Motosikal

SUZUKI HAYABUSA 2021. LEBIH AERODINAMIK, 187HP, TOP SPEED 300KM/J

Suzuki akhirnya melancarkan model Hayabusa 2021 yang dijangka memasuki pasaran Eropah terlebih dahulu sebelum tiba ke rantau lain.

Model generasi ketiga itu menerima pembaharuan secara total selepas 13 tahun berada di pasaran. Namun, Suzuki dilihat mahu mengekalkan DNA reka bentuk Hayabusa yang cukup dikenali ramai.

Jentera itu hadir dengan dua pilihan warna dwi-tona iaitu perak-merah dan hitam-emas. Berbeza dengan model terdahulu, Hayabusa kini tidak lagi didatangkan dengan grafik ekstrem. Apa yang ada hanyalah perkataan Hayabusa dalam tulisan Jepun.

Manakala kemasan seperti sisik menghiasi bahagian fairing bawah tangki minyak dan pelana. Wajahnya tampil garang dengan gugusan lampu utama LED yang diapit oleh sepasang lampu isyarat membelok dan lampu posisi binaan dalam.

Hayabusa dikuasakan oleh enjin empat lejang sebaris dengan sistem penyejukan cecair dan ssistem pendikit elektronik ride-by-wire. Enjin lama yang sudah dipertingkat kan itu patuh emisi Euro 5. Bersesaran  1,340cc ia mampu menjana kuasa sehingga 187.7hp dan tork 150Nm.   

Mekanisme ekzos dan intake turut diperbaharui. Ini membolehkan penunggang menikmati kuasa pada julat halaju rendah hingga pertengahan.

Biarpun berkuasa, kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 14.9km bagi setiap liter petrol. Suzuki mendakwa ia adalah jauh lebih jimat berbanding model sebelum ini.

Elemen klasik Hayabusa diserlahkan menerusi kluster instrumen multi-info analog. Kluster berbentuk bulat itu menampilkan paparan speedometer dan takometer.

Meter itu kemudian diapit dengan meter separa bulat yang menawarkan indikator jarum minyak dan suhu enjin.

Bahagian tengah meter TFT-LCD itu pula memaparkan kedudukan gear, maklumat tunggangan elektronik dan simbol-simbol lain.

Sebagai sebuah jentera moden, Hayabusa menawarkan lima mode tunggangan yang diambil daripada teknologi Suzuki Intelligent Ride System (SIRS). SIRS juga menawarkan pemilihan mode kuasa, kawalan cengkaman, brek enjin, sistem anti-wheelie serta Quickshift dua hala.  

Penunggang juga boleh menetapkan sendiri had laju yang mereka ingini. Kalau nak tahu, Hayabusa mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 3.2 saat sahaja. Manakala kelajuan maksimum ialah 300km/j.

Motosikal berkuasa tinggi itu menggunakan sistem suspensi daripada KYB yang boleh dilaras sepenuhnya. Manakala brek pula ialah cakera terapung bersaiz 320mm dengan angkup brek Brembo Stylema 4-piston dan sistem ABS Bosch.

Motosikal seberat 264kg  itu menerima rim rekaan baharu yang dibalut oleh tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.

GALERI

Google ads
Back to top button