit untuk dimuatkan pada chasis AE70. Di bahagian depan, sebuah strut bar Ultra Racing dipasang. Yang ini, memang dibuat untuk chasis KE70, dibina khas oleh Ultra Racing kerana mereka tahu populariti kereta ini di Malaysia.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (10)

Selain daripada enjin, kotak dan penyerap hentak, satu lagi barang AE86 yang disalin ke chasis KE70 ialah brek. Ia menggunakan brek cakera lengkap AE86 pada roda hadapan dan belakang. Pelapik-pelapik brek pula dah diganti dengan pelapik brek Endless.

Rim pilihan ialah satu set rim SSR Mesh 15 inci dengan bukaan lebar 8 inci di hadapan dan 9 inci di belakang. Tayar yang digunakan Hankook 195/50 (hadapan) dan Hankook 205/50 di belakang.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (6)

Corolla ini sudah direstorasi sepenuhnya dan semua karat telah dibuang. Cat yang dilayangkan berwarna biru metalik dan spoiler di bonet belakang ialah dari rekaan custom.

Di bahagian kabin, Corolla ini dilengkapi sepasang tempat duduk Recaro yang ditemani oleh stereng Nardi dan tombol gear Momo. Sebuah meter suhu air dan meter vakum i M’s juga dipasang sebagai meter tambahan.

Toyota-corolla-KE70-popular-mekanika (1)

Walaupun kereta lama, ia dipenuhi dengan sistem audio yang gempak. Bermula dengan pemain utama Kenwood, sistem audio kereta ini bersambung kepada pre-amp daripada Caliber. Seterusnya, bunyi yang hebat akan dihasilkan oleh pembesar suara dan subwoofer Mohawk.

Memang susah untuk tidak menyukai Corolla KE70 seperti ini. Buat masa terdekat ini, saya tak nampak populariti kereta ini akan pudar. Tengok sahaja dalam forum kereta klasik tempatan, saya rasa hampir separuh ahlinya guna Corolla macam ni. Bukan senang nak guna kereta klasik yang boleh diharap dan dipandu jauh.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button