,
Artikel Pilihan

SIAPA AKIO TOYODA?

Siapa Akio Toyoda ni? Kenapa nama beliau bunyi macam nama Toyota? Bagi peminat dan pengikut dunia automotif, nama Akio Toyoda bukanlah asing sangat kerana beliau merupakan Presiden Toyota Motor Corporation (TMC) dan beliau juga merupakan cucu kepada Kiichiro Toyoda, pengasas Toyota itu sendiri.

Walaupun bunyi macam mudah kerana mewarisi syarikat keluarga sebagai presiden tetapi Akio bukanlah calang-calang pemimpin kerana beliau berjaya membawa Toyota mengharungi saat-saat genting seperti kegawatan ekonomi dunia, proses memanggil balik kenderaan dan tsunami 2011. Kini Toyota kembali bangkit selaku peneraju pasaran automotif dunia di bawah kepimpinan beliau.

Akio dilahirkan pada 3 Mei 1956 di Nagoya, Jepun dan bapa beliau Shoichiro Toyoda merupakan bekas pengerusi Toyota Motor. Akio melanjutkan pengajian sehingga berjaya memperolehi ijazah dari Universiti Keio dan kemudian menyambung peringkat Master di Babson College, Amerika Syarikat.

Selepas berjaya menamatkan pelajaran di AS pada tahun 1982, Akio menyertai syarikat keluarga, Toyota Motor pada tahun 1984. Sebagai pekerja Toyota dan bakal mewarisi kepimpinan syarikat, Akio ditempatkan di pelbagai bahagian operasi syarikat seperti pemasaran, pengeluaran, pembangunan produk di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

Akio juga pernah berkhidmat di luar negara selaku lembaga pengarah dan timbalan presiden dalam projek kolaborasi antara TMC dan General Motors (GM) pad atahun 1998. Projek tersebut berpangkalan di California, AS.

Pada tahun 2000, Akio kembali ke Jepun dan dipilih sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah TMC. Beliau turut memperkenalkan dan menyedia platform jual-beli atas talian gazoo.com.

Pada masa yang sama juga Akio turut mengawal selia kempen pemasaran domestik, operasi Toyota di AS dan pembangunan produk. Tahun berikutnya beliau dilantik sebagai Chief Officer of Asia and Sino Operations dan pada tahun 2002 beliau dinaikkan pangkat lagi sebagai Pengarah Urusan.

Menjelang tahun 2003, Akio menjadi Senior Managing Director dan selepas 2 tahun beliau dinaikkan pangkat lagi sebagai Chief Officer untuk operasi di China dan Asia, Oceania dan Timur Tengah.

Pada tahun yang sama juga beliau turut menjawat kedudukan sebagai Timbalan Presiden dan wakil lembaga pengarah untuk menyelia bahagian IT, pembangunan produk, kawalan kualiti selain operasi jualan pasaran dalaman Jepun dan luar negara.

Dan akhirnya pada tahun 2009, Akio menjawat jawatan sebagai Presiden Toyota Motor dan kini di bawah kepimpinan beliau, Toyota merupakan pengeluar kenderaan terbesar dunia dari segi jualan.

Ia merupakan kemuncak kepada karier Akio walaupun beliau sebelum ini memegang pelbagai jawatan penting dalam Toyota tetapi perlantikan sebagai presiden memang bersesuaian dengan pencapaian beliau sebelum itu.

Akio kini berusia 63 tahun dan mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak. Seorang peminat perlumbaan kereta dan Akio sendiri pernah menyertai perlumbaan ADAC 24-jam sebanyak 3 kali menggunakan nama samaran Morizo Kinoshita. Apakah kereta yang dipandu beliau dalam perlumbaan tersebut? Semestinya LF-A Prototype No. 14. Beliau pernah mendapat tempat ke-87 keseluruhan dan ke-4 dalam kelas perlumbaan.

Sumbangan dan kehebatan Akio juga membolehkannya menerima anugerah “Autocars Man of the Year” untuk tahun 2012.

Akio cukup berkeyakinan untuk mentransformasikan Toyota kepada sebuah syarikat mobiliti. Ini bermakna Toyota selepas ini akan mengeluarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan sistem pengangkutan di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk memberikan keseronokkan dan kebebasan bergerak kepada semua manusia di dunia ini. Ia juga merupakan hala tuju yang mesti ada pada sebuah syarikat automotif.

Akio juga mempunyai visi mobiliti untuk semua (Mobility for All) dan ini dibuktikan dengan Toyota e-Palette, sebuah kenderaan autonomi yang dihasilkan khusus untuk kegunaan atlet dan pegawai sukan Olimpik Tokyo 2020. Kenderaan konsep e-Palette ini diperkenalkan buat pertama kalinya di Las Vegas pada tahun 2018. Minatnya yang mendalam kepada sukan permotoran terbukti bila Toyota memperkenalkan pula model konsep GR Super Sport di Tokyo untuk membuktikan yang mereka tidak melupakan konsep keseronokkan pemanduan (Fun to Drive).

Tags
Google ads
Back to top button