Buletin

SUBARU WRX 2022. SUSPENSI ADAPTIF, BOXER 2.4L 271HP

Subaru akhirnya melancarkan model lagenda WRX ke pasaran global. Dijangka berada di bilik pameran di Amerika Syarikat awal tahun depan, ia bakal ditawarkan pada harga sekitar AS$30,000 (RM125,000) seunit.

Sedan yang diinspirasikan daripada perlumbaan rali itu dibina di atas Platform Global Subaru, sama seperti model Outback. Ingin lari daripada barisan jentera Impreza, ia kini lebih fokus kepada prestasi.

WRX dikuasakan oleh enjin turbo 2.4 liter yang mampu menjana 271hp dan tork 350Nm. Ia bagaimanapun hanya 3hp lebih berbanding enjin 2.0 liter yang digunakan sebelum ini.  

Seperti dijangka, jentera berkenaan dipasang dengan sistem pacuan semua roda All-Symmetrical Subaru bersama ciri Active Torque Vectoring. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear manual enam kelajuan manual atau CVT lapan kelajuan yang boleh dioperasi secara manual.  

Kotak gear CVT itu dikatakan mampu menawarkan penukaran gear downshift 30 peratus dan upshift 50 peratus lebih pantas. Ia akan didatangkan sebagai ciri standard pada varian paling tinggi, WRX GT yang turut dilengkapi sistem suspensi adaptif, buat kali untuk WRX,

WRX menawarkan pemandu dengan tiga tetapan suspensi iaitu Comfort, Normal dan Sport.  

Subaru juga menyatakan struktur badan badan WRX mempunyai titik graviti lebih rendah, sekali gus memberikan ketegaran badan sehingga 28 peratus. Sistem stereng elektrik pinion berkembar itu menawarkan rasa stereng yang lebih semula jadi.

Penampilan luaran model baharu itu diserlahkan menerusi rekaan lampu utama LED yang lebih nipis da skup hud lebar. Badannya kini juga lebih lebar, dipadankan dengan arca roda berwarna hitam yang memberi gayaan seperti sebuah crossover.

Subaru memberitahu bahawa arca roda, panel sisi dan tray pada bahagian bawah enjin direka dengan tekstur untuk mengurangkan tahap rintangan angin. Fender hadapan diperbuat daripada aluminium yang membuatkannya 2.3kg lebih ringan berbanding model lama.

Bahagian belakang pula dipasang dengan spoiler warna badan. Manakala lampu belakang direka dengan inspirasi aliran magma gunung berapi. Mungkin ramai yang berpendapat ia seakan-akan lampu Honda Civic.

Masuk ke ruang kabin, varian GT dipasang dengan tempat duduk Recaro bersama upholsteri Ultrasuede dan jahitan benang merah. Tidak ketinggalan, rim bersaiz 18 inci.

Papan pemuka dilengkapi skrin sentuh Starlink yang diposisikan secara menegak, sama seperti yang ada pada model Outback dan Ascent. Subaru nampaknya terus mengekalkan butang kawalan untuk sistem audio dan pendingin hawa.

Stereng dengan rekaan rata pada bahagian bawahnya dan pedal aluminium mengingatkan anda sedang membawa jentera berprestasi tinggi.

GALERI

Google ads
Back to top button