Motosikal

SUZUKI KATANA VERSI WARNA HITAM – MEMANG GARANG HABIS!

Selepas mendapat perhatian meluas apabila diperkenalkan kepada umum sewaktu acara pameran motosikal Intermot di Cologne, Jerman bulan lalu, Suzuki kini ada satu lagi hadiah istimewa buat para peminatnya.

Tanpa disangka, Suzuki memperkenalkan Katana dalam versi hitam. Sebagaimana yang kita tahu, model tersebut hanya didatangkan dalam warna perak sebelum ini.

Jentera moden retro itu mengambil inspirasi daripada ikon asal yang dilancarkan hampir empat dekad lalu.

Dipertontonkan buat pertama kali kepada umum pada acara EICMA 2018 di Milan, Katana hitam itu akan menyertai warna klasik (Katana perak) dalam rangkaian model 2019 yang ditawarkan oleh Suzuki.

Sebagaimana yang dapat dilihat, Katana baharu meneruskan rekaan jentera asal. Dilengkapi pelbagai ciri moden, garis badannya diinspirasikan daripada pedang Jepun yang dikenali sebagai Katana.

Menggunakan aspek kejuruteraan moden, Katana dibina di atas kerangka aluminium twin-spar yang ringan. Kerangka itu turut digunakan untuk siri model GSX-S1000. Manakala enjin empat selinder sebaris itu pula berkonsi dengan model GSX-R1000 K5.

Bagi disesuaikan dengan karekter Katana, enjin tersebut telah disemak semua dan dimodenkan. Hasilnya, ia mampu menjana kuasa sehingga 150PS pada 10,000rpm dan tork puncak 108Nm pada 9,500rpm.

Bukan sekadar memberi satu lagi pilihan kepada pengguna, Katana berwarna hitam itu memang cukup menarik perhatian.

BACA: SUZUKI KATANA 2019. YA, IA SUDAH KEMBALI! 

Google ads
Back to top button