Motosikal

SUZUKI HAYABUSA RASMI TIBA DI MALAYSIA. 190PS, 300KM/J, RM111.2K SEUNIT

Baru dua bulan memunculkan diri di pasaran Malaysia, Suzuki Malaysia  melancarkan dua buah model heavyweight secara rasmi iaitu model sports lagenda Hayabusa dan jentera sports kembara V-STROM 1050XT.

“Pengenalan model Hayabusa dan V-STROM 1050XT melengkapkan lagi barisan motosikal kelas pertengahan dan kelas tertinggi bagi tahun 2021. Sekali gus menawarkan rangkaian produk lebih luas, menarik dan mengujakan untuk memenuhi keperluan individu yang berbeza.

“Melihat kepada barisan model Suzuki yang telah berjaya kami sediakan hanya dalam tempoh dua bulan, anda boleh yakin bahawa jenama ini merupakan satu pesaing yang serius. Bukan sekadar dari aspek  kemajuan teknologi, malah dari segi produk individu, penggayaan unik dan tunggangan lebih menyeronokkan, ” kata Pengurus Besar dan Pengarah Suzuki Malaysia, Dato’ Jeffrey Lim. 

Harga jentera Suzuki juga menarik di mana model yang paling mampu milik berharga bawah RM40,000 (V-STROM 650XT dan SV 650). Disokong oleh rangkaian 70 buah pengedar dan servis yang berpengalaman di seluruh negara, Suzuki merupakan salah satu jenama yang meyakinkan dari segi sokongan selepas jualan.

Suzuki Hayabusa 2022

Harga: RM111,200.00 (harga jualan cadangan tanpa insurans dan pendaftaran)

Warna: Glass Sparkle Black/Candy Burnt gold, Metallic Matte Sword Silver/Candy Daring Red,  Pearl Brilliant White/Metallic Matte Stellar Blue

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999, Suzuk Hayabusa mengejutkan dunia motosikal dengan menawarkan aras baharu dari segi kelajuan, kuasa serta prestasi secara keseluruhannya. Ia bukan sahaja mencipta kelas baharu yang dikenali sebagai motosikal sports terunggul, malah  memegang status motosikal produksi terpantas di dunia.

Mengekalkan rekaan yang panjang dan rendah, Hayabusa terbaharu menggandingkan fungsi dan bentuk untuk membantu rekaan membelah angin. Prestasi aerodinamik merupakan aspek penting untuk sebuah motosikal dengan kelajuan yang menghampiri 300km/j. 

Sebab itulah pasukan  jurutera Suzuki meletakkan Hayabusa di dalam terowong angin menggunakan peralatan CAE terkini bagi mencapai kadar pekali seretan terbaik untuk sebuah motosikal yang boleh ditunggang di atas jalan biasa. 

Dengan stardard tertinggi yang perlu dikalahkan (ditetapkan oleh generasi Hayabusa terdahulu), generasi ketiga Hayabusa bukan sahaja berjaya mengekalkan gayaan menakjubkan. Malah ia direka untuk mencapai prestasi lebih tinggi dan standard emisi Euro 5 yang ketat.

Hayabusa kini mampu membekalkan kuasa kuda dan daya kilas yang lebih hebat berbanding mana-mana sportbike pada putaran enjin sehingga 6,000rpm, satu legasi yang dikekalkan sebagai jentera sport terulung. Ia bukan sahaja pantas, tetapi mudah dikawal dan memiliki kelengkapan kawalan elektronik pintar baharu yang membolehkan penunggang menentukan cara jentera memberikan respons dan beraksi dalam pelbagai situasi.

Hayabusa dikuasakan oleh enjin empat lejang, empat silinder sebaris DOHC sejukan cecair bersesaran 1,340 cm3 dengan kuasa maksimum 190PS @ 9,700 rpm dan tork maksimum 150Nm @ 7,000 rpm.

Ia menampilkan komponen Suzuki Side Feed Injector (S-SFI) baharu yang merupakan rekaan pancitan berkembar dengan unit pancitan kedua diposisikan pada sudut sisi corong kemasukan. 

Semburannya dihalakan kepada plat pemantul di dalam corong dan mencipta kabus bahan api halus yang memasuki kebuk pembakaran. Seterusnya menghasilkan peningkatan kuasa dan output daya kilas sebanyak dua peratus pada julat putaran rendah hingga pertengahan.

Sistem pendikit elektronik ride-by-wire menawarkan kadar respons yang lebih ringan dan kawalan lebih linear. Ia dibantu dengan badan pendikit tirus yang diubah daripada 44mm kepada 43mm. Sementara panjang keseluruhan paip kemasukan (termasuk paip pengambilan, badan pendikit dan corong) telah ditambah sebanyak 12mm berbanding sistem terdahulu. Ini bagi untuk mencipta kuasa kuda yang lebih besar pada kelajuan putaran enjin rendah hingga pertengahan.

Selain itu, penghasilan kuasa dan daya kilas pada putaran enjin rendah hingga pertengahan juga telah dipertingkatkan terima kasih kepada rekaan ekzos baharu Hayabusa yang eksklusif. Ini membolehkan Hayabusa terbaharu ini lebih mudah dan jinak di bandar.

Namun begitu, apabila keadaan mengizinkan, pulas pendikit dan Hayabusa akan kembali menampilkan taringnya, mengingatkan penunggang bahawa ia masih sebuah motosikal pengeluaran paling pantas di pasaran!

Dari segi rekaan, Suzuki Hayabusa mengekalkan kehadiran dominan atas jalan raya sebagai satu penghormatan buat generasi terdahulu. Ia masih mempunyai aura yang tersendiri sebagai sebuah ‘Refined Beast’. 

Para pereka dan jurutera Suzuki berjaya menzahirkan elemen keseimbangan dan prestasi pada penggayaan Hayabusa yang dibantu dengan sistem kawalan elektronik pintar. Casis Hayabusa menampilkan rangka aloi aluminium ‘twin-spar’ yang kukuh dan ringan, selain lengan ayun yang dibina menggunakan proses tuangan. 

Rekaan aerodinamik pada Hayabusa menyumbang kepada nilai kadar pekali seretan yang terbaik pernah dicapai oleh mana-mana motosikal.

Dengan nisbah pembahagian berat depan-belakang 50:50, kestabilan dan kebolehkawalan Hayabusa ketika tunggangan kelajuan tinggi dibantu oleh penggunakan fork hadapan jenis terbalik KYB 43mm boleh laras sepenuhnya dan suspensi belakang KYB. 

Kuasa pemberhentian pula terdiri daripada angkup brek hadapan empat omboh Brembo Stylema yang dipadankan dengan rotor brek berkembar 320mm.

Salah satu ciri terbaik yang ada pada generasi terkini Hayabusa adalah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S). SIRS menggandingkan lima ciri elektronik yang mampu membantu anda untuk menikmati prestasi maksimum daripada sebuah enjin moden diikuti dengan kadar ketegaran casis baharu dan tetapan suspensinya.

1. Power Mode Selector – menawarkan tiga tetapan output enjin yang berbeza untuk dipadankan dengan jalan dan kondisi tunggangan.

2. Anti-lift Control System – membenarkan pecutan yang lebih agresif tanpa menyebabkan tayar depan terangkat.

3. Bi-directional Quick Shift System – dengan dua mod yang tersedia, sistem ini membenarkan penukaran gear (dua arah) dengan lebih pantas tanpa menggunakan klac atau melepaskan pendikit.

4. Engine Brake Control System – ciri ini mampu menghapuskan kesan daripada brek enjin bagi mengelakkan gelinciran tayar belakang.

5. Motion Track Traction Control System – menggunakan input daripada unit pengukuran inersia (IMU). Sistem itu akan memantau secara konsiten sudut condong bagi mengehadkan gelinciran tayar ketika di selekoh atau ketika jalan lurus.

Kelima-lima ciri ini berfungsi secara seiring di sebalik tabir bagi memastikan anda dapat menikmati segala kuasa yang diperah daripada Suzuki Hayabusa.

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button