Motosikal

PASARAN BELUM BERSEDIA UNTUK MOTOSIKAL ELEKTRIK, SUZUKI TAK MAHU BUAT LAGI

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pengeluar motosikal elektrik agresif dalam memperkenalkan produk masing-masing. Malah, ada yang beranggapan bahawa revolusi kenderaan elektrik akan tiba tidak lama lagi.

Namun pengeluar motosikal dari Jepun, Suzuki berpendapat jentera elektrik itu masih memerlukan masa untuk dipasarkan secara meluas.

Sedia maklum bahawa motosikal elektrik menawarkan kuasa, sifar emisi dan pelbagai teknologi canggih.

Di pasaran sekarang, memang ada model yang harganya tidak jauh beza dengan motosikal konvensional. Tetapi prestasinya kurang memberangsangkan.

Kalau hendak beli yang berprestasi tinggi pula, harganya tidak mampu milik oleh kebanyakan pengguna.

Sebab itulah Suzuki beranggapan pasaran masih belum bersedia untuk motosikal elektrik ini. Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Suzuki India, Devashish Handa.

Handa memberitahu fokus Suzuki sekarang bukan ke atas motosikal elektrik atau model baharu. Apatah lagi penularan wabak COVID-19 memaksa pengeluar kenderaan untuk mengadaptasi corak jualan yang baru.

Namun, ini tidak bermakna Suzuki langsung tidak bersedia untuk menghasilkan motosikal elektrik. Cuma ia belum mahu mendedahkan apa yang sedang dibangunkan sekarang.

“Kami memantau perkembangan ini dengan rapi, tetapi perjalanan motosikal elektrik tidak konsisten. Kos membelinya sentiasa menjadi kebimbangan. Jika pembeli bersedia, Suzuki akan menawarkan motosikal elektrik kerana kami sudah ada teknologinya,” kata Handa.

Dalam erti kata lain, motosikal elektrik sekarang terlalu mahal dan tidak ramai yang mampu membelinya. Jadi, Suzuki tak mahu buat.

Contoh terdekat ialah Harley-Davidson yang hadir dengan model LiveWire. Ditawarkan pada harga hampir RM130,000 ia jelas tidak mendapat sambutan, walaupun daripada peminat tegarnya.
 
Jadi, kenapa Suzuki mahu mengambil risiko itu?

Google ads
Back to top button