
TAHUKAH ANDA ASAL USUL CAFE RACER?
Ini merupakan catatan sejarah ringkas cafe racer. Sekarang ni cafe racer memang sangat popular, tetapi ia sedikit agak berbeza dengan maksud cafe racer asal. Sekarang bila sebut pasal cafe racer mesti semua membayangkan motosikal model lama dengan pelana panjang warna gelap ataupun motosikal baru yang dihasilkan mengikut acuan lama.
ASAL-USUL CAFE RACER
Cafe racer sebenar merujuk kepada sekumpulan pelumba yang berlumba satu sama lain dari cafe ke cafe di England sekitar tahun 60-an. Cafe paling popular waktu itu ialah Ace Cafe di London yang masih wujud sehingga ke hari ini.
Tetapi ada satu pihak lagi berpendapat istilah cafe racer ini adalah diwujudkan oleh sekumpulan penunggang yang berlagak seperti pelumba dengan mengubahsuai motosikal masing-masing.
BACA – CAFE RACER SYM SB300
BACA – SEJARAH MOTOR SUZUKI ENJIN ROTARI
Padahal mereka tidak pernah berlumba tetapi cuma menayangkan motosikal masing-masing di hadapan cafe sambil pekena kopi janda di England.
Ia mungkin juga benar, tetapi mengikut lagendanya para penunggang ini biasanya akan memilih satu lagu untuk dimainkan dari peti muzik di cafe pilihan mereka dan kemudiannya mereka akan berlumba menuju ke tempat yang mereka pilih dan berpatah balik.
Ideanya ialah untuk menentukan siapa yang lebih dahulu sampai sebelum lagu yang dimainkan tamat. Ini juga membuktikan yang ketika itu motosikal mereka mampu mencecah kelajuan 100 batu sejam (160km/j).
Malah kebanyakan motosikal yang digunakan oleh pelumba cafe racer juga adalah motosikal keluaran British seperti Triumph, BSA, AJS, Norton dan sebagainya. Kalau difikirkan tidak ada satu pun di kalangan motosikal tersebut dikira laju (laju lagi Demak Limited Edition).
Sebab itulah matlamat utama setiap pelumba adalah untuk mencapai kelajuan 100 batu sejam ataupun digelar “The Ton“. Jika seorang pelumba mampu membuktikan yang motosikal beliau mampu mencecah kelajuan tersebut ataupun lebih laju maka beliau layak digelar sebagai ahli “The Ton Up Club”.
Bunyi macam senang kan? Tapi anda kena ingat, ini sekitar tahun 1960. Bukannya senang untuk memastikan motosikal anda mampu memecut sehingga 100 batu sejam.
BACA – HARGA BARU TRIUMPH THRUXTON R
BACA – TRIUMPH BONNEVILLE VERSI BOBBER
Kalau zaman sekarang skuter Nitro handle senget pun senang-senang pecut 130km/j. Jadi pelumba cafe racer ini perlu melakukan modifikasi tahap luarbiasa pada motosikal mereka.
Nasib baik juga sekitar tahun 60an, industri motosikal British sedang berkembang pesat dan mereka juga tampil dalam hampir semua perlumbaan motosikal utama dunia ketika itu. Hasilnya ialah lambakan aksesori aftermarket untuk dipilih oleh pelumba cafe racer bagi menaiktaraf motosikal mereka.
Sama seperti sekarang, modifikasi motosikal ialah hobi yang mahal. Hobi kami mahal katanya, apa-palah.
Mana-mana yang berduit akan menambah satu demi satu aksesori pada motosikal mereka sehinggalah kelihatan seperti bentuk yang anda lihat sekarang.
Antara syarat tidak rasmi untuk memastikan motosikal anda layak dipanggil cafe racer ialah, bar hendal jenis clip-on, ekzos yang memanjang ke belakang, pelana racing (racing gaya lama), karburator sebesar rumah dan tangki minyak aluminium ataupun gentian kaca.
Secara asasnya juga, motosikal cafe racer mesti ringan dan berkuasa selain mampu mencecah kelajuan 100 batu sejam. Biasanya ia kelihatan seperti model yang sudah ditogelkan dengan peralatan yang tidak perlu, ditanggalkan sepenuhnya.
Oleh sebab ia dimodifikasi khusus untuk kawalan dan kelajuan, semestinya cafe racer bukan sebuah motosikal yang selesa untuk ditunggang.
Satu ciri khusus cafe racer ialah tangki minyak yang dipanjangkan sedikit menyamai motosikal pelumba Grand Prix tahun 60-an yang membolehkan penunggang mengepit tangki dengan menggunakan kaki mereka. Pelana yang digunakan biasa adalah jenis tunggal selain bar hendal clip-on.
Hendalnya membolehkan penunggang merendahkan badan ataupun sedikit membongkok di atas tangki petrol untuk mengatasi rintangan angin sewaktu menunggang. Bahagian perehat kaki juga diposisikan agak ke belakang begitu juga dengan tuil brek dan gear yang merupakan ciri-ciri motosikal lumba pada zaman itu.
Sesetengah pemilik yang lebih ekstrim merekabentuk sendiri fairing untuk motosikal mereka sebelum dipasang di bahagian fork ataupun kerangka badan motosikal itu sendiri.

Motosikal cafe racer terbaik pada masa itu adalah jenis kacukan di mana pelumba yang berkemampuan akan mendapatkan kerangka Norton Featherbed dan dikacukkan dengan enjin Triumph Bonneville untuk menghasilkan motosikal yang laju dan kawalan yang jitu. Ia digelar dengan nama “Triton”. Bukan pikap Mitsubishi Triton tau.
Jika keadaan kewangan tidak mencukupi pilihan yang ada ialah masih menggunakan enjin Norton tetapi dipadankan dengan kerangka BSA untuk menghasilkan motosikal yang digelar “Tribsa”. Selain daripada itu ada juga pilihan lain iaitu menggabungkan kerangka Norton dengan enjin Vincent. Hasilnya ialah produk yang digelar “Norvin”.
Namun bagi pelumba yang benar-benar serius dan mempunyai bajet yang besar mereka tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan kerangka Rickman ataupun Seeley sama seperti yang digunakan oleh pelumba Grand Prix pada masa itu.
Bila para pengeluar motosikal Jepun mula memasuki pasaran Eropah, mereka juga turut memperkenalkan beberapa model cafe racer yang unggul, tetapi pelopor sebenar gerakan cafe racer semestinya adalah pemilik-pemilik motosikal British sekitar tahun 60an.
Apa kata kita buat konsep yang sama di Malaysia? Bukan cafe racer tetapi Mamak Racer untuk berlumba dari satu kedai mamak ke satu kedai mamak? Okey tak?
Modenas cafe racer TTR200 bila lagi ni?
sumber