Motosikal

JACK MILLER TAWAN MOTOGP SEPANYOL. SEKAT HATRIK QUARTARARO

Jack Miller menyekat hasrat Fabio Quartararo untuk merangkul kejuaraan hatrik apabila muncul juara MotoGP pada Grand Prix (GP) Sepanyol.

Kemenangan tersebut menyaksikan Miller yang mewakili Ducati merangkul kejayaan pertamanya musim ini menerusi catatan masa terpantas 41 minit 5.602 saat di litar Jerez.

Francesco Bagnaia juga dari Ducati menghuni tempat kedua apabila ketinggalan 1.912s di belakang Miller, manakala penunggang Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli melengkapkan podium (+2.516s).

Pemenang perlumbaan kedua dan ketiga, Quartararo sekadar menduduki tempat ke-13 biarpun pada awal saingan penunggang Yamaha itu berada di kelompok hadapan sebelum ketinggalan ketika berbaki 11 pusingan.

Juara bertahan Joan Mir dari Suzuki menduduki tempat kelima manakala pelumba Honda, Marc Marquez konsisten seperti perlumbaan lalu dengan menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Berdasarkan pungutan mata keseluruhan, Bagnaia kini menduduki tangga teratas dengan 66 mata, diikuti Quartararo (64), Maverick Vinales (50), Joan Mir (49), Johann Zarco (48) dan Miller (39).- agensi

Google ads
Back to top button