Buletin

SUBARU FORESTER 2019 – 3 VARIAN, EYESIGHT, BERMULA RM139,788 SEUNIT

TC Subaru Sdn Bhd. hari ini melancarkan  secara rasmi Subaru Forester ke pasaran tempatan.

Model generasi kelima itu didatangkan dalam tiga varian:

  • 2.0i-L: RM139,788
  • 2.0i-S: RM149,788
  • 2.0i-EyeSight: 159,788

SUV itu dikuasakan oleh injin Boxer empat selinder DOHC 16 injap berkuasa 156PS dan tork 196Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik CVT 7-kelajuan.

Kuasa itu kemudian disalurkan menerusi sistem pacuan semua roda Active Torque Split AWD.  

Harus tahu bahawa gabungan rangkaian kuasa dan pacuan AWD bukan sahaja menjanjikan pemanduan yang mantap, malah sangat menjimatkan bahan api.

Tak percaya? Baru-baru ini, saya mengikuti sesi pandu uji Foresta dari Pulau Pinang menuju ke Bangkok, Thailand. Apa yang mengejutkan, setangki penuh (60 liter) mampu menawarkan jarak perjalanan lebih 850km tanpa sebarang masalah!

Mungkin macam susah nak percaya, tetapi itulah angka yang saya dapat sepanjang memandu Forester selama lima hari.

Forester yang ditawarkan dalam bentuk import sepenuhnya dari Thailand itu menggabungkan semua empat Teknologi Subaru Core – pacuan semua roda simetri, enjin Boxer, platform global Subaru dan sistem bantuan pemandu, EyeSight.

Bergantung kepada varian yang dipilih, SUV ini dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang canggih.

Sebagai contoh, varian teratas dipasang dengan teknologi EyeSight yang terdiri daripada Pre-Collision Braking (PCB), Pre-Collision Throttle Management, Lane Sway Warning, Lane departure Warning, Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lead Vehicle Start Alert.

Tidak ketinggalan, ciri Pengesan Kenderaan Belakang Subaru (SRVD) berfungsi mengesan objek dan kendetraan yang ada dalam titik buta pemandu.

Saya pernah mengikuti sendiri sesi ujian teknologi EyeSight ini di Singapura dan terbaru di Setia Citi Convention Centre, Setia Alam. Apa yang saya boleh katakan, teknologi EyeSight memang mengagumkan dan membuatkan pemanduan harian anda jauh lebih selamat.

Pemanduan mantap Forester disumbangkan oleh penggunaan Subaru Global Platform. Ia menjanjikan pemanduan lebih mantap, selamat, senyap dan selesa. Bukan itu sahaja, chasis tersebut mampu menyerap pelanggaran sehingga 40 peratus dan olengan badan sebanyak 50 peratus. 

Forester didatangkan dalam tujuh warna menarik iaitu putih mutiara, perak metalik, hijau metalik, biru mutiara, tembaga, kelabu metalik dan hitam.

Forester 2019 didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 100,000km (mana-mana tiba dahulu). 

Google ads
Back to top button